Tuesday, February 15, 2011

Temubual bersama Alaf 21

TEMUBUAL antara saya dengan ALAF21 seperti yang dipaparkan di www.alaf21.com.my

1. Lynn Dayana gemar pada tema romantik komedi. Novel terbaru iaitu yang ke-6 bertajuk Juara Carta Cinta (JCC) juga mengekalkan tema yang sama. Sambutannya cukup hangat. JCC mengisahkan Maya yang berpindah ke rumah baru tidak menduga berjiran dengan Haqiem, bekas kekasihnya dan Adnan, bekas tunangnya. Bagaimana Lynn mendapat idea menulis cerita sebegini?
JAWAPAN:
Sejak novel pertama saya mengekalkan tema romantik komedi, tetapi bermula dengan novel ke-2, saya juga menyuntik elemen misteri dan sedikit thriller kerana saya mahu keluar dari kepompong resipi novel yang biasa. Saya mencari kelainan. Alhamdulillah... sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Idea menulis datang daripada perca-perca kehidupan yang penuh ujian dan dicantikkan dengan imaginasi. Ya, ada masanya imaginasi saya bergerak seiring dengan apa yang saya lihat berlaku di persekitaran sekeliling saya. Kadang-kadang saya menjadi pencuri. Saya meneropong kehidupan orang lain dengan menggunakan kanta hati, lalu melakarkannya di atas kertas supaya yang baik dijadikan tauladan manakala yang buruk dijadikan sempadan.


2. Apa pandangan Lynn mengenai cita rasa peminat-peminat novel kebelakangan ini? Amat ketara cerita-cerita yang lucu, romantik, cinta muda-mudi, watak hero dan heroin bergaduh kemudian berbaik semula dan sebagainya menarik minat mereka untuk membeli.

JAWAPAN:
Saya merasakan minat pembaca kita berbeza mengikut aliran masa. Seperti industri filem kita yang sedang asyik dengan filem seram, industri penulisan kita pula dihujani dengan kisah-kisah romantik komedi. Adakah ini bermakna, kisah yang berbeza tidak diterima? Bagi saya, pembaca kita cukup bijak memilih bahan bacaan yang mereka minati. Novel serius masih ada peminatnya. Jika kita lihat jumlah peminat yang sanggup beratur untuk mendapatkan karya RAM, saya tabik hormat!

Membaca bagi saya adalah ruang masa yang istimewa. Ada masa, saya suka membaca kisah cinta dan ada ketika saya mencari novel thriller dan yang lebih berat. Bagi saya membaca membantu minda saya berfikir dengan lebih kreatif. Kata CS Lewis, “we read to know we are not alone”. Membaca adalah perkongsian idea antara penulis dan pembaca. Tanggungjawab penulis memastikan apabila perkataan tamat tertulis, pembaca mendapat sesuatu daripada apa yang dibaca. Itu adalah pendapat peribadi saya.

3. Tema romantik komedi nampaknya mulai menjadi rebutan penulis-penulis sedangkan jalan ceritanya lebih kurang sahaja. Tajuk-tajuk yang sempoi digunakan sebagai pelaris. Malah, ada penulis yang menukar strategi gaya penulisan dan penceritaan mereka untuk merebut ruang dan peluang ini. Apa komen Lynn?
JAWAPAN:
Bagi saya yang membezakan antara karya penulis A dengan B adalah garapannya. Cerita yang sama tetapi boleh menjadi sangat berbeza kerana cara ia ditulis oleh penulis yang turut berbeza latar belakang dan pengalamannya. Tajuk novel yang sempoi bergantung kepada pembaca. Ada yang suka, ada juga yang tidak. Pendapat peribadi saya, tajuk memainkan peranan penting, namun saya juga meneliti blurb dan juga maklum balas tentang sesuatu buku sebelum membuat pembelian. Tajuk saja tidak mencukupi untuk mempengaruhi saya.

Tajuk-tajuk novel saya juga termasuk dalam kategori pelik dan unik. Saya suka memilih tajuk sebelum mula menulis. Saya memerah otak memastikan tajuk novel saya ada nilai estetikanya. Tidak mahu terlalu sempoi, tidak mahu terlalu klise dan saya berusaha mencari tajuk yang luar biasa.

Tentang penulis yang merebut ruang dan peluang dengan menukar gaya penulisan atau tema, pendapat saya adalah tepuk dada tanya selera. Biarlah peminat yang menentukan, berjaya atau tidak penulis itu menarik perhatian dengan perubahan yang dilakukan. Secara peribadi, saya menulis apa yang saya tahu dan apa yang saya suka serta mahu kongsikan dengan pembaca. Jika mahu menulis komedi, cabaran yang nyata adalah mampukah kita membuat orang ketawa atau paling tidak tersenyum simpul ketika membacanya.

Membuat lawak jenaka itu sebenarnya anugerah! Tidak semua orang boleh menjadi Raja Lawak kan? Sama juga dengan realiti bahawa tidak semua boleh menjadi American Idol!

4. Lynn tidak berminatkah hendak menulis tema yang lebih serius? Contohnya kisah kekeluargaan, anak-anak malang akibat perceraian ibu bapa, kisah benar dan seumpamanya.

JAWAPAN:
Dalam novel Hak Cinta Terpelihara, saya menceritakan tentang persahabatan dan dendam. Manakala novel Tarikh Luput Cinta, saya membawa tema perebutan harta dan stalker. Cinta Edisi Terhad pula saya menceritakan tentang kekuatan wanita menempuh kesukaran hidup dan diganggu oleh si psiko yang mempunyai multiple personality. Manakala novel Juara Carta Cinta, walaupun lebih banyak romantik komedi tetapi ada unsur seram apabila Maya diganggu bayangan mangsa-mangsa kes bunuh oleh lelaki yang melukis wajah kematian.

Selepas menulis 5 buah novel, saya berasa selesa dengan genre romantik komedi bersulamkan elemen misteri dan sedikit thriller. Saya suka jika tulisan saya berjaya membuat orang tersenyum, sedikit cemas dan tertanya-tanya hingga tidak mahu meletakkan novel saya sehingga perkataan tamat ditemui.


5. Berdasarkan novel-novel Lynn, orang akan menyangka, Lynn seorang yang gila-gila, happy go lucky, suka bergurau dan pandai melawak. Tapi ramai yang tidak tahu bahawa Lynn menghidap penyakit buah pinggang sejak setahun yang lalu dan terpaksa menjalani dialisis dua kali seminggu. Bagaimana Lynn kuat menghadapi keadaan ini dan terus menulis cerita-cerita yang menghiburkan? Bagaimana keadaan Lynn di peringkat awal menghidap penyakit ini?

JAWAPAN:
Ujian ALLAH yang datang, kadang-kadang boleh buat kita terdiam seketika dan hilang arah serta haluan. Kita merasakan ujian-NYA sangat berat. Ketika mendapat tahu berita sedih ini daripada doktor, saya merasakan dunia saya sudah sampai ke peringkat akhirnya. Terasa kematian sangat… hampir. Seolah-olah tinggal beberapa sentimeter saja. Tapi kuasa ALLAH, tidak berupaya kita menduga dan mempersoalkan apa yang telah ditetapkan untuk kita.

Adakah penyakit ini mengubah saya? Mungkin ya, mungkin tidak. Saya masih orang yang sama. Ya, selepas mengelap air mata saya kembali ketawa, suka bergurau dan mengusik. Namun ada masanya, bila kesakitan melanda, penawar yang ada hanyalah pasrah kepada ketentuan ALLAH. Maka saya akan menangis saja semahunya.

Sewaktu saya diberitahu bahawa saya menghidap sakit buah pinggang yang kronik, saya menangis tidak henti-henti setiap hari. Sekarang saya semakin tabah.

Sokongan keluarga dan sahabat-sahabat banyak membantu saya mengharungi ujian dari ALLAH. Kesakitan ini tidak menghalang saya untuk terus menulis. Hela nafas yang ALLAH pinjamkan kepada saya, saya gunakan dengan sebaiknya. Selagi hayat dikandung badan, saya akan bersyukur dengan rahmat-NYA. Saya berharap, mereka yang menerima ujian dari ALLAH, janganlah berputus asa. Segala yang berlaku ada rahmat-NYA. Saya memilih untuk percaya, ada sesuatu yang baik menunggu saya di sebalik ujian yang berat ini. ALLAH tidak kejam kepada hamba-NYA. Yang kejam itu kita sendiri kerana selalu bersangka buruk dan penuh dengan prasangka.

Dengan izin-NYA, saya akan terus menulis. Berkongsi cerita, berkongsi rasa.

Terima kasih kepada Alaf 21 yang memberi ruang untuk saya berkarya. Sekalung penghargaan juga saya ucapkan kepada seluruh kakitangan Alaf 21 yang menjadikan Juara Carta Cinta sebuah naskhah untuk tatapan peminat dunia novel. Sokongan pihak penerbit dan juga para peminat adalah pembakar semangat saya untuk terus berinspirasi menulis novel yang seterusnya. Buat seketika, saya lupa yang saya sakit dan hanya mahu menulis, menulis dan terus menulis.

* Untuk makluman, novel Juara Carta Cinta disiarkan secara bersiri dalam majalah Remaja terbitan Kumpulan Media Karangkraf.


| Fragmen/Sedutan Juara Carta Cinta |

SABAR! Maya mengingatkan dirinya beberapa kali. Sesetengah perkara berlaku di luar kawalan kita! Maya terus mencuba menenangkan diri sendiri. Dia berjalan ke sofa dan merebahkan badannya di situ. Kepalanya pening memikirkan panggilan telefon yang diterima daripada emak sebentar tadi. Dia sebenarnya berharap agar kecabulan mulutnya menyindir Mak Cik Tom tidak akan sampai ke telinga emak. Ah! Harapannya hancur berkecai.

Bebelan emak benar-benar membuatkan dirinya insaf. Bukan insaf kerana merasakan apa yang dilakukannya bersalah tetapi insaf dari segi, jika mahu membuat apa-apa, ja-nganlah sampai ke telinga emak. Adat hidup berkampung dan bersaudara kata emak antaranya adalah menghormati orang yang lebih tua walaupun hati kita dilukai.

Bunyi loceng membuatkan dirinya tersentak seketika. Siapa pula yang mahu datang ke rumahnya pada waktu begini? Maya menarik nafas perlahan. Janganlah Mimi atau Haqiem yang datang mengganggu.
“Hai!” Haqiem berdiri di depan rumahnya.

Sapaan Haqiem tidak dijawab, malah Maya hanya mengangkat keningnya. “Jom, ikut I sarapan.” Haqiem mempelawa.
Hanya gelengan diberikan oleh Maya.
“Kenapa tak nak?”
Sekali lagi Maya menggeleng.
“Puasa?”

“Haqiem...” Maya menyebut juga nama itu akhirnya.
“I used to love the way my name sounds when you say it.” Haqiem menjawab dengan senyuman yang mesra.
“Used to.” Maya mengulang kata-kata Haqiem.
“Yang dah berlaku tu sudahlah. Sampai bila kita tak mahu bertegur sapa ni?” Haqiem memandang wajah Maya dengan penuh harapan.

“I ni bukan perempuan yang baik. Dulu, you yang cakap macam tu. You kata, I tak tahu membezakan antara realiti dengan fantasi. You kata, I tak tahu apa yang I inginkan. You...”
Kata-kata Maya terhenti apabila Haqiem meletakkan jarinya ke bibir Maya.
Maya kemudiannya menapak ke belakang. Tidak selesa.
“I cakap banyak benda yang baik juga, kan? I pernah kata yang I benar-benar
sayangkan you! I pernah kata yang I tak mungkin akan boleh lupakan diri
you.” Giliran Haqiem pula memberitahu.

“I dont want to have any relation with you anymore. Its hurt.” Maya teguh membuat keputusan.
“Pernah fikir tak apa perasaan I bila I dapat tahu perempuan yang I sayang rupa-rupanya tunang orang?”
Soalan Haqiem membuatkan Maya berasa sungguh malu. Ya, pada satu masa dahulu itulah yang telah dilakukannya. Bertunang dengan orang lain namun menjalin hubungan kasih dengan Haqiem pula. Kesilapan yang paling besar telah dilakukan dan menyebabkan ikatan pertunangannya dengan Adnan putus dan
Haqiem pula memilih untuk tidak mahu mendengar penjelasan daripada dirinya.

“Ya, memang salah I. I kan dah kata tadi, I ni bukan perempuan yang baik!”
Maya merasakan dirinya sekecil hama. Penuh dengan dosa.
“Tak baik cakap macam tu...” Haqiem memjawab dengan perlahan.
“Ya, I memang bukan perempuan yang baik!” Maya memandang Haqiem lalu merapatkan pintunya semula. Dia tidak mahu Haqiem melihat air mata yang seperti tidak sabar-sabar mahu mengalir. Bagaikan empangan yang pecah, dia menangis sepuas hati. Dia benar-benar menyayangi Haqiem suatu masa dahulu.
Dia yakin, perasaan itu sehingga kini masih ada. Silapnya juga kerana tidak memberitahu tentang status dirinya ketika mula berkenalan dengan Haqiem.

Wednesday, February 9, 2011

JCC Carta Novel Terlaris



Terima kasih atas sokongan semua yang sudi menjadikan JCC juara carta novel terlaris bagi minggu ini. Saya tahuu ramai yang mencari Juara Carta Cinta dan masih belum berjumpa....sabar ya. JCC akan mula ada di pasaran minggu hadapan.

Tuesday, February 1, 2011

Salam Juara Carta Cinta



Salam,

Juara Carta Cinta sudah ada di pasaran lewat Jumaat lepas. Terima kasih pada yang sudi datang meredah hujan dan bersesak2 membeli novel keluaran Grup Buku Karangkraf. Hendaknya, cuti raya cina ini dimanfaatkan dengan membaca novel sambil mengunyah kacang atau menikmati limau mandarin. hehe....

Harap-harap jcc memeriahkan cuti anda. Saya sendiri membekalkan diri dengan 2 buah buku. Konon nak baca weekend ni tapi malam tadi dah habis baca satu! Hehe! Dan minggu ni saya dah baca 5 buah novel melayu....alamatnya, saya perlu mencari novel English pulak. Nak cari Jodi Picoult : House Rules. Nak cari Danielle Steel yg baru.. Nak cari jugak buku bunuh2, mati2 hahahaha. Sempat ke tidak, jumpa uncle di Central Market.

Cuti raya cina ni insyaAllah ke rumah abang long di negeri 9. Mak di sana. Long dah tanya, nak makan apa? Daging salai? Burung puyuh? Saya kata, sukun ada? haha. Saya memang perempuan kampung bila pasal makan-makan ni. Bukanlah tak makan western food tapi bila balik macam ni, saya cuba dapatkan apa yang saya teringin makan. Yang kat KL ni susah saya nak dapatkannya.

Cadangnya juga, saya mesti mula menulis semula. Novel ke 6 ini saya namakan sebagai CINTA PERISA DIA. Ya, dia si lelaki itu yang mahu menentukan perisanya. Cokelat ke, vanilla ke atau strawberi!Dia sudah dewasa maka hak untuk mencari cinta mestilah dia juga yang menentukannya, bukan? Tapi bondanya lebih berkuasa. Bonda mahu cinta berperisa iman untuk anaknya! Bonda mahu cinta berperisa integriti. Bersalutkan takwa dan berlandaskan kerukunan. Dan bonda bukan main-main dalam merealisasikan mimpinya.

Selamat bercuti. Yang banjir, berhati-hati. Jaga diri baik-baik. Yang membaca, janganlah larut hingga tidak makan dan minum!