Wednesday, September 30, 2009

Zaris vs Amirul versi raya?

Salam Syawal,
Sekejap saja musim raya pun dah berlalu pergi. Dah bersawang blog saya. Tak ada apa yang nak diceritakan. Lagi pun saya demam selsema hari ni. Rasa mengong jadinya bila makan ubat. Rasa mamai and high! Hehe...

"Dia jadi datang ke?" Mira bertanya kepada Zaris.
Zaris mula menggaru kepalanya. Dia yakin dia tidak bermimpi apabila Amirul menyatakan dia akan datang beraya ke rumahnya hari ini. Malah dia dengan senang hati berjanji akan memasakkan rendang paru dan hati lembu seperti yang diminta oleh Amirul.
"Kata kau pukul 2. Ni dah dekat pukul 4." Mira meneruskan omelannya.
"Kau ni buat aku tambah panik. Karang kau yang aku pukul!" Zaris sudah mula naik angin. Bersusah payah dia memasak dari awal pagi selepas subuh. Namun bayangan Amirul masih tidak kelihatan.
"Telefonlah dia!" Mira mendesak.
"Nanti nampak macam aku ni desperate bebenor!" Zaris mempertahankan diri. Dia sekali lagi menjengah ke muka pintu. Amirul! Hatinya menjerit sekuat hati.
"Aku dah dailkan ni. Tanyalah dia kat mana!" Mira mengunjukkan telefon. Beriya-iya Mira menganggukkan kepalanya.
Zaris meletakkan telefon di telinga. Kedengaran lagu Gadisku, nyanyian Search berkumandang sebagai ringtone telefon Amirul. Mhmmm...lagu untuk diakah? Hati Zaris merasa berdebar.
"hellooooo! Siapa ni?" suara seorang gadis manja bertanya.
Telefon itu segera dijarakkan dari telinga.
"Amirul ada?" Zaris memberanikan diri bertanya.
"Kejap ehh... Amirul! Call for you!" Terdengar suara gadis itu menjerit memanggil Amirul. Zaris merapatkan telefon ke telinga. Dia mendengar suara Amirul bertanya, "Siapa?"
"Kat skrin tulis Budak SS! Perempuan!"
Dan talian telefon itu segera Zaris matikan. Budak SS! Itu panggilan yang Amirul beri untuk dirinya? Dia pasti SS bukannya akronim untuk Sangat Seksi! Dia tahu SS bukannya Sangat Solehah! Ya ALLAH, Amirul menganggap dia syok sendiri! Zaris terduduk dengan kaki yang menggeletar. Terasa mukanya panas membahang dengan perasaan malu. Ya, sah. Tahun ini adalah tahun raya yang haru!

Sunday, September 13, 2009

Menjelang Syawal...di akhir2 Ramadhan!

Salam,

Sedar-sedar dah Ramadhan yang ke23. Sedar-sedar lagu raya sudah asyik berkumandang dan menyakitkan jiwa. Trafik semakin teruk dan pusat membeli belah sesak dengan manusia!
Tahun ini saya tidak membeli walau sehelai baju raya pun. Entah kenapa, tiada rasa. Tiada keinginan... mungkin kerana kehidupan saya bukannya ada perubahan yang memerlukan saya untuk membuat perubahan!
Biasanya awal Ramadhan saya sudah sediakan duit raya. Sudah dimasukkan ke dalam sampulnya dan sudah siap-siap diletakkan nama. Namun...kali ini saya selamba tidak membuat apa-apa. Mengapa? saya merasakan sambutan perayaan hanya selalu membuat saya merasa sayu. Ada sedikit rasa terpinggir! Haha! mungkin perasaan saya saja.
Yang saya buat persediaan adalah kuih raya untuk mak. Itu saya tempah awal2. Yang saya awal2 sudah belikan juga adalah kelengkapan rumah yang emak mahu tukarkan. Rumah saya sendiri tidak perlu kerana bila balik semula ke KL pun, yang ada hanya dinding bisu!. Jadi, apakah misi saya pada hari raya ini? Perancangan saya adalah menulis dan menulis dan menulis. Manuskrip saya baru separuh siap. Dan dengan game saya yang semakin dekat tarikhnya, saya kekurangan masa untuk menyusun ayat walau idea sudah lama tercerna di dalam kepala.
Awal Ramadhan juga menyaksikan saya berjanji pada diri sendiri, " I dont want to be alone!" Hakikatnya, awal Ramadhan juga memberi berita yang membuatkan saya merasakan...hidup ini lalui saja sebaiknya. Allah lebih mengetahui dan moga saya akan dirahmatiNya, moga saya tabah menyusur hidup dan moga hati ini lebih tenang dengan kekuatan semangat bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Amin...
October nanti, majlis ketiga dalam tahun ni untuk perkahwinan anak saudara. 3 in a row.... huhu, rasa macam row row ur boat aje! Haha... Namun, saya akui...ujian DIA, saya terima.
Yang penting pada waktu ini adalah tentunya manuskrip yang mesti dihabiskan! Yang amat penting juga adalah pertandingan RCC akhir October ini biarlah berakhir dengan seribu kemanisan. Saya berdoa, 2009 ditutup dengan senyuman kerana terlalu banyak sudah airmata yang menghiasi tahun ini. Semoga Allah memperkenankan doa saya. Amin.

Thursday, September 3, 2009

Laila dan baby Hanna

Salam,
Saya menangis apabila melihat gambar baby Hanna, anak kawan baik saya Haslina atau lebih dikenali dengan nama Laila Kamilia dan sesekali saya memanggilnya Pah Bedah kerana dengan orang lain dia memang senyap dan penuh dengan sopan santun namun keramahannya akan sangat terserlah jika dengan saya, Kak Eka dan Dhiya. Haha... Saya merindui pula bebelannya yang selalu memesan saya untuk redha dengan ujian hidup yang didatangkan oleh Allah swt.
saya masih ingat lagi mengenali Laila beberapa tahun yang lalu. Saya terlupa mengira tetapi sentiasa tahu, dia tidak pernah lelah menasihati saya. Makan minum di rumah Laila, puas juga dilakukan di samping makan-makan di luar. Owh kami gemar berjanji dan bergebang! Haha...kini dengan 3 handbag saya tak pasti tapi dulu 2 anak bujang kecik dia tu puas mengikut kami berjumpa dan bercerita.
Tahniah Laila...untuk Hanna yang pastinya memeriahkan suasana. Semoga sentiasa bahagia bersama keluarga. Semoga selalu diberkati. Amin