Tuesday, April 5, 2011

Cerkon : Dendam Yang Indah?

Lama saya tidak menulis cerpen santai sesuka hati saya. sudi-sudikanlah baca ya!

“Kita pancitkan tayar dia!” Sara memberi idea.
“Kita gores kereta dia!” Maya pula memberitahu.
“Kita bakar tong sampah mak dia!”
Idea yang terakhir itu membuatkan mereka bertiga memandang Aida. Sengal! Bukannya mendatangkan kepuasan jika tong sampah emak Hairul dibakar. Silap-silap ditangkap bomba!
“Takde idea lebih canggih ke?” Qaira mendengus marah. Perasaan naik anginnya kepada Hairul macam puting beliung yang mendesup deras ke seluruh pembuluh darahnya. Berkobar-kobar.
“Kita racun dia.” Sara menganggukkan kepala. Yakin ideanya bernas.
“Kita rosakkan brek kereta dia!” Maya tidak mahu kalah. Macamlah dia tahu di mana brek kereta diletakkan. Sah terlebih tengok cerita James Bond.
Kini semua mata memandang pula pada Aida. Mahu tahu idea apakah yang ada di dalam otaknya yang boleh tahan geliga ketika merapu.
“Aaa....kita ikat dia kat kerusi elektrik. Burn him!” Aida menjegilkan matanya.
“Burn him?” tanya Qaira. Ni dah kira gothik gila Aida ni! Bukan Aida ke yang paling awal khatam AlQuran antara mereka berempat. Sejak bila Aida ada genetik psiko ni?
“Ya, burn him. Sampai rentung!”
Semua mata melihat Aida.
“Ehem!” Dehaman itu membuatkan pensel di tangan Sara terpelanting.
“Maya, dah sampai soalan nombor berapa kumpulan awak buat?” Cikgu Hayati bertanya. Dari tadi dia melihat empat gadis itu asyik berbual sahaja sedangkan mereka sepatutnya menyiapkan kerja kumpulan yang diberikan.
“Nombor 7 cikgu!” Maya menjawab dengan menggigil. Naya betul ni. Kalau Cikgu Hayati telefon emak pasti balik nanti dia akan didenda.
“Nombor 7? Orang lain dah buat sampai nombor 70 tau!” Cikgu Hayati menggelengkan kepala. 4 gadis ini bijak tetapi selalu culas dalam membuat tugasan. Asyik mengelat namun peliknya keputusan ujian yang diberikan selalu pula dapat markah yang bagus. Gifted agaknya!
“Nombor 77 cikgu! Saya salah cakap!” Maya tersengih-sengih mempertahankan diri.
Aida, Sara dan Qaira sudah jadi kura-kura. Menunduk tidak mahu menampakkan muka. Maya memang kelam kabut. Selalu kantoi! Tak pandai berlakon betul!
“Latihan sampai nombor 75 aje Maya. Yang dua tu datang dari mana? Kamu buat sendiri?” Cikgu Hayati sudah tidak dapat menahan tawa. Perasaan gelihati dan geram bersilih ganti. Anak muridnya ini memang saja mahu mencari nahas.

****
Petang itu mereka berkumpul lagi. Kali ini di padang bola. Konon memberitahu emak mereka yang mereka mahu berjogging padahal dah setengah jam mereka duduk di bawah pokok yang rendang itu berbual. Berbincang tentang konspirasi mereka mahu mengenakan Hairul. Agenda yang masih belum habis.
“Masa aku nak balik tadi aku nampak Hairul dengan Rin.” Sara memberitahu berita terkini dan sensasi sambil mulutnya tidak henti mengunyah Twisties.
“Kau ni buat aku loyalah.” Qaira menjawab namun tangannya merampas plastik Twisties dari tangan Sara. Mengambil segenggam dan makan. Loya tetapi selera.
“Rin tu kenan kucingkan. Asyik meleset aje. Macam nak mengawan.” Maya bersuara dan menghirup air Milo di dalam kotak sehingga berbunyi-bunyi. Entah apa yang dihirupnya lagi melainkan angin Milo saja yang tinggal di dalam kotak itu.
“Muka Hairul pulak macam mana?” tanya Qaira mahu tahu.
“Tersenyum bahagia. Macam lelaki di atas awan.” Aida yang menjawab. Semua mata memandang Aida. Merapu betul.
“Maksud aku, sukalah. Syok!” Aida mempertahankan dirinya.
“Huh! Benci aku!” Qaira semakin tertekan. Bagaimana ya mahu membalas dendam kepada Hairul yang telah mempermainkannya? Kalau boleh Hairul mahu direbus-rebus biar empuk. Mahu dicubit-cubit sampai lebam! Kejam! Hairul memang kejam. Memalukan dia di khalayak ramai.
“Dah pukul enamlah weh. Marah mak aku kalau lambat. Tolong!” Maya sudah berdiri di tepi basikalnya dan menghulurkan botol air mineral kepada Aida.
Aida pun menyuruh Maya berpusing dan botol air mineral dibuka. Dengan berhati-hati dia memercikkan air ke baju-T Maya. Bukti Maya berjogging! Kononnya peluh padahal air mineral Spritzer!
“Aku pun kena balik jugak.” Aida menghulurkan botol mineral itu kepada Maya pula.
Qaira hanya melihat aksi kawan-kawannya. Mak dia orang ni tak hairan agaknya peluh anak mereka wangi. Ada khasiat mineral lagi!
“Jum, balik!” Aida mengajak Qaira. Rumah mereka yang paling berdekatan.

***

“Kalau betul nak kawan dengan saya, ada syaratnya.” Hairul memberitahu Qaira.
“Apa syaratnya?” Qaira sudah semakin teruja. Berpacaran dengan Hairul memang akan menyebabkan dia juga turut popular. Hairulkan pelajar contoh. Aktif dalam sukan dan sangat mahir berpidato. Setiap kali Hairul masuk pertandingan berpidato dialah yang akan tercongok di barisan depan. Setiap patah ayat yang keluar dari mulut Hairul macam emas. Emas tulen dari Poh Kong! Berharga dan tinggi nilainya.
“Saya tak sempatlah nak buat projek sains tu. Sayakan sibuk. Mana sempat nak jaga pokok tu.” Hairul memberitahu.
“Nak suruh saya jaga pokok?” Qaira bertanya.
“Boleh tak?” Hairul tersenyum memandang Qaira. Qaira yang manis. Qaira yang pandai. Qaira yang akan dipergunakan untuk keselesaannya.
“Boleh.” Qaira menjawab dengan yakin.
Dan seterusnya dia jugalah yang membuat latihan matematik lelaki itu. Dialah yang membuat kerja rumah Biologi. Hairul kan sibuk. Apa salahnya dia berkorban. Dan dia jugalah yang dengan rajinnya menunggu di tepi padang dengan setin 100 plus untuk Hairul membasahkan tekak selepas penat berlatih. Dia jugalah yang berlari mengejar Pak Mat yang berbasikal menjual karipap apabila Hairul memberitahu dia lapar dan tidak sempat makan tengahari.
Ya, semuanya dia. Waktu itu Qaira bukan Qaira. Dia macam dipukau Hairul. Nasihat Sara, Maya dan Aida tidak berbekas di hati. Dia menganggap mereka bertiga cemburu. Hinggalah sewaktu majlis hari lahir Hairul. Majlis yang dia tidak dijemput. Majlis yang dia terjah dan dia merasa sangat malu apabila Hairul membiarkan kawan-kawannya mentertawakan dia.
“Ini ke budak yang kau kata psiko tu?”
“Aku pun teringinlah jadi pakwe angkat dia. Senang tak yah buat kerja rumah.”
“Ko ni mimpi ke apa? Hairul mana boleh jatuh standard kawan dengan ko!”
Tohmahan dan sindiran itu menyebabkan dia merasakan hatinya bagai disiat dengan pisau. Hairul langsung tidak berkata apa-apa. Lelaki itu hanya diam dan buat-buat sibuk menghirup Coke. Macam segala kebaikannya selama ini tidak ada. Seolah-olah Hairul tidak kenal siapa dia. Dan sakit hatinya bertambah melihat Rin yang bergayut di tangan Hairul. Macam monyet!

***

“Aku semalam pergi pasar malam.” Aida memberitahu dengan penuh teruja.
“Kau beli kebab dengan air mata kucing.” Sara membalas.
“Aah.”
“Kau beli rambutan.” Maya menyampuk.
“Aah.”
“Kau beli soya panas.” Giliran Qaira meneka.
Sebenarnya selera Aida sudah dihafal mereka. Kalau keluar jadi soalan ujian, sah dapat markah 100.
“Pandai eh korang.” Aida menggaru kepalanya. Kagum dengan kawan-kawannya yang genius.
“Huh!” Mereka bertiga mengeluh. Tidak sampai hati mahu memberitahu Aida yang seleranya adalah menu terkontot di dunia. Balik-balik kebab. Balik-balik air mata kucing. Balik-balik soya panas.
“Tapi bukan tu yang aku nak ceritalah.” Aida kembali kepada isu yang mahu disampaikan.
“Apa dia?”
“Jap! Aku lupa.” Aida menepuk dahinya. Alamak, bercerita tentang semua makanan kegemarannya, dia jadi nanar seketika.
“Potong steam!”
“Hampeh!”
“Tak boleh pakai!”
Mereka bertiga sudah bangun dari bangku yang mereka duduki. Buang masa saja menunggu Aida bercerita. Baik mereka beli rojak buah. Dapat juga mengenyangkan perut yang kelaparan.
“Haaaa.....aku dah ingat! Makcik jual pau tu cerita yang mak bapak Hairul nak berpisah.” Aida menepuk meja dan bangun melompat. Gembira dia sudah ingat apa yang mahu disampaikan. Namun lompatannya terhenti apabila melihat wajah kawan-kawannya itu tidak membawa reaksi yang gembira.
“Kenapa weh? Korang marah aku tak cerita yang aku beli pau daging eh?” Aida memandang wajah kawan-kawannya satu persatu.
Mereka bertiga hanya berdiam.
“Mak bapak dia nak bercerai?” tanya Qaira.
“Aah. Bapak dia nak kahwin lain.” Aida menyambung cerita.
“Mak dia bukan baru lepas bersalin ke?” tanya Sara.
“Korang! Hairul mesti sekarang tengah tension kan? Padan muka dia!” Aida bersungguh-sungguh gembira.
“Patutlah aku tengok dia macam tak happy dua, tiga hari ni.” Beritahu Maya pula.
“Korang! Bukan ke korang nak Hairul menderita?” Aida masih lagi tidak faham dengan sikap kawan-kawannya itu. Mereka ni sudah berubah agaknya? Tadi mereka bertiga makan goreng pisang. Dia saja yang menolak. Goreng pisang Pak Mail ada kesan efek boleh bagi orang jadi baik ke?
“Goreng pisang tadi ada lagi?” tanya Aida pada kawan-kawannya sambil tersengih-sengih! Dia pun nak jadi baik juga! Mana boleh mereka bertiga masuk syurga dan tinggalkan dia sorang-sorang kat neraka!

***

Mereka berkumpul di kantin. Nasi lemak sebungkus tetapi ada 4 sudu. Bukanlah lapar sangat tetapi sudah lama tidak merasa nasi lemak Mak Kiah. Sambalnya sedap. Aroma nasinya sangat lemak.
“Tengok arah Barat.” Maya memberitahu.
Semua berpaling ke arah yang diberitahu Maya.
“Tak nampak apa pun?” Aida bertanya. Mana ada apa-apa kat situ. Suruh tengok udara ke apa?
“Baratlah sengal. Bukan Timur!” Sara terasa mahu mengetuk kepala Aida. Kenapalah Aida boleh hanyut dalam kumpulan mereka, dia tidak pasti.
“Owh...sorry! Kompas aku rosak.” Aida tersengih-sengih.
“Dia nampak sedih!”
“Asyik tenung mee dalam pinggan tapi tak makan.”
“Aku dengar ujian Matemetik semalam dia fail.”
Aida kini menoleh ke arah yang dilihat mereka. Ah, Hairul rupanya.
“Kau kesian kat dia?” Aida menyinggung Qaira.
“Taklah.” Perlahan Qaira menjawab walaupun rasa simpati datang menggebu.
“Pergilah tegur dia.” Aida memberikan cadangan.
“Kau lupa apa dia buat kat aku?” Qaira menjegilkan matanya.
“Yang aku ingat, walaupun ketiak kau berpeluh mengejar pakcik jual karipap tu, aku nampak kau gembira. Walau kau ikat perut save duit belanja sebab nak beli 100 plus, aku tengok kau selalu senyum.” Aida memberikan hujahnya.
Mereka yang bertiga mendengar tergamam. Betulkah Aida kawan mereka yang bercakap? Aida yang kuat merapu tiba-tiba jadi sivik? Menakutkan!
“Kau ni kenapa?” Maya bertanya.
“Semalam aku beli lagi goreng pisang. Aku nak pergi librarylah. Daa!” Aida melambai lalu berjalan pergi meninggalkan kawan-kawannya.
“Apa kena mengena goreng pisang tu hah?” Maya keliru.
“Ntah! Fius Aida rosak kot?” Sara menyokong.
Namun tumpuan mereka beralih kepada Qaira yang sudah bangun melangkah. Mahu terbeliak anak mata mereka melihat Qaira yang mendekati Hairul. Biar betul!

“Awak sihat?” Qaira bertanya.
Hairul memandang Qaira. Gadis yang dia malukan. Gadis yang dia pergunakan kerana mengikut cadangan Syafiq yang tidak berguna itu. Semenjak seminggu yang lepas, hubungan baiknya dengan Syafiq putus. Mahu tidak putus! Emak Syafiq yang merampas ayahnya dari keluarga mereka.
“Qaira, maafkan saya.” Hairul bersuara. Malu dengan sikapnya yang semberono.
“Tak apa.”
“Saya belanja awak aiskrim nak?” tanya Hairul.
“Nak.” Qaira menjawab sambil tersenyum. Betullah kata emak. Kalau kita buat baik pada orang, satu hari nanti pasti orang buat baik dengan kita.
“Nak aiskrim apa?” tanya Hairul.
“Cornetto 3.”
“Tiga?” tanya Hairul hairan. Ini makan ke melantak?
“Untuk kawan-kawan saya jugak.” Qaira memberitahu.
Hairul menoleh dan melihat Maya dan Sara melambainya dengan mesra. Dia turut tersenyum. Tiga pun tigalah!
“Kita kawan ya?” tanya Hairul.
Qaira menganggukkan kepala. Tidak faham definisi kawan yang disebutkan Hairul tetapi dia merasa bahagia. Macam berjalan di atas awan. Syok!