Saat hati terusik dan detak jantung seperti mesin yang rosak
SEBAL terasa hati apabila mengingatkan bunyi Hana yang mengekeh di hujung talian. Suka benar Hana mendengar dirinya yang tidak ketahuan.
“Dulu masa kau bercinta kejap dengan Khalid pun rasanya kau tak adalah macam ni.” Hana mentertawakannya.
“Hey, jaga mulut tu. Mana ada aku bercinta dengan dia!” Airis mempertahankan diri. Telinga sudah merah dan gegendang seperti sudah mengalir darah.
“Yalah dengan dia dulu, kau main pandang-pandang. Jeling-jeling. Senyum-senyum. Tak sempat mekar berbunga, dia dah disambar orang!” Hana membuat komentar secara lintas langsung dari Kuala Lumpur.
“Kau cakap macam aku ni tak ada hati dan perasaan!” Airis pura-pura merajuk.
Dan Hana masih lagi ketawa. Hana ini memang ada kenan langsuir. Airis membuat analisa. Atau mungkin Hana ada saka yang diwarisi dari keturunannya belah Siam. Hanakan ada darah Siam. Sebab itu Hana suka makan tomyam dan somtam.
“Tanpa kau sedar...Cuma aku yang sedar, memang kau tak ada hati dan perasaan. Sebab kau dah serahkan pada dia. Huhu!” Hana menjerit kecil pula.
Tanpa perlu Hana ada di depan matanya, Airis dapat merasakan yang Hana sedang bersamba di sana. Entah-entah sedang bersalsa. Sakitnya hati. Ingatkan mahu cari teman mengadu nasib tetapi dirinya pula ditertawakan. Siap sebut nama Khalid lagi. Sungguhlah Hana itu kejam.
“Kau ni tak ada hati perut betullah!”
“Hey, siapa kata aku tak ada hati perut. Usus dengan pankreas aku ini elok aje terletak ni.” Hana membalas dengan gembira.
“Aku tak nak datang KL.” Airis membuat keputusan.
“Haa...tu contoh tak ada hati perut. Maiza semalam muka keruh. Lebih keruh dari orang yang duduk Ayer Keroh. Risau aku.” Hana menukar topik perbualan mereka.
Akhirnya Airis pula yang merasa bersalah dan berjanji untuk ke sana juga. Lagi pun memang dia ada mesyuarat dengan pihak bank. Hana memang semenjak mahu kahwin ini semakin mahir dalam memutarbelit keadaan. Manipulatif.
“Termenung lagi?” tegur Ros apabila melihat adiknya itu macam patung saja duduk diam tidak bergerak. Sebentar tadi bukan main riuh dan meriah berbual dengan Hana. Sampai ke dapur riuhnya kedengaran.
Airis tersenyum memandang kakaknya itu.
“Dah ok tak kaki tu? Nak urut lagi?”
“Tak naklah. Sakit. Malam nanti akak letakkan minyak panas ya?” Airis tersenyum manja.
“Dah besar panjang pun masih nak bermanja! Kahwinlah senang.” Ros mengusik. Melihat rona wajah Airis yang berubah, dia senyum. Isu kahwin dengan Airis memang seperti api dengan minyak petrol agaknya. Bila disebut saja pasti marak membakar.
“Kalau dapat lelaki yang baik, untunglah. Kalau dapat yang tak?” Airis menggeleng beberapa kali. Bukan sedikit dia mendengar cerita tentang rumahtangga yang bermasalah. Bercinta bersungguh-sungguh, kahwin tidak lama dan sekejap saja sudah berantakan dan segala yang indah dicampakkan keluar dari tingkap rumah. Aniaya!
“Nak cari yang sempurna, kita kena tengok diri kita juga. Sempurna ke kita ni? Cukup baik tak diri kita ni sampai nak menilai dia begitu terperinci. Kita ni pun manusia biasa. Banyak khilaf, banyak dosa.”Ros menasihatkan.
Airis jadi seperti digam mulutnya.
“Kita suka menilai orang sampai kita lupa yang mereka pun boleh menilai kita. Kita jadi lupa. Lupa yang kesempurnaan tu milik ALLAH. Bukan milik kita.” Ros menyambung nasihatnya.
“Akak...” Airis memanggil dengan perlahan. Ya, kakaknya ini memang kuat bergurau dan senang diajak berbincang apa saja. Namun ada ketikanya, kak Ros boleh menjadi seorang yang serius dan kata-katanya bagaikan pisau yang menusuk dalam hingga meresap ke pangkal hati.
“Pergi mandi. Nanti kita makan sama. Malam ni kita nak sambut hari jadi abang Muaz.” Ros mengingatkan.
Airis mengangguk. Dia tidak lupa. Kerana sebab itlah dia gagahkan diri untuk pulang ke Batu Pahat. Hadiah untuk abang Muaz sudah lama dibeli ketika dia ke KL tempohari. Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dalam bilik. Terasa malu. Duduk di birai katil dia termenung seketika. Menghadam kata-kata kakaknya sebentar tadi. Memang betul kata Kak Ros, kita manusia memang suka menilai orang lain. Suka menghakimi dan bertambah teruk apabila sesuka hati menjatuhkan hukuman.