
Akhirnya, Juara Carta Cinta tiba. (Ops, akan datang sebenarnya ) InsyaAllah Februari nanti, novel ke lima saya ini akan mula dipasarkan. JCC ditulis ketika saya cuti sakit. Novel ini saya taip kebanyakkannya dengan menggunakan sebelah tangan saja sebab tangan kiri saya waktu itu baru buat pembedahan fistular. Rajinnya saya waktu itu, hehe….Tuhan saja yang tahu. JCC adalah inspirasi. JCC adalah jalur harapan yang saya garapkan di dalam watak-watak Maya Hanum, Adnan, Haqiem dan Haiqal. Saya hanyutkan diri saya di dalam dunia novel supaya saya mampu untuk menguatkan semangat mahu terus hidup.
Semoga JCC mampu membuat anda tersenyum. Inilah synopsis JCC!
Ini kisah kejiranan yang gila. Ada pokok yang disiram air panas. Sampai kiamat, pasti tidak subur! Ada karipap yang berintikan julap maka penatlah berulang alik ke bilik termenung. Maya tersepit umpama inti sandwich yang dihimpit rapat oleh roti panas.
Jiran sebelah kiri selalu membuatkan dadanya terasa mahu pecah. Bekas kekasih yang tidak faham makna tidak. Kata hati Maya, sejarah lama tidak akan berulang kembali. Kata hati Haqiem, sejarah mengajarnya untuk tidak melepaskan wanita idaman hati. Maka remuklah organ dalaman Maya bila kerap diasak.
Jiran sebelah kanan pula membuatkan Maya pening kepala. Besarnya tanahair Malaysia, mengapa lelaki itu memilih untuk membeli rumah di situ juga? Sudah beristeri mengapa masih mencuri pandang pada dia?
Kehadiran lelaki yang tidak diketahui namanya membuatkan Maya gila! Lelaki ini kaya dengan teori.
Lelaki :“Orang kata kalau kita nak kenali seseorang, kita tengok bila dia shopping, apa yang ada dalam bakul atau trolinya.”
Maya: “Owh macam tu! Kalau I beli pisau setengah dozen? Tukul besi dua. Parang enam dan gergaji tiga. Apa maksudnya?”
Lelaki: “Somebody hurt you very bad, I guess.”
Dunia Maya kacau bilau bak diserang garuda. Siapakah juara di dalam carta cintanya? Yang kanan? Yang kiri? Atau yang sering singgah di dalam hati?