9
Kalau cinta itu malapetaka,
Gempa bumi ini bilakah akan berhenti?
Dia memandang Mala dengan pandangan yang tidak berkelip. Benarkah apa yang diberitahu kawannya itu sebentar tadi? Mungkin telinganya salah mendengar atau Mala hanya main-main?
“Ulang balik apa yang kau cakap tadi?” Tangan Ayumi yang sedang mengutip sampah itu kini berhenti. Menunggu Mala menyambung bicara namun hanya sengihan yang menjadi jawapan. Mala kelihatannya asyik menjirus pokok-pokok bunga di pejabat itu sambil menggunting dedaun yang kekuningan.
“Mala?”
“Cepatlah buat kerja. Dah dekat pukul 9 ni. Aku tak nak balik lewat lagi macam semalam.” Mala menjawab.
Ayumi mendengus. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab. Tiba-tiba Mala berkata mungkin jodohnya sudah sampai. Sampai dari mana? Langit ketiga? Atau langit ke tujuh? Semalam mereka balik lewat kerana pejabat yang mengambil kontrak pembersihan mereka mengadakan parti. Mereka datang ketika jam sudah mencecah sebelas malam iaitu apabila majlis sudah tamat. Jam dua pagi baru mereka sampai di rumah. Selalunya jika ada kontrak kecemasan begitu, memang mereka yang menjadi mangsanya. Abang Mala, Khairil yang merupakan bos mereka juga turut sama menyumbang tenaga.
“Kau percaya pada takdir?” tanya Mala tiba-tiba.
“Ya,” jawab Ayumi dengan malas.
“Kau tahu tak nasib seseorang boleh berubah dalam sesaat?” Mala kian teruja.
“Kau ni mabuk ke apa?” terjah Ayumi. Minum red bull pun boleh mabuk? Itulah minuman kegemaran Mala. Sedangkan bagi Ayumi, diupah pun dia tidak mahu. Baunya saja sudah memeningkan. Dia lebih suka minum 100 plus sahaja. Dapat menambah tenaga ketika sudah penat bekerja.
“Cinta itu indah.” Mala mengambil kain dan mengelap meja. Hanya mereka berdua di tingkat itu. Khairil dan Farid berada di tingkat yang atas. Mereka membahagikan kerja.
“Gila.” Ayumi membalas dan terus menvakum.
“Cinta buat kita rasa dunia yang bulat ini macam segi empat tepat!” Mala menyambung lagi falsafah cintanya.
“Kenapa pulak segi empat?” Ayumi akhirnya melayan juga Mala dengan teori cintanya.
“Sebab bergerak ke mana-mana pun, kita masih melihat orang yang sama. Asyik-asyik nampak dia!” Mala merasionalkan teorinya.
Ayumi hanya tersenyum. Mahu saja dia menyatakan kepada Mala, cinta itu juga bodoh. Kerana cinta, manusia sanggup memperbodohkan diri, menjadi hamba perasaan dan larut dalam keasyikan yang melumpuhkan. Cinta juga adalah sengsara kerana cinta selalu membuat kita terlupa pada yang lebih berkuasa.
“Lagu Hadif Imran!” Mala menjerit kesukaan. Volum radio dikuatkan. Mala sudah turut menyanyi sama.
“Rosak lagu dia.” Ayumi memberi komen.
“Handsome kan dia!” Mala mendekati Ayumi.
“Apa kena mengena lagu dengan muka dia? Yang sedap tu suara dia.” Ayumi melihat sekeliling dan merasa puas hati dengan tugas yang sudah diselesaikan. Dia bangga apabila pejabat yang mereka bersihkan kelihatan kemas. Pasti esok pagi mereka yang menduduki pejabat yang bersih itu akan bertugas dengan lebih bersemangat.
“Kalau dia tak handsome, lagu sedap pun jadi kureng!” Mala masih lagi mahu bercakap tentang Hadif Imran.
“Kau ni bias. Nilai orang melalui rupa!” Ayumi memarahi Mala.
“Maksud kau, dia tak handsome?”
Terasa mahu saja Ayumi mengetuk kepala Mala. Kawannya hari ini ada terhantuk di dinding mana agaknya? Asyik mereng sahaja!
“Aku tak kata dia tak handsome!” Ayumi menjawab. Dia tahu, selagi dia tidak menjawab, selagi itulah Mala akan mendesak. Mala ada sifat seperti Jillian di dalam The Biggest Loser! Mendesak dan mendesak saja kerjanya.
“Haaa, maksudnya kau sukalah dia ya.”
“Huish, macam mana kau tak tau ni? Aku memang suka gila kat dia. Aku dah bayangkan kalau dia jadi pakwe aku, jadi tunang aku dan akhirnya jadi suami aku! Huhu. Bestnya!” Ayumi menjegilkan mata kepada Mala. Seronok melihat wajah Mala yang terkesima.
“Be carefull with what you wish!” Mala menjawab dengan senyuman.
“Yalah tu. Kau ingat ini cerita Cinderella?” Ayumi sudah mula mengemas barang-barang mereka. Dia tahu, sekejap lagi pasti Khairil akan muncul untuk membawa mereka pulang.
“Kau tahu bonda Hadif.” Mala bertanya.
“Kenapa? Aku tak ambik tahulah pasal penyanyi sebab aku rasa, dia pun tak mungkin ambik tahu pasal aku.” Ayumi ketawa dengan jenakanya sendiri.
“Bonda dia ada rumah perlindungan untuk anak-anak yatim dan budak-budak yang datang dari keluarga miskin.” Mala menerangkan.
“Mhmm.”
“Beruntung kalau dapat kenal bonda yang baik macam tu kan?” tanya Mala lagi.
“Mhmm.”
“Mesti perempuan yang tabah.” Mala menyambung lagi. Kini mereka berdua sudah mula menuruni tangga. Bangunan itu mempunyai dua tingkat.
“Mhmm.”
“Wei, apa yang mhmm, mhmm aje ni!” Mala sudah naik angin.
Ayumi berpusing menghadap Mala. Terasa mahu menyekeh Mala. Mengapalah kawannya ini sedikit bengong hari ini. Apalah faedahnya bercerita tentang Hadif Imran yang tiada kena mengena dengan hidup mereka. Kalaulah Mala tahu yang dia sangat gembira menjadi tukang cuci sahaja. Dunia yang luas ini dia mahu menjadi kecil sahaja. Dia tidak mahu meneroka dunia yang luas itu. Dia hanya mahu menyembunyikan diri.
“Yang baik tu bonda dia. Belum tentu, dia!” Ayumi membalas.
“Korang ni perang Sabil kenapa?” tegur Khairil.
“Mala hari ni demam.” Ayumi membalas.
“Ayumi tu yang mengong.” Mala mejelirkan lidah.
Khairil dan Farid saling berpandangan. Tadi bukan main lagi baik. Habis waktu kerja sudah bergaduhan pula. Khairil hanya menggelengkan kepala. Malas mahu melayan adiknya itu. Adik dan pekerja sama saja perangainya namun dia tahu mereka berdualah yang boleh dipercayai. Bukanlah pekerjanya yang lain tidak jujur namun sesetengah pejabat yang mengambil kontrak dengan mereka mempunyai banyak barang berharga dan kerana itu dia membahagikan para pekerjanya yang seramai 10 orang itu mengikut kategori yang tertentu. Imej dan kredibiliti mereka mesti dijaga supaya memastikan kontrak mereka tidak dibatalkan.
“Abang laparlah. Kita pergi makan dulu sebelum balik eh.” Khairil memberitahu kepada Ayumi dan Mala yang sudah memasuki van.
“Okay.” Mala sudah kembali ceria.
Ayumi mencebirkan bibir. Mendengar pasal makanan memang Mala akan cepat menjadi ceria. Sedangkan bagi dirinya, dia sudah membayangkan tilam yang empuk walaupun nipis saja sebenarnya. Dia mahu merehatkan badan tetapi mengenangkan Khairil yang lapar, kasihan pula.
“Korang berdua berebut boyfriend ke?” usik Farid.
“Owh, please!” Mala mendengus.
“Habis tu?”
Keduanya diam tidak menjawab.
“Bisu dah?” Khairil mencelah.
“Mala sengal!” Ayumi menjawab.
“Ayumi gendeng!”
Tersenyum juga bibir Ayumi mendengarkan tohmahan Mala. Suka-suka saja menuduh dirinya begitu. Mentang-mentanglah dia tidak pandai cakap Jawa.
“Nak gaduh, sila guna bahasa DBP ya!” tegur Ayumi.
“Gendeng tu dalam kamus ada tau. Kalau kau bukak mukasurat 24, siap ada gambar engkau lagi dalam tu.” Mala menjawab bersama tawa yang tidak mampu di tahan lagi.
Ayumi akhirnya turut ketawa. Adakah patut ada gambarnya? Ingat ini buku ABC? Mereka berdua saling berpandangan dan menyambung lagi tawa. Tiada apa yang mahu digaduhkan pun. Saja mahu menceriakan keadaan.
“Aku tak boleh bayangkan kalau dia orang ni satu hari nanti betul-betul bergaduh!” Farid memberikan ulasan. Keakraban Mala dan Ayumi memang tidak dapat dipisahkan.
“Satu hari je.” Mala membalas.
“Aah, satu hari aje.” Ayumi turut menyokong.
Khairil dan Farid berpandangan dan menggelengkan kepala. Buat buang air liur saja bercakap dengan mereka berdua. Memang tidak menguntungkan. Lebih baik mereka mendengar lagu yang berkumandang.
0 comments:
Post a Comment