Pelik tetapi benar. Itulah situasi yang terpaksa aku hadapi kini. Dahulu, hubungan kami amat rapat. Bagai isi dengan kuku. Bagai aur dengan tebing. Antara kami, hubungan yang terjalin bukan setakat teman serumah tetapi juga teman sebilik. Kerap kali, saat malam mahu menginjak ke pagi, walaupun lampu sudah lama dimatikan, ruang kamar kami tetap tidak sunyi. Ada saja kisah yang mahu diceritakan. Tidak lengkap rasanya hidup jika dalam sehari, aku tidak mendengar hilai tawa dan gurau sendanya. Kami sama-sama berkongsi impian dalam menyusun langkah merempuh hidup yang penuh pancaroba.
Namun itu dahulu. Kini, walau berpapasan di depan muka pintu pun kami tidak bertegur sapa. Bukan aku yang tidak sudi tetapi Mariam yang tidak mahu. Salah aku seorangkah kerana mengeruhkan perhubungan yang dulu tulus dan jernih? Berdosa benarkah aku padanya hinggakan persahabatan yang terbina sekian lama kini putus berantakan?
Ironinya, walaupun kami tidak sebilik atau tinggal serumah lagi, kini kami tinggal berjiran pula. Bukankah 40 buah rumah yang berada di sekeliling kita akan dianggap sebagai jiran? Teringat aku pengajaran ustazah semasa aku di sekolah rendah dulu. Masalahnya, dia bukan tinggal 40 buah rumah dari rumah ku. Atau pun 20 buah rumah jarak jauhnya. Pangsapurinya berdepan dengan unit pangsapuri yang aku duduki. Rumahnya betul-betul di depan rumahku! Kacau, bukan?
Dahulu, sewaktu hubungan masih lagi terjalin erat, kami bersetuju untuk sama-sama memilih unit pangsapuri yang berdekatan. Kami impikan, kami akan sama-sama mengharungi usia tua bersama! Paling tidak pun, semasa kami masih muda ini, kami sama-sama dapat mengumpul harta. Sama-sama membantu jika salah seorang dari kami dilanda musibah. Ah, tinggi benar harapan yang kami semai. Rupa-rupanya, yang ada hanya kenangan yang indah dan bertukar menjadi mimpi ngeri.
Fikirku bila bersahabat, biarlah sampai ke mati. Tinggal berdepan pasti lebih menyenangkan. Namun, hati manusia siapalah yang tahu! Hati manusia memang tercipta untuk sukar sekali diteka apa isinya. Riak di muka tidak mencerminkan kata hati sanubari.
“ Belajarlah melupakan dia. Letakkan dia dalam lipatan sejarah. Biarkan dia berhabuk dan berdebu di situ.” Nasihat Aiman bila ku ceritakan masalah aku dengan Mariam. Dia lelaki. Pasti hatinya lebih kuat dan tidak mahu memikirkan soal remeh begini. Melihat wajahku yang masam kelat, dia menyambung bicaranya lagi.
“ Masa untuk kau dan dia bersahabat sudah tamat atau luput agaknya.” Tangannya menutup bibir menahan ketawa melihatkan mataku yang menjegil memandangnya.
“ Kau fikir, hubungan kami ini macam produk makanan? Ada tarikh luputnya?” Marahku sambil menghempas fail ke meja. Hilang sudah selera makanku mendengarkan nasihat Aiman yang langsung tidak boleh digunapakai.
“ Tentunya setiap yang hidup akan mati. Yang terjalin boleh putus, yang kahwin pun boleh cerai. Itu semua bukan tarikh luput ke?” Aiman mempertahankan pendapatnya sambil ketawa tidak henti. Rakan sepejabatku ini memang sudah tidak siuman agaknya. Perkara hidup dan mati pun boleh dijadikan gurauan.
“ Cepatlah kemas fail. Nanti habis lauk pauk. Lapar perut tak berisi dari semalam.” Sergah Aiman apabila melihat aku masih lagi memegang fail dan duduk termenung. Aiman memang seorang lelaki yang amat menepati waktu. Kalau ku katakan pukul dua, pukul satu lima puluh sembilan, pasti dia sudah terjongol di depanku. Satu sifatnya yang amat aku senangi kerana aku juga sepertinya, amat tidak suka dalam bab tunggu menunggu. Setiap saat yang dibazirkan boleh membuatkan darah aku mendidih.
“ Kau pergilah. Aku hilang selera.” Aku duduk semula. Sengaja tidak kupandang wajah Aiman yang sudah tentunya tidak puas hati dengan kerenahku. Tiba-tiba laju saja Aiman melangkah dan sekelip mata tangannya sudah mencapai tas tanganku yang diletakkan di atas rak fail. Langkah di atur ke arah pintu dan lampu bilik dimatikan. Aku kini dalam kegelapan.
“ Aku tak kira, kau kena temankan aku makan. Aku kira sampai tiga, kalau kau tak bangun….” Ugut Aiman yang sudah berdiri di tepi pintu. Di bahunya, tas tanganku diletakkan. Hodoh sungguh rupa lelaki apabila memakai tas tangan! Aku mahu mengatur ayat lagi untuk memarahinya namun niat itu kumatikan saja. Aiman kalau sudah buat keputusan bukan boleh diubah-ubah. Keras kepala!
“ Aku tahu apa dalam hati kau! Kalau pasal keras kepala, kepala kau lebih keras dari aku. Kau lagi teruk. Degil!” Bebel Aiman sewaktu di dalam lif. Cakapnya tidak aku pedulikan. Biarkan dia membebel. Sebentar lagi dia pasti diam sesudah amarahnya reda.
Sudah 4 tahun kami bekerja di bawah satu bumbung. Segala ragam dan kerenahnya sudah cukup aku fahami. Entah kenapa, aku amat rapat dengannya. Ada yang mengatakan kami bercinta tetapi hakikatnya cinta Aiman hanya untuk kekasihnya seorang. Lelaki ini cukup setia pada Suzita yang kini masih lagi belajar di Jepun. Dari program master kini mahu beralih mencapai Phd pula. Mahu menggapai peringkat tertinggi dalam pengajian. Suzita anak orang kaya maka tentunya wang ringgit tidak menjadi masalah untuknya terus mencapai impian. Naiklah yen setinggi mana, impian Suzita pasti dipenuhi. Maklumlah anak tunggal.
Aku pula memilih untuk membiarkan saja apa yang dikatakan orang. Fitnah mereka akan menambahkan pahalaku! Mungkin juga ku biarkan saja tohmahan itu kerana aku selesa bersama Aiman. Adanya Aiman bermakna tiada lelaki yang berani mendekati aku. Tiada pelanggan yang akan mengendeng hendak mengajak aku keluar berpesta yang kononnya sebagai salah satu ritual yang biasa dalam dunia korporat.
Aku sebolehnya tidak mahu didekati lelaki. Aku tidak sesuai untuk digandingkan bersama mereka. Aku mahu terus sendiri. Semuanya kerana Amir. Amir yang kini sudah menjadi teman lelaki Mariam. Teman lelakinya itu amat aku benci. Seringkali dalam amarahku yang memuncak dan disusuli dengan akal yang tidak waras, aku kerap mendoakan kematiannya. Ya, biar Amir mati. Amir mesti mati. Namun saat sesalku datang, aku meminta ampun dari Tuhan Yang Esa kerana aku hanya manusia biasa yang selalu lalai dan lupa. Aku berdosa mendoakan musibah untuk makhlukNya. Ampuni aku, Ya Allah! Ampuni aku. Pintaku bertalu-talu.
Bagaimana pula aku boleh rapat dengan Aiman ya? Takdir Allah yang menentukan. Walaupun kerap bermusuhan pada awal perkenalan tetapi kesungguhan lelaki itu mahu berkawan membuatkan aku dapat menerima dirinya. Sementelah pula cerita kasih setianya pada Suzita membuatkan aku tidak terasa terancam dengan kelelakiannya. Berdasarkan gambar Suzita yang diletakkan di atas mejanya, aku dapat meneka mengapa Aiman begitu setia. Kecantikan Suzita sungguh menawan. Siapalah aku jika hendak dibandingkan dengan Suzita. Dia bagaikan bidadari sedangkan aku hanya gadis biasa.
***
“ Orang cemburu memang begitu Aida. Tidak boleh nampak orang senang. Aku bukan lesbian. Aku perempuan normal yang mahu lelaki sebagai kekasih.” Kuat benar suara Mariam pagi itu ketika berbual dengan sepupunya sewaktu pintu rumah kubuka pagi tadi. Sengaja mahu aku mendengar kata-kata sindirannya. Aku hanya tersenyum dalam diam. Wajah Aida aku pandang sekilas. Kasihan Aida yang kelihatannya serba salah. Mukanya ditundukkan ke lantai pura-pura memakai sandal. Aida, sepupu Mariam yang berumur awal 20an itu tidak berani menegurku di hadapan Mariam. Dia tahu tahap kebencian Mariam kepadaku sudah sampai peringkat tiada jalan berpaling lagi.
Aku yang mendengar membiarkan saja mulut celupar Mariam berbicara sesuka hatinya. Pintu gril aku kunci kemas. Aku menyanyi kecil. Tidak mahu mendengar omelan Mariam lagi. Pada Aida aku hadiahkan senyuman yang manis. Semanis madu! Biar harinya yang bermula dengan rasa serba salah itu dapat dilalui dengan lebih ceria.
“ Kawan apa kalau tidak suka melihat kawannya bahagia.” Suara Mariam masih lagi meninggi. Kasihan Aida. Pasti hampir pekak telingannya mendengarkan celoteh Mariam yang tidak menentu itu. Sebelum ini, melihat wajahku pun sudah tidak sudi. Mariam berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak terserempak denganku. Maklumlah rumah kami bertentangan. Bunyi pintu gril di buka pasti boleh didengar. Namun kini, situasi sudah berubah. Dia sebolehnya mahu terserempak denganku supaya dia dapat memuaskan hatinya melalui sindiran yang pedas dan laser itu. Sayang, aku pula menjadi semakin tidak peduli.
Sekalung tahniah patut aku berikan kepada Amir. Kehadirannya dalam hidup Mariam telah berjaya membuatkan hubungan kami hancur berderai. Amir menyemai kebencian di hati Mariam. Lelaki yang sepatutnya diciptakan Allah supaya menjadi pelindung kepada perempuan itu adalah lelaki yang tidak punya belas kasihan. Dia petualang yang tidak pernah menghormati perempuan. Amir selalu meletakkan perempuan sebagai alas kakinya sahaja. Tidak pernah dekat di hati untuk disayangi. Malang bagi Mariam, tanpa disedarinya permata yang dikendongnya itu adalah biawak hidup yang patut direjam dengan batu.
“ Kenapa akak tidak sukakan abang Amir? Kalau akak belajar menerima dia, mungkin hubungan akak dengan kak Mariam masih lagi baik. Akak tak sayang ke hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin? Sayang,kak!” Tanya Aida kepadaku. Waktu itu kebetulan Mariam bertugas ke luar daerah. Waktu beginilah saja wujudnya ruang untuk kami berbicara walau hanya di depan pintu sahaja. Aida meluahkan rasa sesalnya manakala aku sekadar cuba membunuh kesunyian hujung minggu yang amat membosankan.
“ Mati hidup semula pun akak tak akan dapat menerima Amir. Maafkan akak. Tidak pernah berniat hendak putus hubungan dengan Mariam. Tapi… Biarlah saja Aida. Mungkin lebih baik begini. Dia dengan dunia dia, akak pula dengan dunia akak.” Jelasku tanpa meluahkan rahsia yang pendam sekian lama. Biar aku saja yang tahu siapa Amir sebenarnya.
Aku sudah puas berkias dengan Mariam dahulu. Puas memujuknya menyelidik latar belakang Amir supaya kelak dia tidak akan kecewa apabila mengetahui kejahatan Amir. Namun bagi Mariam, aku ini perempuan yang cemburu. Aku dengkikan dia yang berjaya memikat hati seorang lelaki yang tampan dan bergaya seperti Amir. Di benaknya mungkin tidak terfikir, yang putih itu mungkin kusam sebenarnya dan yang hitam pula lebih luhur walau dalam misteri. Ingatan aku terimbau pada detik perkenalan Mariam dan Amir.
“ Dia lelaki yang sempurna di mataku, Lili. Setiap senyuman dia aduh, boleh buat aku gila! Dia baik, Lili. Yang terbaik untuk aku. Nanti aku jumpakan kau dengan dia, ya?” Malam itu Mariam bercerita lagi tentang lelaki yang baru dikenalinya itu. Semenjak minggu lepas, nama Amir saja yang menghiasi bibirnya. Setiap malam juga saat lampu sudah dimatikan, dalam gelap gelita itu nama Amir jugalah yang disebut-sebut. Aku hanya tersenyum mendengarkan ceritanya. Aku jadi teruja mendengarkan kebaikan Amir. Masih adakah lagi lelaki yang sebegitu? Begitu memahami nurani seorang wanita, romantik dan bertanggungjawab.
Saat kami ditemukan, teruja ku bertukar menjadi mimpi yang ngeri. Waktu mata Amir berlaga dengan mataku, rasa benci meluap-luap menyesakkan dada. Namun menghormati Mariam yang amat gembira pada petang itu, aku dan Amir sama-sama mengunci mulut. Namun diamku tidak lama. Sebaik sahaja pulang ke rumah, aku merayu Mariam agar melihat Amir dengan lebih teliti. Sayang, Mariam sudah dibutakan cinta. Kasih Amir sudah meresap ke seluruh pembuluh darah di badannya. Sayang Amir bagaikan air yang melimpahi hati Mariam hinggakan tiada ruang untuk aku mempengaruhinya.
“ Jangan sebut nama Amir lagi, Lili. Kalau kau sahabat aku, hormati pilihan aku. Aku sayangkan Amir. Aku tidak boleh berpisah dengan dia.” Kata Mariam setelah lama kami berperang dingin.
“ Tapi Mariam, aku…”
“ Cukup, Lili! Aku tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Cukup!”
Mariam memotong kata-kataku. Tidak sempat aku untuk berkata lagi, Mariam sudah mencapai kunci keretanya dan keluar dari rumah. Aku yang bangun berdiri, duduk semula. Majalah yang kupegang, ku letakkan semula ke lantai. Airmata menitis di pipi. Aku benci Amir. Aku benci Amir. Aku benci…. Aku menjerit sekuat hati. Mug di atas meja ku lemparkan ke dinding. Pecah berderai kaca bertaburan di atas lantai.
***
“ Berangan lagi? Kalau berangan macam ni, sampai esok pun kerja atas meja tu tak siap-siap.” Sergah Aiman yang sudah siap memegang begnya. Tali leher pun sudah dibuka. Lengan kemejanya sibuk dilipatkan ke atas.
“ Mana ada berangan? Aku termenung mengenangkan perut yang lapar. Usus aku terasa di gigit-gigit.” Keluhku sambil ketawa. Tanganku lincah mengemas fail-fail di atas meja.
“ Bakteria saja yang ada cita-cita hendak menggigit usus kau tu. Jum, kita makan dulu. Aku dah tempah. Halim kata sepuluh minit lagi siap.” Aiman memberitahu.
Aku memandang Aiman sambil tersenyum besar. Terliur sudah rasanya membayangkan keenakan masakan di restoran Halim, sahabat sekampung Aiman yang terletak di bangunan bersebelahan pejabat kami. Tengahari tadi dek kerana sibuk menguruskan mesyuarat yang terbabas melampaui waktu makan , aku hanya minum Milo untuk mengalas perut yang kosong.
“ Kau pesan makanan yang aku suka ke tidak?” Tanyaku sambil mengambil beg Aiman setelah melihat dia terkial-kial mahu mengunci pintu pejabat. Tinggal kami berdua sahaja pada malam ini. Teman yang lain sudah lama pulang ke rumah. Untunglah syarikat yang mempunyai pekerja yang masih bujang seperti kami. Pulang lewat tiada siapa yang mahu marah.
“ Tidak.” Jawab Aiman selamba sewaktu mula menuruni tangga.
“ Apa yang tidak?” Tanyaku pula kehairanan. Fikranku sudah jauh melayang ke isu dunia yang lainnya.
“ Makanan yang aku pilih. Semuanya yang kau benci.” Aiman tergelak melihat wajahku yang keliru.
“ Aku pilih tanduk lembu goreng kunyit, muncung itik masak cili padi dan siput dot dot dot goreng berlada.” Aiman menyambung bicaranya lagi disulami dengan ketawanya yang terkekeh-kekeh.
“ Kelakar sangat ke?” Selamba aku bertanya sewaktu sampai ke anak tangga terakhir. Penat juga menapak apabila pejabat kami terletak di tingkat tiga. Namun ada juga kebaikannya. Maklumlah senaman percuma untuk orang – orang malas seperti aku.
“ Entah! Tapi bunyi macam sedap juga ya nama makanan yang aku sebut tadi.” Aiman menyeringai lagi menampakkan sebaris gigi yang putih bersih.
Kata-kata Aiman aku sambut dengan gelengan kepala. Lelaki ini ada-ada saja idea untuk mengenakan aku. Tidak penatkah dia walaupun sudah seharian bekerja? Hanya pakaiannya saja yang sudah sedikit renyuk namun riak mukanya masih lagi riang dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Kalau aku yang menjadi Suzita, pastinya aku tidak mahu berjauhan dengan orang yang tersayang. Aku takut, bila jauh di mata akan jauh juga di hati akhirnya. Bukan kesetiaan Suzita yang aku curigai tetapi sifat fitrah lelaki yang dikuasai nafsunya yang satu itu aku takuti.
***
Aku mengatur langkah perlahan menuju ke muka pintu. Kalau boleh, mahu saja aku heret beg yang ku pegang. Aku sudah terlalu penat. Malam sudah semakin larut. Berbual sambil menikmati hidangan makan malam tadi membuatkan kami tidak sedar masa yang cepat berlalu pergi. Aku dan Aiman berpisah menuju ke destinasi masing-masing ketika jam sudah mahu mencecah 11 malam.
Ketika tanganku sedang sibuk mencari-cari kunci rumah di dalam beg, telingaku menangkap suara ketawa lelaki dan perempuan di belakangku. Aku tidak menoleh namun terus memegang kunci dan membuka pintu gril.
“ Jangan bising-bising, sayang! Ada orang dengki nanti!” Suara Mariam kedengaran lalu disambut oleh deraian ketawa seorang lelaki.
Aku tidak mahu menoleh. Aku diamkan saja kata-katanya itu.
“ Cepatlah buka pintu sayang! I dah tak sabar ni.” Balas Amir sambil ketawa.
Aku memasuki rumah dan pintu kukunci semula. Aku berdiri di belakang pintu tanpa bergerak. Hilai tawa mereka berdua masih lagi kedengaran. Ya Allah! Ya Allah! Beberapa kali aku menyebut namaNya dan beristighfar. Aku berdiri di balik pintu hampir sepuluh minit lamanya. Cuba mendengar suara Amir lagi. Cuba mendengar jika ada derapan kaki yang menunjukkan Amir telah pergi dari rumah Mariam. Namun yang ku dengar hanyalah kesunyian malam. Hanya degupan jantungku yang masih lagi berdegup kencang.
Dan malam itu aku lalui dengan amat payah sekali. Aku rasa berdosa jika benar telahan ku bahawa Mariam dan Amir sedang bergelumang dosa tidak beberapa meter saja jaraknya dari kamarku ini. Tidurku yang seketika juga diganggu mimpi masa lalu yang sudah lama aku cuba bunuh dan kebumikan.
Esok paginya, saat aku mahu mengundurkan kereta, dari cermin dapat ku lihat Amir sedang berjalan menuju ke keretanya. Tangannya sibuk membutangkan bajunya yang terbuka. Kalaulah tindakanku mengundurkan kereta hingga melanggarnya dan membuat dia mati tidak dikategorikan sebagai satu jenayah, pasti aku sudah melakukannya. Astaghfirullah, aku beristighfar lagi! Kereta kupandu laju meninggalkan ruang parkir itu.
***
Petang itu ketika Aiman sedang sibuk membantu aku memunggah barang-barang yang kami beli untuk salah satu kursus motivasi yang dirancangkan hujung minggu nanti, aku terkejut apabila mendapat panggilan dari Aida. Dia memintaku untuk ke hospital. Mariam keguguran katanya. Sudah semalaman Mariam di hospital. Aku keberatan untuk mengunjunginya namun pujukan Aiman membuatkan aku mengheret juga kakiku untuk melawat Mariam.
Di atas katil, Mariam berbaring dengan wajah yang pucat. Sewaktu aku melangkah masuk, wajahnya dipalingkan. Mungkin malu atau mungkin juga tidak sudi menerima kunjungan aku. Aku hanya berdiri mendiamkan diri dan membiarkan Aiman dan Aida berbual. Aida menceritakan yang Mariam terjatuh ketika berlari menuruni tangga lalu pengsan apabila melihatkan darah yang mengalir dikakinya. Dia berlari mengejar Amir sebenarnya. Mereka berdua bergaduh. Mariam tidak tahu bahawa dia sudah mengandung. Tambah Aida lagi, melihat Mariam yang berlumuran dengan darah, Amir berdesup melarikan diri. Hingga kini dia tidak berjaya menghubungi Amir. Dari semalam, talian telefonnya dimatikan. Alamat tempat kerja dan rumah yang diberikan, rupanya palsu.
“ Kau tentu suka tengok aku begini?” Tanya Mariam setelah Aida habis bercerita. Sinis soalannya dilemparkan kepada aku.
“ Aku tahu, kau sakit hati dengan apa yang berlaku. Bersyukurlah dengan takdir Allah. Jika tidak, sampai bila-bila pun Amir tetap mulia di hati engkau.” Aku menjawab dengan perlahan. Matanya ku renung tajam.
“ Kak Lili, kenapa akak benci sangat Amir? Ceritalah kak. Sudah terlalu lama kakak berdua berperang kerana dia.” Aida meminta aku untuk membuka rahsia yang ku simpan sekian lama.
Aku hanya menggelengkan kepala. Pada Aiman aku memintanya untuk menghantar ku pulang. Aku sudah menjalankan tanggungjawabku sebagai jiran. Seorang jiran dimestikan melawat jirannya yang sedang sakit. Kata-kata ustazah itu masih aku ingat.
“ Aku percaya Amir sayangkan aku. Amir kata kau benci dia sebab dia tolak cinta engkau. Dia kata kau sudah ditebuk tupai dan kau meminta dia untuk dijadikan pak sanggup. Apabila dia tidak sudi, kau membenci dia.” Jerit Mariam kepadaku. Langkah yang baru mahu ku atur, terhenti di muka pintu. Mariam kini berdiri di tepi katil dan memandangku dengan penuh perasaan benci.
“ Amir yang kau sanjung itu adalah perogol! Dia memperkosa aku. Ya, aku pernah mengandung hasil dari benih yang dialirkannya ke dalam tubuhku tanpa rela. Sembilan bulan, Mariam! Sembilan bulan aku menanggung malu. Sakitnya ketika melahirkan bayi yang tidak berdosa itu tidak sama sakitnya hati aku bila bayi yang kulahirkan itu mati sewaktu dilahirkan.”
Aku membuka juga rahsia yang lama aku simpan. Ketika itu aku baru berusia 17 tahun. Masih mentah dalam menilai hati budi seorang lelaki. Dia anak kawan baik mama. Aku tidak pernah menyukainya tetapi aku menurutkan kata mama yang amat berhajat mahu merapatkan hubungan antara keluarga kami. Mama membenarkan aku dibawa ke parti harijadi dan aku tidak pernah tahu apa yang berlaku di penghujung malam itu. Yang ku tahu, esok harinya aku terjaga tanpa seurat benang menutupi tubuhku. Airmata darah mama tidak berupaya mengembalikan keremajaanku yang direntap dengan kejam oleh nafsu buas seorang lelaki.
“Kenapa kau merahsiakannya daripada aku? Jika kau benar-benar kawan aku, kau sepatutnya memberitahu aku segala yang kau tahu mengenai Amir.” Lantang Mariam bersuara.
“ Aibku ini bukan mudah untuk kujajakan kepada sesiapa walaupun kepada engkau.” Jelasku perlahan. Hatiku yang mengasihaninya sebentar tadi sudah hilang di bawa marah yang menderu datang.
“ Tapi kalau aku tahu semua yang berlaku pada kau, aku akan jauhkan diri dari Amir. Ini semua salah kau, Lili.” Mariam menuduhku pula. Aida disebelahnya kelu tidak bersuara. Dia terduduk di sofa melihatkan kami yang masih bertelagah walau dalam situasi yang begini. Aiman pula hanya berdiri tegak mematung disebelahku. Memberi kekuatan walau hanya berdiam. Mungkin dia juga terkejut mendengarkan kisah lara hidupku. Jika takdirNya, aku kehilangan segala-galanya setelah menanggung beban rahsia ini begitu lama, aku sesungguhnya rela. Biarlah. Biarkan aku terus sendiri menanggung derita ini.
“ Kau dengan aku sama-sama mangsa, Mariam! Aku mangsa nafsu buas lelaki itu dan kau pula mangsa nafsu kau sendiri! Jangan kau lupa, bukan sekali, bukan sepuluh kali tetapi beratus-ratus kali aku cuba untuk menyedarkan engkau siapa Amir sebenarnya.” Aku tidak mahu lagi terus-terusan dipersalahkan. Mariam harus diberi kesedaran.
“ Dia memperkosa aku! Engkau pula bagaimana? Dia memperkosa engkau atau dirimu itu kau serahkan dengan penuh rela?” Tanyaku sambil memandang tepat ke arah wajah Mariam. Pang! Berdesing telingaku saat tamparan Mariam singgah ke pipiku. Mujur ada Aiman yang sempat memegang tanganku. Jika tidak pasti aku sudah jatuh tersasar ke lantai. Aiman kini berdiri antara aku dan Mariam.
“ Apa gunanya kita bergaduh sedangkan orang yang digaduhkan entah ke mana larinya?” Aiman memberikan nasihat. Aku mendiamkan diri.
Pipiku yang perit ku usap perlahan. Mariam pula mengongoi menyambung tangisnya kembali di bahu Aida. Aku tahu kata-kataku sebentar tadi tidak sepatutnya aku lafazkan. Mariam sedang terluka dan tindakanku itu tidak ubah seperti menyapu garam ke atas lukanya. Aku berundur ke belakang. Tas tangan yang ku letakkan di atas meja sebentar tadi, aku ambil. Aku tidak mampu berada lebih lama di sini. Mariam sudah dewasa. Dia perlu belajar merawat kelukaan hatinya sendiri. Biarkan dia bertanggungjawab di atas pilihannya sendiri. Tiada siapa yang memaksanya untuk setuju dengan pujuk rayu lelaki celaka itu.
Aiman mengekoriku tanpa berbicara sepatah kata. Aku melangkah ke lif. Aku mahu jauh dari tempat ini buat seketika. Kami sama-sama melangkah ke kereta. Aiman membukakan pintu untuk aku. Aku memasuki kereta dan terus berdiam diri. Aiman ku biarkan memandu. Bawalah aku ke mana saja asalkan jauh dari sini. Sebaik saja kereta diparkir, Aiman melepaskan keluhan. Aku menoleh ke arahnya.
“ Aku tidak mungkin sekuat engkau, Lili. Menempuh semua ini tanpa sesiapa. Kenapa kau merahsiakannya dari aku?” Tanya Aiman. Suaranya yang prihatin menyentuh hatiku yang sangat sensitif pada waktu ini.
“ Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Aku tidak mahu ada orang yang susah hanya kerana kasihan kepada aku. Aku benci pada orang yang memandang aku dengan pandangan belas kasihan. Aku tidak perlu simpati orang.” Aku berkata dengan tegas.
“ Aku hanya mahu meminjamkan bahu untuk engkau tumpang menangis jika perlu. Aku hanya mahu sama-sama berkongsi suka dan duka dengan engkau yang aku anggap penting dalam hidup aku. Bukan kerana belas kasihan.”
Peristiwa pahit itu telah lama berlalu. Lama sebelum aku mengenalinya maka wajarlah untuk aku melupakannya saja. Aku berusaha untuk tidak membiarkan ingatan buruk itu menyelinap masuk ke dalam mindaku. Aku tidak mahu memandang ke belakang lagi, aku hanya mahu bergerak ke hadapan saja.
“ Lupakan saja apa yang kau dengar tadi. Anggap ianya tidak pernah berlaku. Aku berterima kasih kerana kau banyak membantu aku selama ini. Maafkan aku jika banyak menyusahkan engkau.” Tuturku perlahan.
“ Engkau bercakap seolah-olah kita sudah tiada ruang masa lagi untuk bersuamuka lagi.” Tegur Aiman yang jelas kurang senang dengan kata-kataku tadi. Aku memandang wajahnya seketika. Bersama Aiman, amat mudah sebenarnya. Walaupun aku berkias, dia sudah memahami apa yang hendak aku perkatakan.
“ Mungkin lebih baik begitu. Aku tidak sesuai untuk dijadikan kawan rapat. Aku pendendam orangnya. Lihat saja Mariam. Saat dia terluka, aku tidak bersifat air yang boleh menenangkan. Sebaliknya, aku memilih untuk menjadi api yang memarakkan. Aku tidak sempurna.” Airmata yang mengalir di pipi ku biarkan berjuraian.
“ Kau Lili, adalah wanita sempurna di mata aku! Tiada cacat celanya.” Aiman bersuara memberikan kekuatan kepadaku.
“ Kau tidak tahu apa yang engkau cakapkan.” Balasku sambil ketawa. Airmata di pipi ku lap dengan tangan. Aiman turut ketawa melihat aku. Tisu dicapai dan diberikan kepadaku.
“ Mungkin ini bukan masa yang sesuai.” Aiman berbicara lagi. Matanya tajam merenung wajahku. Aku memandangnya dan menunggu apa yang ingin dikatakannya. Bibirnya ku lihat beberapa kali mahu bersuara namun terhenti. Aku menunggu dengan sabar.
“ Aku ada rahsia yang hendak aku ceritakan pada kau. Kau janji kau jangan marah.” Melihatkan kesungguhannya, aku tidak sampai hati untuk berkata tidak. Aku yakinkan Aiman yang aku akan menahan marahku. Dia sudah banyak membantu ku hari ini. Mana mungkin aku menolak apa juga permintaannya asalkan bersesuaian dan rasional di fikiranku.
“ Aku dah lama putus dengan Suzita. Dah dua tahun.” Akhirnya dia bercerita.
“ Putus? Dua tahun? Kenapa?” Soalku bertalu-talu. Lupa seketika masalahku. Hilang segala kisah Mariam dan Amir yang aku benci itu.
Aiman ketawa melihat tingkah lakuku. Dia mengeruk kepalanya namun tidak berkata apa-apa. Mungkin masih dalam kebuntuan untuk menyambung cerita.
“ Dia mahu menetap di sana. Suzita mahu menjadi Suzika di Jepun. Mahu aku berpindah ke sana juga. Aku tolak permintaannya yang gila itu. Aku ada emak ayah di sini. Mana mungkin aku menjadi Nobita di Jepun!” Jawabnya disusuli dengan ketawa. Kisah cintanya tidak ubah seperti kartun Doraemon.
“ Kenapa tunggu dua tahun baru mahu bercerita?” Soalku setelah ketawanya tamat. Soalan aku dibiarkan tidak berjawab untuk beberapa minit. Sunyi memenuhi ruang kereta.
“ Aku takut aku akan kehilangan seseorang jika dia tahu aku sebenarnya tidak ada kekasih. Aku tahu dia tidak begitu menyenangi kaum lelaki. Adanya Suzita, walaupun satu watak khayalan aku membuatkan dia tidak takut untuk ke mana-mana dengan aku.” Jawabnya memecahkan kesunyian.
Akukah seseorang yang dimaksudkan itu? Siapa lagi yang boleh begitu spesifik sikapnya yang menjurus kepada diri aku? Aku memejamkan mata dan melepaskan keluhan. Aku mendengar saja sambungan kata-katanya lagi yang seolah tiada titik noktah. Dia menceritakan yang dia amat tertarik dengan seseorang itu namun takut untuk meluahkan hasrat hati. Dia sudah lama juga meneka yang masa silamku penuh dengan keperitan menyebabkan kepercayaanku kepada lelaki amat nipis sekali. Melihatkan aku yang terus berdiam, Aiman menyambung bicara lagi.
“ Jangan anggap aku mengasihani engkau. Aku mahu kau lupakan saja masa silam kau itu. Bina masa depan bersama aku. Kau tetap perempuan yang aku hormati.”
“ Aku perlukan masa, Aiman. Aku takut untuk membuat apa-apa juga keputusan dalam situasi seperti ini.” Pintaku agar dia memahami diriku yang kegelisahan ini.
“ Aku tahu dan aku faham. Satu saja pintaku. Aku lelaki setia tetapi aku juga lelaki normal. Aku sanggup berikan kau masa tetapi janganlah terlalu lama. Aku takut rasa sabarku sampai tarikh luputnya.” Balas Aiman sambil tersenyum.
Aku juga tersenyum mendengar kata-katanya. Aku merenung langit yang membiru. Awan putih yang berarak di bawa angin bagaikan menggambarkan peralihan zaman dukaku. Ya Allah, Ya Tuhanku, terima kasih di atas rahmatMu. Izinkan aku bahagia jika benar dia Kau ciptakan untukku. Doaku lagi, moga cinta Aiman tiada tarikh luputnya. Biar kekal hingga ke hujung nyawa.
Monday, April 27, 2009
Friday, April 24, 2009
Di celah2 kehidupan
Hari ini saya baru boleh bernafas dgn sedikit kelegaan. Pertandingan yang saya uruskan selamat dijayakan dgn dinner malam tadi di Berjaya Times Square Hotel n Convention center seramai 470 org. Letih badan, semak fikiran. Selama 3 hari, saya kuar rumah seawal 2 pagi. Semalam keluar pukul 2.30 pagi dan balik sampai rumah 1.30 pagi. Huhu.... saya bawak kereta melilau!
Esok saya akan bertugas di PWTC pula utk Pesta Buku 2009. Memang padat jadual hidup dan yang tak best, kereta saya meragam lagi. Masuk wad petang tadi. Mhmmm....memang Cik Satria ni dh merajuk dgn saya kerana tau saya teringin menukar ke Cik Swift agaknya. Hehe.
Dengar khabar, Pesta Buku kali ini kurang sikit pengunjungnya. Saya tidak pasti. Yang saya tahu...hehe, ada ke yg nak minta autograf saya? Ada ke yang mahu membeli TLC, HCT atau JBC? Mhmm.....insyaALLAH. Saya pinjam tajuk novel Aleya, Hanya DIA Tahu!

Saturday, April 18, 2009
Buat Kali Terakhir
Naluri. Apabila ada sesuatu yang berlaku dan dia cuba berahsia, tidak berapa lama kemudian saya akan tahu juga. Ketika merasakan perasaan itu, saya akan bertanya, ada apa2 yang dia mahu memberitahu saya? Jawapannya pasti tiada.
Entah kenapa, dia lebih selesa menafikan segala-galanya. Namun akhirnya meminta maaf pula. Tingkah atau ungkapan meminta maafnya saya rasakan tiada makna. Mengapa tidak mahu jujur sahaja?
" Kehilangan" is not something that you want to get thru, it's hurt. No words can comfort you except reminding urself that Allah is Great, He knows what is the best for us.
Waktu-waktu begini, saya merasakan jam lewat benar berdetik, masa lambat benar berlalu dan jiwa raga yang terluka buat saya merayu ihsanNYA.
Buat 'dia' yang tidak menghargai saya, saya doakan yang baik2 saja. Namun di mata saya, seorang dia bukan lagi tinggi darjah kehormatannya. Di hati saya, moga Allah meluputkan dia dari terus diingati. Di minda saya, moga terus kuat melangkah laluan hidup yang terasa sangat sunyi.
Ini entry terakhir tentang dia. Terima kasih untuk segalanya.

Thursday, April 16, 2009
Hari mendung kelabu....
Saya pelajari sesuatu tentang diri sendiri malam tadi. Saya ni sebenarnya walau dalam keadaan yg sangat2 marah pun tetapi apabila berpeluang untuk meluahkannya, saya berdiam. Saya akhiri perbualan itu dan saya hantar sms. Saya katakan, I dont know how to talk to you anymore.
Ya. Saya sudah tidak tahu bagaimana mahu berbincang lagi dengan dia. Mungkin kerana saya merasakan apa juga yang saya katakan sudah tidak bermakna. Segala perasaan walaupun masih ada kini terasa samar2 sahaja.
Saya juga rupa2nya walaupun setelah apa yang berlaku, masih lagi menjaga kata-kata saya agar janganlah sampai terlalu kurang sopan. Saya memang begitu. Saya tidak pandai mahu memaki atau memanggil dia dengan panggilan yang tidak manis. Walaupun pada teman rapat...saya ada mengatakan...mood saya hari ini adalah...mood everybody can go to hell! Astaghfirullahalazim! Maksud saya adalah saya tidak mahu peduli dengan orang lain.
Kenapa saya bercerita di sini ya? Supaya hendaknya janganlah menjadi seperti saya. Jangan sayang orang sampai tak sayang diri sendiri. Jangan terlalu percaya pada kata-kata manis...adakalanya ia setakat copy n paste aje dr penerima 1 dgn penerima 2. Ungkapan meminta maaf banyak kali sudah dia tuturkan. Saya masih lagi belum mahu memaafkan. Not at this moment... Kejamkah saya? Dosa ini biar saya tanggung buat seketika. Memaafkan tentunya lebih baik...ya saya tahu...but not at this moment!

Sunday, April 12, 2009
Diari hati saya...Hanya DIA yang tahu....
Bagaimana sakitnya bila hati dilukai?
1. Rasa macam pisau yang tajam ditusuk beratus-ratus kali at the same time, at the same speed...again and again
2. Macam getah sekerap yang ditarik dari cawannya...berkeriut bunyinya! Aduhai...
3. Macam kena lemaskan dalam laut dalam. U cannot breath...ur lungs full of water. U are choking....
4. Hati rasa kosong...sunyi sepi n u kept on thinking, how could he do this to u? Are all the words that he said full of lies and deceit?
5. There are thousand words....million words....that u want to scream outloud....n yet u choose to be quiet becoz nothing matters anymore... Nothing...
Tanpa dia...hidup tetap sempurna. Masih boleh bernafas kerana ALLAH lebih Berkuasa, lebih Mengetahui dan dengan ihsanNYA...saya tetap dirahmati.

Tuesday, April 7, 2009
Cerita Pendek - Saat HATI Berubah
Terdiam aku apabila mendengar berita yang dibawa Mira. Sungguh, aku tidak pernah menjangka perkara itu akan berlaku kepada aku. Aku? Aku yang selalu meletakkan dia di ruang yang paling teratas di dalam hati aku. Aku yang kerap kalinya memikirkan tentang perasaannya dalam segala perkara sebelum berfikir tentang kebajikan diri sendiri.
“Tak ada sebab aku nak tipu engkau. Tak ada faedahnya kalau aku buat fitnah.” Mira terus meyakinkan aku yang sudah diam termangu.
“Mungkin kau salah nampak atau kau salah dengar.” Aku menutup mataku malah menutup juga akal logik aku yang kini jelas semakin bercelaru.
“Aku kenal dia. Berapa kali kita pernah keluar sama? Tak mungkin mata aku ni boleh tersalah pandang!” Mira berkeras menafikan.
Sudahnya aku merasakan dadaku ini seakan dilimpahkan dengan air bah. Tsunami yang meresahkan jiwa. Aku jadi tidak tahu bagaimana mahu menghadapi situasi yang begitu tragik ini. Mira pulang dengan hati yang berat kerana meninggalkan aku sendirian. Yang Mira tidak tahu, hati aku ini kini setiap saat yang berlalu semakin lama semakin hancur menjadi debu.
Bagaimana lelaki yang sangat aku hormati itu boleh dengan mudahnya curang terhadap aku? Apakah dosa aku? Astaghfirullahalazim! Siapalah aku ini mahu mempersoalkan tentang ujian yang diberikanNYA? Aku membiarkan kemarahan menguasai hati hinggakan aku terlupa pada kuasaNYA.
***
“Kenapa awak diam aje ni?”
Soalan yang diajukan itu aku diamkan tanpa jawapan. Wajahnya aku pandang dengan sepuas hati. Manalah tahu jika inilah kali terakhir aku berhak menatap wajahnya yang selalu membuatkan hatiku damai dan tenang selalu. Itu dulu! Sekarang, senyuman yang menghiasi bibirnya seakan menyindir aku. Seakan memperbodohkan aku yang amat menyayangi dirinya.
“Awak tak sihat ke?”
Sekali lagi dia bertanya dengan dahi yang sedikit berkerut. Hilang sudah senyuman yang tadinya manis saja untuk aku. Aku menjawab soalannya dengan gelengan kepala. Sukar bibirku ini mahu menyusun ayat. Aku takut, aku sangat takut jika kata-kata yang terucap akan membuatkan keadaan menjadi bertambah buruk.
“Maksudnya, ya awak tak sihat atau tidak, awak sihat?” Dia bertanya lagi lalu ketawa kecil.
Namun tawanya terhenti apabila melihat wajahku yang kini semakin mendung berlagu pilu. Dahulu, itulah ciri dirinya yang amat menarik hatiku. Dia sangat pandai mengambil hatiku dengan gurauan yang selalu membuat aku ketawa. Dia adalah sinar yang menerangi kegelapan jiwa seorang aku dan kini dialah juga gerhana yang membuatkan duniaku yang terang menjadi gelap tidak bercahaya.
“Kenapa awak nangis ni? Ada masalah?” Dia mencapai tanganku namun secepat kilat juga aku menarik tanganku dan meletakkannya ke bawah meja. Airmata aku biarkan mengalir panas membasahi pipi. Aku tidak tahu bagaimana mahu bercerita tetapi aku mahu dia tahu, dia sebenarnya sudah melukakan hati aku.
***
Di telinga aku ini seakan-akan terngiang lagi setiap patah kata yang diucapkannya. ‘Saya tak berniat mahu melukakan awak.’ Itulah yang diucapkannya ketika aku bertanya mengapa dia berpegangan tangan dengan Nora. Pada mulanya dia terpempan namun setelah beberapa saat, dia berbicara juga akhirnya.
“Awak dah tak sayangkan saya?” Aku bertanya perlahan.
“Sayang…” Dia menjawab dengan perlahan.
“Awak sayangkan dia?”
Pertanyaan aku tidak dijawab. Dia hanya menundukkan wajah hingga membuatkan setiap saat yang berlalu bagaikan ada bongkah batu yang ditambah menjadi beban di pundakku.
“Tak perlulah awak jawab. Diam itu pun satu jawapan,kan?”
Apabila dia terus juga berdiam, aku menjadi semakin tidak keruan. Aku semakin hilang kewarasan. Aku tahu siapalah diri aku jika mahu dibandingkan dengan Nora. Berdiri di sebelahnya bagaikan seperti langit dan bumi. Dia cantik sedangkan aku…? Allah menjadikan aku sempurna tetapi tidaklah secantik dia. Dan lelaki yang berada di hadapan aku ini, rupa-rupanya tewas dengan keinginan fitrah manusia yang memuja kecantikan.
“Saya ni bodohkan? Di mana maruah saya awak letakkan? Di kaki untuk awak berdua sama-sama memijaknya?” Aku sudah tidak mampu menanggung sengsara yang semakin menebal di jiwa.
“Jangan cakap macam tu.”
Aku mahu menjerit memarahi dia lagi. Aku mahu lantang bertanya, jika tidak begitu, bagaimana pula harus aku katakan kepada dia yang sudah membuang aku dari dalam hidupnya. Dia jelas sekali sudah hanyut dalam pesona gadis itu. Gadis yang aku kenal, yang pernah aku kagumi kecantikannya.
“Satu hari nanti awak akan tahu, saya yang awak buang ini ada nilainya yang tersendiri. Yang tak akan awak jumpa pada mana-mana gadis pun.” Aku mengelap airmataku dan bangun beredar dari situ. Tiada apa lagi yang boleh diperkatakan. Biarlah dia dengan jalan hidupnya yang dia pilih. Jalan yang jauh dari aku. Doaku biarlah laluan kami tidak bertemu. Aku ketika ini mahu berlari sepantas kilat ke hemisfera yang berbeza.
Kami sudah bersama selama tiga tahun lamanya. Dia sudah aku anggap sebagai pelindung yang mampu membawa aku ke arah syurga dunia dan akhirat. Nasihat dan pandangannya adalah antara yang terpenting di dalam hidup aku. Airmata aku mengalir lagi membasahi pipi. Dalam kesesakan lalu lintas ini, aku tidak peduli dengan kenderaan yang berada di sekeliling aku.
Ya Allah ya Tuhanku…aku merenung cincin yang tersarung di jari manisku. Masih ku ingat saat manis ketika ibunya yang ku panggil umi mencium dahiku dan menyarungkan cincin itu ke jariku. Malunya memikirkan pandangan keluarga terhadap diri aku. Pasti aku yang dipersalahkan. Cincin itu aku buka dan cermin tingkap itu aku turunkan dan dengan marah aku lemparkan cincin itu ke jalanraya. Biar! Biar aku sengsara! Biar aku yang derita!

SAYA HENTIKAN CERITA SETAKAT INI SAHAJA. JIKA ANDA MENJADI SAYA: BGIMANA ANDA MAHU MENGAKHIRINYA?
Sunday, April 5, 2009
Pinjamkan aku kekuatan....
Bagaimana ya mahu menggambarkan gejolak hati saya? Kalau hujan...pasti banjirnya melimpah ruah merosakkan alam.... Tuntutan kerja membuatkan saya terasa mahu pengsan. Saya kepenatan mengukur jalan. Adakah saya terlalu 'pathetic'? I'm not whining but I'm choking for air to breath....
Maaf, saya tak sempat mahu bercerita panjang. Sebentar lagi saya mahu ke Penang. Memandu sendirian....saya memang akan keletihan fizikal dan mental! I m screwed!
Ya Allah Ya Tuhanku...berilah aku kekuatan!