Tuesday, April 7, 2009

Cerita Pendek - Saat HATI Berubah

Terdiam aku apabila mendengar berita yang dibawa Mira. Sungguh, aku tidak pernah menjangka perkara itu akan berlaku kepada aku. Aku? Aku yang selalu meletakkan dia di ruang yang paling teratas di dalam hati aku. Aku yang kerap kalinya memikirkan tentang perasaannya dalam segala perkara sebelum berfikir tentang kebajikan diri sendiri.
“Tak ada sebab aku nak tipu engkau. Tak ada faedahnya kalau aku buat fitnah.” Mira terus meyakinkan aku yang sudah diam termangu.
“Mungkin kau salah nampak atau kau salah dengar.” Aku menutup mataku malah menutup juga akal logik aku yang kini jelas semakin bercelaru.
“Aku kenal dia. Berapa kali kita pernah keluar sama? Tak mungkin mata aku ni boleh tersalah pandang!” Mira berkeras menafikan.
Sudahnya aku merasakan dadaku ini seakan dilimpahkan dengan air bah. Tsunami yang meresahkan jiwa. Aku jadi tidak tahu bagaimana mahu menghadapi situasi yang begitu tragik ini. Mira pulang dengan hati yang berat kerana meninggalkan aku sendirian. Yang Mira tidak tahu, hati aku ini kini setiap saat yang berlalu semakin lama semakin hancur menjadi debu.
Bagaimana lelaki yang sangat aku hormati itu boleh dengan mudahnya curang terhadap aku? Apakah dosa aku? Astaghfirullahalazim! Siapalah aku ini mahu mempersoalkan tentang ujian yang diberikanNYA? Aku membiarkan kemarahan menguasai hati hinggakan aku terlupa pada kuasaNYA.
***
“Kenapa awak diam aje ni?”
Soalan yang diajukan itu aku diamkan tanpa jawapan. Wajahnya aku pandang dengan sepuas hati. Manalah tahu jika inilah kali terakhir aku berhak menatap wajahnya yang selalu membuatkan hatiku damai dan tenang selalu. Itu dulu! Sekarang, senyuman yang menghiasi bibirnya seakan menyindir aku. Seakan memperbodohkan aku yang amat menyayangi dirinya.
“Awak tak sihat ke?”
Sekali lagi dia bertanya dengan dahi yang sedikit berkerut. Hilang sudah senyuman yang tadinya manis saja untuk aku. Aku menjawab soalannya dengan gelengan kepala. Sukar bibirku ini mahu menyusun ayat. Aku takut, aku sangat takut jika kata-kata yang terucap akan membuatkan keadaan menjadi bertambah buruk.
“Maksudnya, ya awak tak sihat atau tidak, awak sihat?” Dia bertanya lagi lalu ketawa kecil.
Namun tawanya terhenti apabila melihat wajahku yang kini semakin mendung berlagu pilu. Dahulu, itulah ciri dirinya yang amat menarik hatiku. Dia sangat pandai mengambil hatiku dengan gurauan yang selalu membuat aku ketawa. Dia adalah sinar yang menerangi kegelapan jiwa seorang aku dan kini dialah juga gerhana yang membuatkan duniaku yang terang menjadi gelap tidak bercahaya.
“Kenapa awak nangis ni? Ada masalah?” Dia mencapai tanganku namun secepat kilat juga aku menarik tanganku dan meletakkannya ke bawah meja. Airmata aku biarkan mengalir panas membasahi pipi. Aku tidak tahu bagaimana mahu bercerita tetapi aku mahu dia tahu, dia sebenarnya sudah melukakan hati aku.

***
Di telinga aku ini seakan-akan terngiang lagi setiap patah kata yang diucapkannya. ‘Saya tak berniat mahu melukakan awak.’ Itulah yang diucapkannya ketika aku bertanya mengapa dia berpegangan tangan dengan Nora. Pada mulanya dia terpempan namun setelah beberapa saat, dia berbicara juga akhirnya.
“Awak dah tak sayangkan saya?” Aku bertanya perlahan.
“Sayang…” Dia menjawab dengan perlahan.
“Awak sayangkan dia?”
Pertanyaan aku tidak dijawab. Dia hanya menundukkan wajah hingga membuatkan setiap saat yang berlalu bagaikan ada bongkah batu yang ditambah menjadi beban di pundakku.
“Tak perlulah awak jawab. Diam itu pun satu jawapan,kan?”
Apabila dia terus juga berdiam, aku menjadi semakin tidak keruan. Aku semakin hilang kewarasan. Aku tahu siapalah diri aku jika mahu dibandingkan dengan Nora. Berdiri di sebelahnya bagaikan seperti langit dan bumi. Dia cantik sedangkan aku…? Allah menjadikan aku sempurna tetapi tidaklah secantik dia. Dan lelaki yang berada di hadapan aku ini, rupa-rupanya tewas dengan keinginan fitrah manusia yang memuja kecantikan.
“Saya ni bodohkan? Di mana maruah saya awak letakkan? Di kaki untuk awak berdua sama-sama memijaknya?” Aku sudah tidak mampu menanggung sengsara yang semakin menebal di jiwa.
“Jangan cakap macam tu.”
Aku mahu menjerit memarahi dia lagi. Aku mahu lantang bertanya, jika tidak begitu, bagaimana pula harus aku katakan kepada dia yang sudah membuang aku dari dalam hidupnya. Dia jelas sekali sudah hanyut dalam pesona gadis itu. Gadis yang aku kenal, yang pernah aku kagumi kecantikannya.
“Satu hari nanti awak akan tahu, saya yang awak buang ini ada nilainya yang tersendiri. Yang tak akan awak jumpa pada mana-mana gadis pun.” Aku mengelap airmataku dan bangun beredar dari situ. Tiada apa lagi yang boleh diperkatakan. Biarlah dia dengan jalan hidupnya yang dia pilih. Jalan yang jauh dari aku. Doaku biarlah laluan kami tidak bertemu. Aku ketika ini mahu berlari sepantas kilat ke hemisfera yang berbeza.
Kami sudah bersama selama tiga tahun lamanya. Dia sudah aku anggap sebagai pelindung yang mampu membawa aku ke arah syurga dunia dan akhirat. Nasihat dan pandangannya adalah antara yang terpenting di dalam hidup aku. Airmata aku mengalir lagi membasahi pipi. Dalam kesesakan lalu lintas ini, aku tidak peduli dengan kenderaan yang berada di sekeliling aku.
Ya Allah ya Tuhanku…aku merenung cincin yang tersarung di jari manisku. Masih ku ingat saat manis ketika ibunya yang ku panggil umi mencium dahiku dan menyarungkan cincin itu ke jariku. Malunya memikirkan pandangan keluarga terhadap diri aku. Pasti aku yang dipersalahkan. Cincin itu aku buka dan cermin tingkap itu aku turunkan dan dengan marah aku lemparkan cincin itu ke jalanraya. Biar! Biar aku sengsara! Biar aku yang derita!
SAYA HENTIKAN CERITA SETAKAT INI SAHAJA. JIKA ANDA MENJADI SAYA: BGIMANA ANDA MAHU MENGAKHIRINYA?

6 comments:

nozy said...

aisey man!! `potong' betol lah... baru nk tngkap syahdu..

Lynn Dayana said...

Haha Nozy... Hati saya yang berubah tak mahu menghabiskan cerita! Hehe...
So...what will u do?

Norabella said...

Salam Lynn..mungkin saya akan bertindak begitu juga....tapi mungkin juga saya akan tetap menunggu nya..andai dia jodoh yang ditakdirkan Allah..walaupun sakit di hati tak siapa yang tahu...


Awak ada di Pesta Buku Sabtu hadapan? Saya akan kesana...

Lynn Dayana said...

Salam Norabella... Sabtu 25 & 26 aje yg sy ada.
Lagi satu nak ingatkan... cerita pendek ni bukan tentang saya! sekadar cerita...

Azie Amien said...

kadang2 bila kita tgk orglain hadapi satu2 situasi mgkn kita akan cakap, kalau aku, aku akn buat begini, aku akn buat begitu.. tapi bila tb 1 masa kita sndiri alami hal yg sama, ntah2 kitapun akan lakukan tindakan yg serupa.. kannnn?...(hi, sy tkr ID))

Rinn said...

Meninggalkan? Putus? Boleh!

Melupakan? Tak Mungkin!

Mencari atau menanti cinta baru? Dalam novel/cerita boleh la, in reality, belum tentu berjumpa.

Cincin tu patutnya pi jual kat pajak gadai. dapat gak duit beli baju baru ker kasut baru ker. therapy jiwa luka.