Monday, August 31, 2009

Merdeka...ertinya pada seorang saya!

Salam,
Saya mahu bercerita tentang rahmat kemerdekaan. Saya tidak dilahirkan di zaman jajahan Jepun atau British. Itu sudah pasti tetapi saya mahu berkongsi tentang apakah makna merdeka bagi diri saya. Di kalangan adik beradik, kerana saya anak paling bongsu(anak ke8) maka saya tergolong di dalam kalangan zaman sedikit senang. Saya dilahirkan di dalam keluarga yang berpendapatan rendah. Abah hanya menarik beca dan emak pula mengambil upah mencuci kain. Zaman saya manalah ada televisyen lcd, telefon bimbit, ps2 atau ipod mahupun mp3. MP-1 pun tak ada. Kami kenal televisyen itu pun hanya berwarna hitam putih ketika saya sudah meningkat usia 10 atau 11 tahun.
Abang yang sulung seusia dengan kemerdekaan, 52 tahun. Adik beradik seramai 8 orang, ini bermakna usia kami berbeza selang setahun atau pun 2 tahun. Maka kerap kalinya jika seorang mengambil SRP maka seorang lagi akan mengambil SPM dan ada juga yang mengambil STPM. Peliknya, dengan pendapatan yang kecil kami tidak pernah berlapar walaupun hidangan makanan kami hanyalah yang asas sahaja. Menikmati hidangan ayam tentu sekali jarang dikecapi kecuali pada hari perayaan. Namun emak dan abah tidak pernah gagal menyediakan yuran persekolahan kami. Pakaian sekolah kami emak jahit sendiri dan jika ianya masih elok maka ianya akan diturunkan kepada adik beradik yang seterusnya. Memberontak? Kami tidak kenal makna itu semua. Baju gaun pun emak jahit untuk kami. Mungkin fesyennya tidak secantik Barbie Doll tetapi kami bangga memakainya. Hasil jahitan emak kemas dan cantik.
Waktu ke sekolah, emak memberikan bekal makanan. Biasanya jemput-jemput ataupun kuih ketayap dan jika ada lebihan nasi, maka emak akan membuat nasi goreng. Kami diberi seorang 20 sen aje dan kami bergantung kepada bantuan kerajaan dengan Rancangan Makanan Tambahan yang disediakan untuk makanan di waktu rehat. Syukur! Jika tidak pasti kami kelaparan. Saya akan selalu ingat, habis saja sekolah rendah, abah sudah setia menunggu di pintu pagar sekolah kerana abah mahu menghantar kami ke sekolah agama pula. Tiada masa untuk makan tengahari. Maka abah akan membelikan kami roti canai yang dimakan dengan gula pasir. Cukup mengenyangkan. Adakalanya abah akan membeli biskut bunga untuk kami. Biskut kecil yang ada ising berwarna warni diatasnya. Sekadar mengalas perut untuk kami meneruskan usaha mencari ilmu. Susah payah abah, dia tetap mahu kami anak-anaknya berusaha untuk belajar dan mengubah nasib.
Jadi, saya selalu merasa bangga apabila kami adik beradik selalu naik ke atas pentas untuk menerima hadiah setiap kali selepas peperiksaan penggal. Ya, hadiahnya tidak sebesar mana. Hanya kotak pensel, pensel warna Luna mahupun pensel yang berwarna-warni tetapi keseronokan memberitahu emak dan abah tentang kejayaan kami yang membuatkan kami berusaha mengubah nasib.
Merdeka. Apakah maknanya bagi saya? Apabila saya mampu membalas jasa emak dan abah yang membesarkan saya dengan jerih payah dan keringat yang menitis ke bumi. Merdeka juga apabila abah dan emak tidak lagi perlu bekerja kerana kini kami anak-anaknya berupaya memberi kesenangan kepada mereka pula. Merdeka juga apabila melihat lambaian emak dan abah ketika mereka pergi menunaikan umrah dan cita-cita untuk mereka melihat Kaabah telah tercapai. Merdeka juga maknanya tanpa abah, kasih sayang kami pada emak semakin utuh dan ikatan antara kami adik beradik semakin erat.
Selamat Hari Merdeka. Kesenangan yang kita ada hari ini bukan jaminan untuk kebahagiaan hari esok. Sentiasa berwaspada, sentiasa ingat akan asal usul kita. Jangan hanyut dalam arus kemewahan, belajarlah menghargai segala yang ada di sekeliling kita.

4 comments:

Tabib Haji Norjae said...

Salam perkenalan buat Tuan rumah. Apakhabar ? Semoga kita mendapat lebih barakah di bulan Ramadan ini. :)

noorhayaty85 said...

sama lah kita kak...sy pun time sek dpt RMT n sek ptg bw 20 sen je..time tu abah sy menoreh getah.mak jd suri rmh je..kasut sek pun 2 3 tahun bru bgnti..time tu mak beli kasut yg besar blh sumbat kain dlm dia..tu blh pkai 2 3 thn..alhamdulillah sekarang ni dh ok.dh keje n dpt lah bantu kluarga skit2..tp mak n abah msih lg cri duit sbb adik2 ade yg sek lagi...harapan sy 1 hr nti mak n abah sy akn duk senang lenang mcm mak ayah akak plak...

Lynn Dayana said...

Salam Noorhayaty,
InsyaALLAH, pesan akak 1 aje, bila dh berjaya nanti...jgn lupa mak abah. Akak selalu rasa, berkat doa mak dan arwah abah yg mengiringi perjalanan hidup akak. Jangan lokek dgn mak abah, hidup kita pasti diberkati ALLAH. Amin.

NJ said...

Salam..maaf lambat komen plak ni..baru sempat masuk tgok umah lynn ni..nak komen tajuk ni skit..kak N pun sama jalan cerita dgn lynn..syukur alhamdulillah skrg dah besar semua adik beradik dpt jodoh sepadan dan bahagia..cuma sayangnya x dpt balas jasa kedua org tua dah pergi meninggalkan kami..redha dgn ketentuan..cuma rindu x pernah padam pada mereka..lebih2 lg pada ramadhan dan hariraya mcm ni..sendu..tapi redha..