Mata kami berlaga. Tidak lama. Hanya beberapa saat dan aku kemudiannya terus membuang pandang. Tidak sanggup! Tidak mahu! Kalaulah boleh aku jeritkan di telinganya sekuat-kuatnya yang aku tidak mahu menatap wajahnya lagi. Sungguh-sungguh tidak mahu.
"Sampai bila nak jauhkan diri?"
Suaranya singgah di telinga.
Aku mahu terus berdiam. Bersuara itu hak aku bukan? Dan dia mungkin sudah lupa, bahawa dia tidak ada sezarah hak pun mahu bertanya apa-apa kepada aku.
"Tak boleh ke awak belajar memaafkan saya?"
Aku terasa seperti ada airmata yang mahu menitis. Ya, di akhir cerita ini nampaknya aku juga yang seakan berdosa. Aku juga yang bersalah. Ya, dia sajalah yang kekal sebagai lelaki yang baik. Aduhai hati. Aku terasa hati aku hancur menjadi hablur yang berserakan. Aku benci dia.
"Saya buat silap. Saya minta maaf."
Ah, suara itu seakan buluh runcing yang menusuk ke dalam hati. Mudahnya meminta maaf. Hati ini yang disakiti, bagaimana? Harus dibiarkan saja? Tetaplah dipijak di tapak kaki dia? Aku terus diam membekukan diri.
"Saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki."
Namun aku tetap juga diam.
"Saya minta halalkan makan dan minum sepanjang kita bersama."
Aku tetap menahan diri.
Dia akhirnya berlalu. Dan aku tetap terpaku disitu. Keras benarkah hati ini? Sesungguhnya aku hanya mahu menjaga hati sendiri. Aku sudah puas dilukakan. Maka kali ini aku memilih untuk membiarkan saja segala-galanya berlalu. Dunia ini cukup luas untuk aku dan dia sama-sama menghirup udara tanpa perlu bersemuka. Aku tidak wujud di dalam dunianya dan dia tidak wujud di dalam dunia aku. Itu yang sebaiknya. Maka jangan diharap panggilan telefon dari aku. Nombornya sudah ku padamkan. Walaupun di dalam fikiran aku yang benak ini, sampai mati pun nombor itu tetap kekal dalam arkib ingatan. Jangan diharap sms, emel, fb atau apa-apa saja dari aku. Hari lahir dia, sengaja ku biarkan berlalu. Walaupun nombor kad pengenalannya sampai kini masih aku hafal.
Cukup-cukuplah menyiksa diri. Antara kami memang tertulis, tidak akan ada apa-apa. Laluan hidup yang jauh terpisah. Biar jauh. Biar. Dahulu, aku merasakan tanpa dia, aku tidak bisa hidup. Rupa-rupanya aku lupa...Allah lebih berkuasa. Allah lebih mengetahui. Maka kebenaran yang diselindungkan dia, akhirnya terbongkar juga. Lalu kelukaan ini menjadikan aku manusia yang lebih tabah. Mengharungi kesengsaraan ini aku belajar menyayangi diri sendiri. Dia sebenarnya tidak layak untuk disayangi. Dia sebenarnya tidak layak untuk dihormati.
2 comments:
ni episod luka.
ok. mana episod parah? :D
nice one!
suke2...
Post a Comment