Salam,
Bulan Mei datang....aduhai sekejap saja sudah mahu setengah tahun. Laju ni. Dan bila saya berkira-kira....uwaaa, lama sudah terlalu lama saya berada di dalam episod LUKA. Husyyhhh.....pergi jauh2. Ini masa untuk lebih tabah. Ini masa untuk menjadi manusia yang sangat kuat menempuh ujianNYA. Abaikan segala bagasi rasa yang hanya menambah beban di dalam dada.
Ada sesiapa mahu membaca CERKON lagi? Ada yang mahu angkat tangan? Haha...
Ketukan di pintu menyebabkan perbualan mereka terhenti. Mereka berpandangan seketika. Siapa pula yang mahu datang ke rumah mereka. Hari pun sudah lewat malam. Tiada sesiapa yang dinantikan.
“Kau order pizza ke?” Tanya Asfi.
“Gila kau! Dah kembung perut aku ni dengan makanan kau jamu. Manalah ada ruang lagi nak makan!” Marah Diana.
“Bukaklah pintu tu!” gesa Aina yang rimas dengan tingkah dua rakan baiknya itu.
Diana segera bangun. Maklumlah di antara mereka bertiga kakinyalah yang paling panjang. Kata kawan-kawannya, Diana kenan zirafah ataupun zirafah yang kenan Diana. Mana-mana pun boleh.
“Siapa Diana?” jerit Aina mahu tahu namun tiada jawapan.
Aina bergegas ke depan. Diana kelihatannya terbaring di depan pintu. Aina dengan laju mendapatkan Diana.
“Kenapa kau ni?” Tanya Aina.
“Aina!”
Suara yang memanggil nama Aina itu amat lembut sekali. Aina mengangkat muka dan mulutnya serta merta terlopong.
“Engkau?” Aina pula yang rebah di sisi Diana.
“Oii! Apahal korang ni?” giliran Asfi yang datang ke muka pintu.
“Asfi?”
Asfi mengangkat muka ke arah tuan punya suara itu. Matanya tidak berkelip. Adakah kanta matanya sudah rosak? Atau ini sebahagian dari rancangan silap mata yang terkenal itu?
“Asfi, aku ni!” Gadis itu menegur lagi.
Dan teguran itu menyebabkan Asfi juga rebah di sisi Diana dan Aina. Elok saja mereka bertiga pengsan.
***
Dia duduk saja di sofa. Menunggu mereka bertiga sedar dari pengsan. Pintu rumah sudah dirapatkan. Dia duduk bersila di atas sofa. Diana masih macam dulu. Tinggi betul. Aina elok saja pengsan dengan cermin matanya yang terletak cantik di hidung. Asfi saja yang nampak berisi sedikit berbanding dahulu. Mungkin senang hati. Maklumlah sudah berkerjaya hebat. Sudah ada pendapatan sendiri.
Agak-agaknya, lama lagikah mereka bertiga mahu pengsan? Soalan itu hadir di dalam ingatan Ida. Kalau sampai esok macam mana? Ida menggaru kepalanya. Nanti kalau mereka tidak bangun sahur, pasti dia pula yang berdosa. Ida segera ke dapur. Mengambil sejug air dan dengan bacaan bismillah, dia menyiram ke muka teman-temannya itu.
“Astaghfirullah al azim! Basah aku!” Diana yang paling awal pengsan telah bangun dan mengelap mukanya.
“Betul kea pa yang aku nampak ni?” tanya Asfi.
“Ni Ida ke?” tanya Aina yang masih menggosok matanya.
“Ya, aku Ida. Aku datang nak tuntut janji!”
Kenyataan Ida yang tegas itu membuatkan mereka bertiga sekali lagi saling berpandangan. Ah, sudah! Mati mereka jawabnya jika perlu menunaikan janji yang dituntut Ida.
***
“Macam mana ni?” tanya Asfi. Sudah dua jam sejak Ida balik mereka termenung dan masih tidak mencapai kata sepakat.
“Kenapalah kita pandai-pandai berjanji dulu.” Aina mengeluh.
“Masa tu kau lupa ke? Kita terdesak. Kau ingat kalau tak terdesak, kita akan buat janji yang macam tu?” Diana mendengus marah.
Ketiga-tiganya terus duduk termenung. Mengapalah mereka pandai-pandai berjanji? Sebenarnya mereka tidak pandai. Kalau pandai, mana ada orang yang mahu berjanji seperti itu. Sekarang salah seorang dari mereka bertiga mesti menunaikan janji.
“Kita lari.” Diana memberikan jawapan.
“Kaki kau panjang, tak apalah. Aku ni?” tanya Asfi dengan mata yang terbeliak.
“Nak lari ke mana? Korang ingat dia tak boleh cari kita? Aku ingat dia tak akan datang tuntut janji. Tapi dia datang. Siap bawak kertas buruk tu lagi. Siap laminate lagi!” Bersungguh-sungguh Aina bercerita.
Dahulu, lima tahun yang lalu...di atas kertas buruk itu mereka bertiga berjanji dengan Ida. Kini Ida mahukan apa yang dijanjikan.
“Aku tak sanggup.” Diana memandang Asfi dan Aina. Matanya sudah mula berair. Dia benar-benar tidak sanggup. Kerja gila jika tuntutan Ida direalisasikan. Mati dia nanti.
“Aku pun tak sanggup!” Asfi cepat-cepat bersuara lalu menundukkan wajah.
“Jangan harap aku sanggup!” Aina turut berkeras.
Nampaknya tidak ada kata sepakat akan dicapai. Aina memandang ke Barat. Asfi sudah memandang ke Timur dan Diana memandang jauh ke Selatan. Berada di ruang yang sama dan kompas hati mereka sudah dirosakkan oleh Ida. Alamatnya mereka akan hilang arah dan haluan.
***
“Kenapa muram ni?” tanya Fadhil kepada Aina.
“Sayang saya tak?”tanya Aina.
“Uish...ni soalan perangkap ni. Ada apa ni?”
“Saya terperangkap.”
“Dalam apa? Kesesakan lalu lintas?” Fadhil menjawab lalu ketawa terkekeh-kekeh. Ketawanya mati apabila melihat wajah Aina yang muram sekarang semakin semasam jeruk kelubi.
“Kenapa ni?”
Aina mengeluh.
“Cakaplah.”
Aina terasa mahu menangis.
“7 tahun lepas, saya buat janji.”
Fadhil terus menunggu. Ini kisah seram ke? Namun dia menunggu Aina bercerita dengan sabar.
“Saya janji jika dia tolong saya, sampai masanya...saya akan tolong dia pulak.” Aina sudah terasa mahu meraung.
“Dia tu siapa?” Fadhil pula yang naik risau. Aina ada berhutang dengan Ah Long? Bahaya ni! Mahu bayar pakai apa? Kereta Satria yang dipakainya itu kalau dijual pasti tidak seberapa.
“Ida.”
Aina sambung menungnya lagi. Dia melihat wajah Fadhil. Mahukah lelaki itu berkorban untuknya? Yang lebih penting, sanggupkah dia melepaskan lelaki ini pergi?
“Apa janjinya?”
“Kalau pada umur 30 tahun Ida masih belum kahwin lagi.....salah seorang dari kami kena serahkan kekasih kami pada dia.” Aina memberitahu.
Fadhil memandang Aina dengan terkebil-kebil. Amboi! Apa punya jenis janji ni? Gila! Dia bangun dari tempat duduknya. Melihat sekeliling. Melihat semula wajah Aina yang mencemik mahu menangis. Pandai-pandai lagi berjanji. Padan muka! Hatinya mahu bersorak.
“Kami tu Asfi, Diana dan awak?” tanya Fadhil.
“Ya.”
Kini, Fadhil faham. Asfi dan Diana tiada kekasih tetap maka memang dialah yang mahu dikorbankan mereka ini. Mereka berdua itu asyik berganti kekasih. Dia saja yang kekal dengan Aina berkawan sudah dua tahun.
“Ida tu kenapa tak boleh cari kekasih sendiri?”
Aina diam.
“Dia cacat?”
Aina geleng kepala.
“Dia hodoh?”
“Cantik.”
“Dia miskin?”
“Kaya.”
Fadhil sudah mula mahu naik angin.
“Habis tu kenapa gatal janji macam tu?”
Aina teragak-agak mahukah dia membocorkan rahsia. Kertas buruk yang disimpan Ida itu kalau bawa masuk mahkamah akan lakukah? Dia tidak tahu tetapi Ida memberitahu sekarang dia sudah jadi peguam muda. Peguam! Maka perkataan itu juga sudah membuatkan mereka gementar.
“Ida dulu senior kami.”
“Then?”
“Dia tangkap kami curi test paper dari bilik pensyarah.” Aina tunduk malu.
“Astaghfirullah!” Fadhil beristighfar.
“Masa muda dulu.....”
“Lagi?”
“Masa tu dah final year. Kalau tertangkap, memang kena buang. Jadi kami ikrar..buat surat akujanji. Mana nak tau yang dia akan cari kami.” Aina meminta simpati.
Fadhil memandang Aina. Terasa mahu ketawa. Kerja gila. Dia kemudiannya duduk dan menghela nafas.
“Carilah sesiapa yang konon boyfriend awak.”
“Tapi...”
Wajah Aina sudah semakin cuak. Geramnya memikirkan Diana dan Asfi yang memaksa dia menyelesaikan perkara itu. Tidak adil sungguh. Mereka berdua terlepas dengan mudah dan dia yang terseksa. Huh!
“Kenapa?” soal Fadhil lagi.
“Dia kata dia kenal awak.”
Fadhil berpaling.
“Dia tahu segala-galanya tentang awak.”
***
Suasana kafe itu senyap dan sunyi. Ida menunggu kedatangan Fadhil dengan tenang. Dia memakai baju berwarna merah seperti yang dijanjikan. Lagu Rossa kuat berkumandang.
‘Ku menunggu...ku menunggu kau putus dengan kekasihmu.’
Ida tersenyum.
Fadhil mundar mandir di kawasan parkir. Teragak-agak. Aina pada mulanya mahu menemankan dia tetapi dia memilih untuk bertemu Ida sendirian. Dia mahu melihat wajah Ida. Dia mahu melihat personaliti gadis itu. Dia mahu tahu sejauhmana keberanian seorang wanita bernama Ida yang berani mahukan janji yang dahulu itu dikotakan. Dia akhirnya melangkah dengan tenang.
“Kawan saya Cik Ida sudah sampai?” tanya Fadhil pada pelayan kafe itu.
“Meja 17.”
Mata Fadhil berpaling ke arah yang ditunjukkan pelayan itu. Dan dia merasakan dunianya seakan terhenti. Langkahnya terpaku. Jantungnya berhenti berdetak.
“Encik?”
Fadhil berpaling ke arah pelayan itu semula. Pandangan matanya berpinar. Gelap. Pangsan.
Ida melihat ke arah suara yang riuh rendah di muka pintu kafe itu. Dia bangun dan kemudiannya tersenyum. Mengapa Fadhil juga pengsan? Ah! Payah betul!
Fadhil terasa wajahnya dibasahkan dengan air.
“Encik, bangun encik.”
Matanya tetap ditutup. Terdengar hingar bingar disekelilingnya. Buka mata atau tidak? Jika buka mata, malu. Tapi kalau terus pengsan di situ pasti malu juga.
“Fadhil...” Ida memanggil dengan lembut.
Ya Allah, lembutnya suara Ida. Selembut wajahnya. Fadhil teringat wajah yang sama. Wajah yang tersenyum memandangnya di majlis kenduri di surau. Wajah yang baik hati apabila tidak malu menyinsing lengan membasuh periuk ketika kenduri itu. Wajah yang membuatkan tidurnya terganggu semenjak sebulan yang lalu. Wajah yang membuatkan dia semakin rajin ke surau untuk berjemaah.
Mereka berpandangan dan tersenyum. Malu di kafe tadi menyebabkan mereka berpindah ke kafe di bangunan sebelah pula. Dua-dua diam tanpa bicara.
“Awak serius nak kahwin dengan saya?” Fadhil bertanya.
Ida menganggukkan kepala.
“Awak cari Aina dan nak tuntut janji bila tahu saya kekasih dia?”
Sekali lagi Ida angguk kepala.
“Kenapa?”
Ida mengangkat bahu. Tidak tahu. Dia jatuh cinta dengar yang pertama. Dengar. Ya, dengar! Bukan pandang. Semuanya berlaku secara kebetulan. Suara Fadhil mengalunkan azan membuatkan dia suka dengan lelaki itu. Apabila dia menyelidik kemudiannya dia mendapat tahu yang Fadhil rapat dengan Aina. Riuh rendah mulut emak membebel apabila dia membongkar bawah katil untuk mendapatkan kertas hikmat yang sudah lusuh itu. Semuanya kerana Fadhil.
“Awak sayang Aina?” Ida bertanya.
Fadhil diam.
“Saya pergi dulu.” Ida bangun.
“Nak ke mana?” tanya Fadhil.
“Dah azan. Nak solat.” Ida memberitahu.
Fadhil rasa hatinya kembang kuncup.
“Ida...kita jumpa balik lepas solat.”
Permintaan Fadhil itu membuatkan Ida tersenyum. Gila. Ya, dia memang membuat kerja gila. Namun dia yakin dengan apa yang dilorongkan oleh Allah kepadanya. Jika benar Aina menyintai Fadhil, pasti Aina tidak dengan mudah akan melepaskan lelaki sebaik itukan? Ida tersenyum lagi.
Fadhil menekan keypad telefonnya. Mendail nombor Aina.
“Saya dah jumpa Ida.”
“So macam mana?” tanya Aina.
“Doakan kami bahagia.”
Aina memandang Asfi dan Diana. Terasa tidak percaya. Begini akhirnya cerita?
Hehe....sesuka hati menaip waktu lunch! Huhu....enjoy!
6 comments:
kak lynn.
tak tahu nak buat apa. it's funny, sampai i forgot how to laugh.
the ending. is that supposed to be? iskkkkkk.. mcm lucu. wujud ke kisah mcm neh? hadoihhh.
moral of story : jangan cuba2 curi test paper dan kena kantoi dek senior mahupun berjanji pelik2 :D
Realiti tidak seindah fantasi....Tapi biarlah. Hehe...menulis untuk mmenyenangkan hati sendiri. menulis cerita yg manis supaya dapat melindungi kisah hidup yang tawar? Haha...
Luv is sweet, Maryam.
Luv can be one sided...
Luv doesnt mean he can be urs forever....
best kak ! haha. pendek tpi menarik . suka sngat . :)
sememgnya jodoh ditgn tuhan .. :)
saya dah byk kali tersuka dengan orang yang laungkan azan..camne ni?huhu
Lyn, best citer ni. semua rasa ada! berdebar, tah apa2.. kemudian, cutenya! haha.....
Umi azrini
best kak..
sy ske..wlupun pndek tp jln ceritanya menarik..
novel2 akak pon mcm tuh..
smlm bru abis baca JCC..best sgt..
tahniah wat kak lynn sbb berjaya hasilkn novel yg bestt..:)
Post a Comment