Tuesday, February 9, 2010

Cerita tentang Emak...

Salam,

Pagi tadi ketika baru saja menghidupkan enjin, telefon saya berbunyi. Emak yang menelefon. Selepas memberikan salam, emak bertanya saya di mana. Saya katakan saya mahu ke ofis. Tiba-tiba terdengar suara emak menangis teresak-esak. Panik saya jadinya. Cepat-cepat saya menekan brek. Tidak jadi mahu memandu.
Emak pun mengadu. Rupa-rupanya burung tekukur jawa emak sebanyak 3 ekor mati dihurung semut api malam tadi. Kata emak, dia terdengar suara burung-burung itu menjerit tetapi malam sudah lewat dan emak pula tidak berani mahu keluar dari rumah. Kasihan burung-burung yang sudah lama menjadi teman emak berbual. Setiap hari, jika di kampung...burung-burung ini selalu berbunyi merdu tidak kira masa dan ketika. Sudah terbiasa mendengar mereka menyanyi.
Saya menenangkan emak. Suara emak yang menahan tangis....aduhai, saya pun turut sama sedih! Itu baru burung! Mhmm.... sebenarnya burung-burung ini adalah kegemaran arwah abah. Sama juga dengan akuarium besar di depan rumah yang didiami ikan-ikan yang pelbagai jenis. Keduanya hobi arwah abah...yang emak teruskan kerana kenangan barangkali. Jadi apabila burung-burung itu mati...emak menjadi sedih.
Kehilangan...mahupun sekadar burung tekukur jawa bukanlah sesuatu yang mudah diterimakan?