Thursday, August 26, 2010

Cerpen 5 : Benci

"Aku give up!"
"Kenapa?"
"Aku betul-betul give up dengan lelaki." Rose melepaskan keluhan.
"Tak semua lelaki tu jahat." Pesan Myra.
"Habis tu kenapa yang aku jumpa semuanya macam tu? Mungkin silapnya pada aku kan? Mungkin kalau aku ni produk Sirim, aku akan masuk dalam bahagian barangan yang rosak. Tak lulus untuk dipasarkan." Rose menabur garam di luka hatinya sendiri.
"Jangan merepek boleh tak?"
"Realiti! Aku rasa macam aku tak pernah cukup baik untuk sesiapa." Rose terus termenung jauh. Mana ya silapnya? Hatinya selalu berantakan. Jiwanya sering murung. Sudah tiadakah rahmat Allah untuk dirinya?
"Kau belum jumpa soulmate. Satu hari nanti mesti ada." Myra dengan yakin memberitahu.
"Dekat mana? Dekat Korea? Hari apa? Hari Isnin? Atau hari Jumaat?" Sinis sekali cara Rose bertanya.
"Mungkin sebab kau tak redha menerima takdir...sebab tu engkau tak tenang." Myra memberikan pendapat.
"Redha? Kalau aku tak waras, dah lama aku pilih jalan singkat dan buat benda bodoh. Kerana masih waras, masih ingatkan Allah...aku cuba harung semua ni."
Myra memandang wajah Rose sekilas. Entah apa nasib sahabatnya ini, selalu cinta kecundang dan putus di tengah jalan.

****

"Jum..." Myra mengajak.
"Tak mau."
"Mari ahh...temankan aku."
"Aku dah give up."
"Temankan aku. Kau kan kawan baik aku." Myra terus memujuk sambil mengerdipkan matanya beberapa kali.
"Huh! Macam mata kucing!" Rose ketawa. Myra kalau memujuk memang tidak kenal perkataan tidak mahu.
"Kalau nanti bila aku tengok muka dia aje, aku termuntah macam mana?" Rose mengusik Myra yang ghairah mengajak dia ikut sama berdating. Teman lelakinya akan membawa kawan juga. Double date kononnya. Entah-entah double trouble.
"Aku dah tengok gambar dia. Handsome. yummy!"
"Kau suka sangat, kau amiklah dia jadi spare tyre!" Rose memberi cadangan.
"Huish! My beloved Fendi tu nak letak kat mana?" marah Myra.
"Letak kat bonet!" Rose sudah ketawa terkekeh-kekeh. Dia tau Myra sudah tangkap cinta dengan Fendi. Tak ada apa yang akan mengubah cinta Myra. Dah tahap tak boleh diselamatkan.

***

Rose memerhatikan Myra. Matanya sengaja dibeliakkan. Kakinya serta merta menyepak kaki Myra dari bawah meja.
"Adoi!" Myra menjerit.
"Kenapa sayang?" Fendi menegur kekasih hatinya itu.
"I terlanggar meja!" Myra berbohong. Terasa mahu juga dia menyepak kembali kaki Rose tetapi hari ini dia memakai skirt. Karang tak pasal-pasal buat wayang percuma.
"Rose, ni kawan I. Imran. Imran, ni Rose...kawan Myra." Fendi memeperkenalkan mereka berdua.
Rose tersenyum. Nipis. Tak sampai 1 milimeter pun. Kemudiannya dia membuang pandang. Sengaja mengalih pandangan kepada tempat lain.
"You nak makan apa?" tanya Fendi.
Mahu saja Rose menjawab makan hati. Namun dia memilih untuk membatukan diri dan berdoa masa cepatlah berlalu.
"You orderlah. Apa you makan, I makan." Myra menjawab dengan manja.
Rose terasa mahu pengsan. Aduhai! Berapa lama dia boleh bertahan dalam drama ini? Nanti bila makanan sudah sampai pasti ada acara suap menyuap. Mak aii! Waktu begini terasa menyesal tak belajar ilmu magik. Biar boleh hilangkan diri. Rose terasa dirinya diperhatikan namun dia buat tidak peduli. Apa dia kisah? Bukan dia yang mahu double date! Rose tiba-tiba berdiri.
"Nak ke mana?" tanya Myra yang tadinya bukan main ralit membaca menu.
"Ladies." Rose menjawab laju dan terus mencapai begnya dan berlalu. Tidak menunggu jawapan dari Myra. Tidak perlu. Dia perlu beredar dari situ. Selepas dia menyusup laju menuruni tangga, dia terus menghantar sms memberitahu Myra yang dia sudah balik. Untuk mengelakkan sumpah seranah Myra, dia terus menutup telefon. Selamat!

***

Sudah tiga hari dia mendiamkan diri. Myra merajuk. Dia pula malas mahu memujuk. Lantaklah. Myra tidak faham agaknya yang dia sudah putus harap. Sudah menutup pintu hatinya rapat-rapat dan sudah dikunci pun. Pakai mangga besar punya! Dan dia yakin tiada sesiapa yang mampu membukanya.
"Hai!"
Rose terkesima. Apa mamat ni buat dekat pintu pagar rumahnya ni? Nak kata hantar surat, lelaki ni bukan kerja posmenkan?
"Assalamualaikum!" Imran memberi salam. Dia menggantungkan plastik di atas pagar.
"Hari tu you tak sempat makan! So hari ni I hantarkan. Takut kempunan." Imran memberitahu dan kemudiannya berlalu dengan sekuntum senyuman yang manis.
Rose masih terkedu. DIa berdiri macam batu. Seminit menjadi dua minit. Dua minit menjadi lima minit. Kalau Imran hantar bom, pasti dah meletup! Dia mencapai plastik itu dan melihat isinya. Mhmmm....kek! Mhmmmm.....Indulgence. Secret Recipe! Rose sudah menelan air liur. Entah-entah resepi rahsianya adalah bacaan mantera! Rose masuk ke dalam rumah.
"Akak beli kek?" tanya Aida.
"Makanlah." Rose mengunjukkan plastik itu kepada adiknya itu.
Laju saja Aida mencapai sudu dan membuka kotaknya.
"Akak nak tak?" tanya Aida yang sudah mengangkat tangan mahu membaca doa makan.
"Akak kenyang." Rose menipu sambil melihat Aida menikmati kek itu dengan nikmatnya. Dua, tiga kali dia menelan air liur. Raut wajah Aida memang penuh dosa. Siap pejam-pejam mata lagi kerana kesedapan kek itu. Hampeh betul.

***

"Kak, tu ada orang hantar bunga." Aida menunjukkan sejambak bunga daisy berwarna jingga.
"Untuk sape?"
"Untuk akaklah."
"Sape hantar."
"Abang handsome!"
"Heee...jangan suka-suka ambik barang dari orang boleh tak? Kalau dia penculik macam mana?" Rose memarahi Aida.
"Mak adalah tadi." Aida menjawab dengan senyuman.
"Kenapa sengih-sengih tu?"
"DIa bagi akak bunga.... dia bagi Aida cokelat!" Aida menunjukkan cokelat Cadbury yang sudah separuh dimakan.
"Heee.....tak malu betul!" Rose menyambung bebelannya.
"Rezeki kak. Tadi abang tu bagitahu mak...." Aida bercakap separuh lalu berdiam.
"DIa cakap apa?" Hati Rose berdebar.
"Dia kata, dia nak kawan dengan akak tapi akak tak mau." Aida membocorkan rahsia.
Rose terasa dunianya berpinar seketika. Malunya! Imran ni dah gila agaknya. Ingat ni cerita hindustan? Nak pikat anak, pikat emak dulu! Rose mula terasa kepalanya pening. Bagaimana mahu menyelesaikan masalah? Nampaknya Imran tidak faham perkataan tidak!

***

"Jangan buat macam ni."
"Jangan datang rumah saya."
"Jangan belikan saya apa-apa." Rose berbicara tanpa henti.
"Lagi?" Imran bertanya sambil mencapai gelas dan menghirup minumannya dengan perlahan.
"Please..." Rose merayu.
"Salah ke nak berkawan?"
"Salah ke kalau bagi saya peluang?"
"Salah ke jika saya memilih untuk tidak bermusuh?"
Giliran Imran pula bertanya.
"Please...." Imran menutup bicaranya.
Rose melihat lelaki itu dengan geram. Tak suka! Tak suka! Tak suka!
"Kawan biar ramai. Musuh pulak jangan dicari." Imran berbicara dengan perlahan.
"Kawanlah dengan orang lain." Rose tetap menolak.
"Mana boleh macam tu. Saya dah istiharah 3 kali. Asyik-asyik nampak awak jugak." Imran memberitahu.
Rose memandang Imran dengan mata yang terbeliak. Mamat ni main-main apa!
"Saya serius." Imran memberitahu.
"Saya tak mahu." Rose membalas.
"Kawan...bukan ajak kahwin. Itu dua tahun lagi." Imran dengan bertekad memberitahu.
"Owh...kahwin dua tahun lagi?" Rose bertanya.
"Aah, dua tahun lagi."
"Awak ni sihat ke tak?"
"Lepas tu saya nak dua orang anak. Satu perempuan, satu lelaki." Imran tersenyum memandang wajah Rose yang panik. Comel!
Rose terdiam.
"Mak awak kata elok kalau kita pergi kursus kahwin dulu." Imran semakin lancar bercerita.
"Mak saya kata elok tempah studio kawan dia untuk amik gambar pengantin kita nanti." Imran terus memberi informasi.
Rose pula terus diam. DIa yang gila atau Imran. Kenapa tiba-tiba dia rasa Imran macam nampak handsome gila? Mamat ni ada lesung pipit?
"I nak gi solat. Jum!" Imran memberitahu.
Rose terasa hatinya menjadi nyaman.

Tuesday, August 24, 2010

Cerpen 4 : Move On

"Aku delete nombor dia."
"Nombor yang walaupun ko dah delete, ko masih hafal tu?" tanya Anis kepada Lin yang bermuram durja.
"Aku delete gambar dia."
"Gambar yang ko rakam dalam kepala ko dan tak akan lupa sampai mati tu?
Lin mengeluh. Susahnya nak puaskan hati Anis sedangkan hatinya sudah sangat berjelaga.
"Aku buang hadiah yang dia bagi."
Anis merenung wajah Lin yang kesedihan. Dia faham kedukaan Lin. Namun dia juga tahu yang dia tidak mampu menolong.
"Lupakan dia Lin." Anis memberikan cadangan.
"Aku tak mampu..." Lin mengelap pipi yang tiba-tiba basah.
"Kau kena kuatkan semangat. Kau kena terima realiti yang antara ko dengan dia dah tak ada apa-apa."
"Aku tak boleh lupa kebaikan dia." Lin semakin sayu.
"Ko lupa kejahatan dia pada ko? Ko lupa yang dia curang?" Anis sudah tidak mampu cakap beralas lagi.
"Aku tau."
"Kalau tau...buatlah sesuatu. Jangan bibir aje cakap delete tapi 24 jam ko ingatkan dia."
"Aku rindu..."
Anis beristighfar di dalam hati.Lin memang sudah larut. Peringkat yang tak boleh diselamatkan. Kalau dalam gaung, memang sah dah sampai ke dasar. Kalau dalam lautan, memang tersangkut di terumbu karang.

***

Anis melihat dari kejauhan. Rasa geram dan benci bersatu. Bergumpal dan menjadi sarang yang menetaskan dendam. Lin makan hati dan lelaki ini begitu seronok bercinta dengan teman wanita barunya.
"Takde kerja ke?" Jeff menegur Anis.
"Jangan sms Lin lagi." Anis meminta dengan baik.
"Lin tak marah, ko apa sibuk?"
"Kalau ko masih hubungi dia, macam mana dia nak lupakan ko?" Anis sudah mula menyumpah di dalam hati. Dia terasa mahu menerajang lelaki itu kerana sesuka hati menyakitkan hati kawan baiknya.
"Kami berkawan, salah ke?" ungkap Jeff. Ya, dia sudah berpisah dengan Lin tapi salah ke jika sesekali dia menelefon? Sekadar mahu bertanya khabar.
"Ko dah ada perempuan tu, kenapa nak ganggu dia lagi?" tanya Anis dengan marah.
"Jangan masuk campur urusan aku." Jeff memberitahu lalu pergi meninggalkan Anis. Dari awal perhubungan memang mereka tidak sebulu.
Anis memandang Jeff dan dia merasakan jika pada waktu itu dia adalah kereta kebal mahu dilanyaknya Jeff sampai hancur supaya tidak lagi mengganggu kawannya itu. Lelaki tidak guna!

****
"Kenapa senyum?" tanya Anis pada Lin yang cerah saja wajahnya.
"Salah ke senyum?"
"Tak salah...tapi kenapa? Ko kena sampuk ke?" tanya Anis lagi.
"Mengarut."
"Habis tu kenapa?"
"Mhmm..."
"Cakaplah kenapa?"
Lin ketawa lagi.
"La..ketawa pulak! Ko ni kenapa?"
Naik angin jadinya Anis.
"Semalam Jeff called."
Anis melepaskan keluhan. Jeff lagi! Dia merasa bosan mendengar nama itu. Rasa macam nak sumbat kapas dua, tiga depa dalam telinga.
"Apa mamat tu nak?"
"Dia dah breakoff dengan perempuan tu." Lin tersenyum manis.
Anis merasakan dadanya bergegar dengan kuat. Tangannya terasa menggigil. Macam nak pergi cekik aje mamat tak sekolah yang hobinya menyusahkan hidup orang tu.
"Dia nak apa?"
"Aku!"
Dada Anis semakin sesak.
"Dia nak ko balik?"
"Ya."
"Ko terima dia?"
Anis merasakan dia tidak perlu menunggu jawapan Lin. Kawannya itu sudah tersenyum sampai ke telinga. Pasti hubungan mereka terjalin semula.
Namun gelengan kepala yang diberikan Lin membuatkan air tin yang dipegang di tangan terhempas ke lantai.
"Huish...basahlah!"
"Ko tak balik dengan dia?"
"Tak."
Lin menarik nafas lega.
"Kenapa?"
"Sebab aku dah move on. Sebab aku tak mahu jadi pilihan yang ke2. Sebab dia tak sayang aku seperti mana aku sayangkan dia." Lin memberitahu dan menundukkan wajah. Realiti itu terasa amat pahit sekali. DIa saja yang menghargai lelaki itu sedangkan lelaki itu langsung tidak pandai menilai hati budinya.
"Jadi ko dah lupakan dia?" tanya Anis.
"Tak jugak. Aku masih ingat dia tak suka makan tomyam. Aku masih ingat dia tak boleh minum tebu. Aku masih hafal suara dia ketawa." Lin ketawa lagi.
"Habis tu?" Anis pula yang jadi bengong.
"Aku dah move on...." Lin meneguhkan pendirian.

Monday, August 23, 2010

Cerpen 3 : Hilang

Salam,

"Kalau orang mendiamkan diri, apa maksudnya?" tanya Fida.
"Dia tak mau cakap dengan ko." Aina menyahut acuh tak acuh. Terus menggigit donut dengan berselera.
"Mungkin dia takde kredit." Fida masih mahu berfikiran positif.
"Dia tak mau cakap dengan ko!" Jawapan yang sama Aina berikan.
"Dia sibuk kot. Takde masa." Fida terus mengelamun.
Aina melepaskan keluhan. Kenapalah Fida ni degil sangat? Masih mahu berharap sedangkan jelas, terang-terang lelaki yang dipuja kawannnya itu berusaha sungguh mahu melarikan diri.
"Kau lupakan aje dia." Aina memberikan cadangan.
"Kau gila!" Fida menjegilkan mata.
Aina beristighfar! Tak pasal-pasal, dia pulak dituduh gila! Fida ni sudah tahap meroyan agaknya.
"Cuba bagitau aku. Apa kelebihan dia tu? Aku nampak biasa aje." Aina mahu tahu.
"Kalau ko nampak dia luar biasa maknanya ko pun dah jatuh cinta dengan dia. Masalahnya sekarang, aku yang suka kat dia." Fida mengeluarkan nas dan dalilnya.
"Masalahnya...dia tak suka kat ko." Aina memberitahu. Tangannya yang bercokelat di lap ke napkin.
"Kalau dia tak suka aku, kenapa dia layan aku dengan baik?" tanya Fida mahu tahu.
"DIa kesian kat ko."
Fida memandang wajah Aina. Kenapa Aina begitu kejam dengan dirinya? Sebagai kawan tidak bolehkah Aina bercakap dengan beralas?
"Aku balik dulu..." Fida bangun dan mencapai basikalnya. Lebih lama di sini dia akan hilang sifat optimis. Hilang segala rasa.
***

"Kita keluar jum?" Firaz mengajak Aina.
"Tak mau!"
"Kita tengok wayang?"
"Tak nak!"
"Kita gi makan-makan?"
"Tak selera!"
Aina kemudiannya duduk dengan wajah yang masam.
Firaz melihat Aina. Cantik tapi masam mencuka.
"Kenapa ni?"
"Tak ada apa-apa."
"Marah saya sebab Fida ya?" tanya Firaz.
"Dah tau kenapa tanya?"
"Habis tu nak buat macam mana? Tak kan saya nak paksa hati ni terima dia sedangkan saya tak suka dia." Firaz memberitahu.
"Bagilah peluang kat dia." Aina memberikan cadangan. Dia sudah tidak tahu bagaimana mahu menangani masalah ini. Dua-dua kawan baiknya. Fida dia sayang. Firaz pun dia sayang. Kesannya dia tersepit di tengah-tengah.
"Tak nak." Giliran Firaz pula menjawab begitu.
"Cubalah." Aina masih mahu memujuk.
"Tak mau!"
"Kesian kat dia."
"Tak sangguplah..." Firaz menjawab sambil terus menyelak majalah. Dia mendengar Aina mendengus marah. Biarlah. Aina marah bukannya lama. Dibelikan aiskrim, eloklah nanti.
"Susahlah macam ni!" Aina membentak marah.
"Tak ada yang susahnya. Hati ni bukan boleh dipaksa." Firaz memberikan alasannya. Bukan Fida tidak cantik tetapi hatinya yang tidak mahu menerima. Dahulu dia rajin juga keluar bertiga bersama Aina dan Fida namun kini dia menolak. Biar dia mengelak dari dia menjerat batang lehernya sendiri.

****

"Aku nak sampaikan pesan." Fida memberitahu. Kakinya berjuntai di atas tembok yang mereka duduk sama.
"Kat sape?" Aina menjawab walaupun dia sudah dapat mengagak.
"Kat Firaz..."
"Nak buat apa. Lupakanlah dia." Aina menjawab dengan kasihan namun dia tidak tahu bagaimana mahu mengungkapkannya.
"Pesan kat dia...hidup baik-baik." Fida memberitahu dengan senyuman.
"Ko ni kenapa?" Aina bertanya.
"Tak ada apa...cuma aku rasa macam aku tak ada masa yang cukup untuk buat dia suka kat aku." Fida masih lagi tersenyum.
Aina merenung wajah Fida. Semenjak dari tadi, wajah Fida nampak tenang sahaja.
"Jangan merepeklah."
"Ingat tau....pesan aku ni sampaikan."
"Kalau aku tak sampaikan?" Aina mahu bergurau.
Senyuman masih terukir di bibir Fida.
"Aku nak balik dulu." Fida turun dari tembok yang mereka duduki dan menuju ke basikalnya. Dia menoleh dan memandang Aina.
"Ko pun nanti...hidup baik-baik." FIda melambaikan tangan.

***

Firaz termenung. Aina pula menyapu pipinya yang basah. Tubuhnya terasa longlai.
"Maafkan saya Aina." Firaz memberitahu.
"Bukan pada saya. Saya pun berdosa pada dia." Aina membalas.
"Saya rasa bersalah." Firaz melepaskan keluhan.
Berita kematian Fida yang dilanggar sebuah lori yang rosak breknya menyebabkan mereka berdua berada di dalam kesedihan. Rasa kehilangan. Tiada lagi Fida yang tersenyum manis. Tiada lagi Fida yang sentiasa positif tingkahnya.
"Hidup baik-baik!" Aina memberitahu.
Firaz memandang Aina namun entah mengapa wajah Fida yang membayang di mata.

Sunday, August 15, 2010

Monolog 1

Salam...

Saya rasa tak sedap. Serba serbi tak sedap. Badan tak selesa. Hati tidak selesa. Mhmm kenapa ya? Hati dan minda selari menjawab tahu tapi saya tak berdaya. Kenapa degil sangat ni? Duduk diam-diam saja. Jangan ikut hati. Ikut akal. Ikut logik...tapi hati yang degil tetaplah berkelana. Panggil balik hati tu. Jangan biar merayau. Balik ke sini. Balik ke wilayah yang tenang. Entahlah. Hati macam tak mahu di situ. Hati macam suka suasana yang kelam kabut.

Waras. Cuba fikir dengan waras. Ya. Boleh. Memang boleh fikir dengan waras. Sebab belum gilakan. Masih waras. Tapi...

"Always ask yourself to be better!" ya...dah suruh dah. Tapi tak beter pun!
"Wheresoever you go, go with all your heart." ya....dah jugak. Sepenuh hati ni. Tapi tak ada rezeki, nak buat macam mana.
"If u think u can, u can!" Haiya....masalahnya orang lain yg fikir saya tak boleh. Tak mampu. Tak layak... how? Tak kan nak paksa orang kan?

Duduk termenung balik. Tengok siling. Tengok dinding. Astaghfirullah...astaghfirullah....astaghfirullah.....astaghfirullah.....

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan yang pertama

Salam...

Ramadhan yang pertama disambut dengan airmata...Hujan dalam hati kuat menderu desah...hingga tak mampu mahu mendengar pujukan minda yang meminta logik mengatasi emosi.

Ramadhan yang pertama disambut dengan redha. Ketentuan yang ALLAH tunjukkan menjelaskan sesuatu yang tahu tetapi degil mahu menerima.

Ramadhan yang pertama disambut dengan harapan...agar jangan terlalu lama berada di wilayah sengsara.

Kaki yang melangkah namun tersekat di dalam ruang yang sama.

Sunday, August 1, 2010

Cerpen 2 : Teman Atau Mesra?

“Jaga diri baik-baik ya.”
Kalau aku tak nak? Mahu saja dia menjerit sekuat hati. Biar Ridwan pekak. Biar Ridwan tahu yang aku sudah tak mampu nak dengar apa-apa nasihat dari dia!
“Dengar tak ni?”
“Dengar. Belum pekak lagi.” Wana menjawab. Sebal.
“Penat aku cakap sorang-sorang.”
“Penat cakap, jangan bercakap.”
“Ko dah lama tak kena sekeh dengan aku ya?”Ridwan sudah mengangkat tangan.
“Jangan!” Wana mengelak. Lelaki ini fikir mereka kanak-kanak lagi agaknya. Nanti dilihat abah, pasti juling mata abah menjeling.
“Nanti kalau aku call, jangan tak jawab phone. Jangan nak kata tak ada kredit.” Ridwan masih mahu membebel.
“Macam mak neneklah ko ni.” Wana sudah naik bosan. Ridwan macam tak reti-reti nak berhenti bercakap. Air liur ada 7 tong agaknya. Tak kering-kering.
“Ko jangan suka-suka reject call aku.” Bersungguh-sungguh Ridwan menyuruh Wana berjanji. Dia bukan tak kenal dengan Wana. Bila degil dia datang menyampuk, seribu mantera pun tak akan lut.
“Ntah-ntah, sampai sana, ko yang lupakan aku. Ko jumpa kawan baru, ko tak peduli aku.” Wana memandang jauh. Tak mau dia memandang wajah Ridwan. Nanti Ridwan tuduh dia cengeng. Buat malu aje.
“Mana boleh lupakan ko. Ko kan kawan baik aku.”
Janji Ridwan itu membuatkan Wana merasa senang hati. Yeah! Ridwan tak akan lupakan dia. Sampai bila-bila! Pemergian Ridwan ke politeknik Port Dickson itu dia relakan. Cewah! Padahal, kalau dia hentak kaki sampai berlubang selipar Jepun tu pun tak tentu lagi Ridwan akan tak jadi pergi. Gila! Tak pergi sambung belajar mau kena sekeh dengan Pak Mahat yang garang tu.

***
Wana terasa mahu menangis. Kalau ada yang bertanya, siapakah yang paling dibencinya pada waktu ini maka jawapannya adalah Ridwan. Sudah sebulan Ridwan di Port Dickson namun segala-galanya sepi. Yang lupakan dia, Ridwan! Yang tak mahu sms dia, Ridwan. Yang tak mau hantar surat, Ridwan. Yang paling penting, Ridwan lupa harijadi dia. Sampainya hati. Sampai sungguh!
“Dia busy kot?” Tipah menenangkan Wana.
“Dia masih nak adjust belajar tempat baru kot?” Alasan Mira pula.
“Korang ni kawan aku ke kawan dia?”
Soalan Wana membuat Mira dan Tipah diam. Takut mahu menjawab. Nanti disepak Wana, mahu demam seminggu.
“Banyak buah rambutan mak kau ya, Wana?” Mira menukar tajuk.
“Ni rambutan budak sekolah ya?” Tipah pula menambah.
Wana terasa mahu ketawa. Sengalnya kawan-kawan dia ni. Orang tengah ngamuk mereka cerita tentang buah rambutan. Tak peka langsung!
“Ko nak tau kenapa dia lupakan aku?” Wana bertanya.
“Kenapa?” Tipah dan Mira serentak bertanya.
“Sebab aku ni mudah untuk dilupakan.” Wana memberitahu lalu bangun dan membuka selipar yang dipakai. Dia pun memanjat pokok rambutan. Skil yang dia pelajari dari Ridwan.
“Wei turunlah. Buruk rupa anak dara panjat pokok rambutan.” Mira menegur Wana walaupun dia teringin juga mahu memanjat. Best woh! Dapat makan rambutan atas pokok rambutan. Manisnya lebih sedap kot. Namun Mira tak berani. Nanti baru satu dahan dia memanjat, pokok dah tumbang. Ukur baju di badan sendiri. Dia tahu dia berat!
“Haa, tu lagi satu sebab. Sebab aku buruk. Uwaaa...” Wana terus makan rambutan dan membuang kulit ke bawah.
“Wana...kau kawan aku kan?” Mira bertanya dengan mata yang terkebil-kebil.
“Ya.”
“Kalau ya, jangan baling kulit. Balinglah yang ada isi!” Mira tersengih-sengih.
Tipah sudah menepuk dahi. Dua-dua kawannya sengal.

***
“Tak nak pergi?” Emak bertanya lagi.
“Tak nak.” Wana terus menyelak buku rujukannya itu. Dia tidak sudi. Dia tidak mahu. Biar dia tingal seorang di rumah. Dia rela. Bukannya ada hantu pun kat kampung ni.
“Tak menyesal ke?” Ayah pulak menegur.
“Tak.” Wana tetap dengan keputusannya.
“Nanti kalau Ridwan cari, mak nak jawab apa?” Aminah tersengih memandang anak daranya yang merajuk dengan anak kawan baiknya itu.
“Jawab, nombor yang anda dail sudah tamat perkhidmatannya.”
Apabila emak dan ayah sudah pergi, Wana duduk menyambung menungnya. Ridwan balik kampung. Cuti semester. Sudah dua hari pun Ridwan balik ke sini. Namun menjengah dirinya pun tidak. Sudah tiga bulan mereka tidak berhubung. Ridwan sepi. Dia sunyi.
“Kata rindu. Kenapa ko tak pergi kenduri rumah dia?” Tipah bertanya.
“Aku telefon ko sebab tak mau fikir pasal dia. Ko boleh tak jangan sebut tentang hal dia?” Marah Wana.
“Ko ni sebenarnya gaduh dengan Ridwan pasal apa?” Tipah masih terus mendesak.
“Mana ada gaduh?”
“Dah tu...janganlah macam tu. Tak baik gaduh-gaduh.”
“Huh!” Wana mematikan talian.

****

Dia duduk diam di bangku itu. Memilih untuk tidak bersuara. Dia datang ke padang permainan itu pun kerana tertipu dengan Tipah. Kali ini bukan Tipah yang tertipu tetapi dia.
“Aku tau ko marah.”
Dah tau masih nak menyibuk! Wana marah di dalam hati.
“Tapi semua orang pun buat silap kan?” Ridwan menyambung.
Peduli apa dengan orang lain!
“Kalau ko rasa nak tampar aku, ko tamparlah.” Ridwan menadahkan mukanya dengan hati yang seram. Kalau Wana betul-betul hentak pipi dia macam mana? Mau lebam balik ke asrama.
“Aku malas nak layan ko lagi.” Wana akhirnya bersuara.
“Huiyo...lama aku tak dengar suara ko.”
“Dah pekak, mana nak dengar!”
Ridwan tersengih. Kena marah pun tak apa. Yang penting Wana mahu bercakap dengannya. Itu sudah cukup.
“Aku belanja ko makan aiskrim nak?”
“Aku tak lapar nak makan duit ko!” Wana masih marah.
“Aku ajak makan aiskrim la. Bukan makan duit.”
“Ko jangan sakitkan hati aku boleh tak?” Wana mendengus marah. Geramnya melihat lelaki itu. Asyik nak menang saja. Padahal sudah banyak membuat dosa.
“Hati aku pun sakit jugak bila dengar ko rapat dengan Ahmad.” Ridwan menjawab.
“Hah?” Wana terlopong.
“Ya. Sakit hatilah. Ahmad kata ko suka cerita Despicable Me. Ahmad kata ko sanggup panjat pokok rambutan untuk dia. Ahmad kata dia belikan ko selendang biru. Asyik-asyik Ahmad. Jemu aku.” Ridwan memberitahu.
Wana terdiam. Ini drama ke apa?
“Ada Ahmad, ko lupakan aku.”
“Mana ada.”
“Ko ingat Ahmad aje.”
Wana melihat wajah Ridwan. Aik! Salah dia ke? Bukan salah Ridwan? Lelaki ini demam kot. Kena virus di Port Dickson? H1N1 boleh buat orang biul macam ni ke? Kan Ahmad tu kawan baik Ridwan? Apa kes nak cemburu lak ni?
“Aku balik dulu.” Ridwan melangkah meninggalkan dia. Wana hanya melihat. Hati mahu menjerit memanggil namun dia tidak ada keberanian. Lagi pun nak cakap apa? Nak cakap, Ridwan....aku dengan Ahmad tak ada apa-apa! Wana diam. Heeee.....sengal betul!

***

Aminah menggenyeh matanya beberapa kali. Anak daranyakah itu? Yang sedang memegang sudip dan mengacau kuali? Ajaib ni.
“Wana masak apa?”
“Mihun goreng.”
“Ni sambal kupang ni Wana masak jugak?”
“Aah.”
“Ni telur dadar ni sekali?”
“Yalah mak.”
“Masak beriya-iya untuk siapa?”
Wana tersengih-sengih. Malu. Dia terus mengacau mihun di dalam kuali. Taugeh dimasukkan akhir sekali. Ridwan suka kalau taugeh tu rangup-rangup.
“Owh, masakkan untuk Ridwan ya?”
“Mana ada.”
“Habis tu?”
“Yalah...untuk dia. Kan dia nak balik asrama.” Wana memandang emak sambil tersenyum-senyum.
“Dah baik dah?”
“Memang baik pun.”
Aminah menggelengkan kepala. Wana! Wana! Memang tidak boleh diteka. Habislah isi peti ais rumah kalau ada mood dia nak berbaik dengan Ridwan semula. Wana cepat-cepat memasukkan semua juadah yang disediakannya itu ke dalam bekas makanan. Tergocoh-gocoh dia menaiki basikal menuju ke rumah Ridwan. Dia harap Ridwan faham yang dia memasak untuk Ridwan. Bukan untuk Ahmad. Dia dengan Ahmad tak ada apa-apa. Semuanya hanya salah faham saja.

****
“La...Wana lambat sampai. Ridwan baru keluar lima minit tadi.” Makcik Gayah memberitahu.
Wana terasa macam mahu menangis. Dia melihat beg plastik yang berisi makanan kononnya mahu dijadikan bekal untuk Ridwan. Ah, hampa. Sedihnya! Wana terasa mahu meraung. Uwaaa.... Ridwan! Aku tak suka Ahmadlah. Aku baik dengan Ahmad sebab nak tau berita tentang engkau!
“Wana masuklah dulu.”
“Tak apalah makcik.”
Wana mahu mengatur langkah pulang. Dia mahu menaiki basikal apabila terdengar bunyi hon. Kereta Pak Mahat memasuki halaman rumah.
“Wana?” Ridwan turun dari kereta.
“Ada apa abahnya?” Makcik Gayah bertanya.
“Ridwan tertinggal telefon.” Pak Mahat memberitahu lalu masuk ke dalam rumah. Dia mahu ke bilik air.
“Ko cari aku ke?” Ridwan memandang Wana yang matanya seakan bergenang.
“Kenapa nak balik tak tunggu aku datang?” Wana memarahi Ridwan.
Ridwan memandang wajah Wana lagi. Kali ini dengan lebih teliti.
“Kita ada janji ke nak jumpa sebelum aku balik?”
“Kalau tak janji, tak boleh nak tunggu ke?”
Dua-dua bersabung mata.
“Ni aku masakkan untuk ko.” Wana menghulurkan bekas plastik.
“Bagi kat Ahmad?” tanya Ridwan dengan hati yang berjelaga. Kalau Wana cakap ya, raya ni dia tidak mahu balik ke sini lagi. Biar karam di Port Dickson.
“Buat apa bagi kat dia. Ni untuk awaklah.” Wana menundukkan wajah.
“Untuk saya?” Ridwan merasakan hatinya bergetar bahagia. Perasan dengan panggilan yang tiba-tiba berubah.
“Ya untuk awak. Jangan berani-berani nak lupakan saya. Saya dengan Ahmad tak ada apa-apa. Tak pernah dan tak akan ada apa-apa.” Wana memberitahu dan kemudiannya menarik nafas tenang. Lega. Sekarang terserah. Kalau Ridwan mengambil bekas plastik yang dihulurkan, alhamdulillah. Jika tidak, uwaaa.....Penat tau memasak!
“Awak...”
“Ya.”
“Terima kasih eh!”
“Okay.”
“Awak...” Ridwan memanggil lagi.
“Ya...” Hati Wana terasa berbunga. Ada bunga daisy. Ada bunga kertas. Ada bunga mawar.
“Saya sayang awak tau.”
Wana terasa mahu lari balik ke rumah dan memanjat pokok rambutan.