Aku ketawa sendiri. Suaraku memenuhi ruang bilikku yang sempit dan adakalanya sedikit menyesakkan. Jika ada insan lain yang mendengar, pasti mereka akan mengatakan aku sudah menjadi gila. Aku hilang kewarasan akal fikiran. Semuanya kerana seorang lelaki. Hebat benarkah dia hingga mampu membuat fikiran aku begitu bercelaru? Aku mengeluh apabila wajahnya datang bertandang di dalam mindaku walau tanpa diundang.
Dia memang lelaki yang tidak tahu malu! Mungkin aku pula, perempuan yang tidak tahu menghargai kasih dan cinta orang yang menyayangi aku dengan sepenuh hati. Ah, itu kata-katanya. Apa yang ada di dalam hatinya tidak mungkin dapat aku baca. Sepenuh hati! Penuh hingga tiada lagi ruang untuk orang lain. Itulah antara kata-katanya yang sempat singgah ke telingaku sebelum talian telefon itu aku matikan.
Bantal dalam pelukan aku campakkan ke dinding. Dinding itu tetap teguh berdiri. Bantal juga masih lagi kejap rekabentuknya. Sah, satu lagi tindakan aku yang bukan saja tidak rasional malahan amat tidak menguntungkan sesiapa. Puaskah hati ini? Mataku merenung ke arah bantal yang terguling. Bantal yang tidak berdosa itu!
Akhirnya, bantal di lantai itu aku kutip semula. Ku tepuk-tepuk lalu diletakkan semula ke atas katil. Kakiku melangkah ke arah tingkap. Jam sudah melewati dua belas malam namun langit masih kelihatan cerah. Awan masih lagi samar-samar kelihatan. Suasana begitu sunyi sekali. Sudah tidurkah seluruh makhluk ALLAH di dunia ini? Aku tersenyum sendiri. Malam ini banyak benar persoalan yang timbul dalam kotak fikiran ini. Datang menerjah tanpa sabar-sabar mahu mencari jawapan.
Mataku terus buntang memandang ke arah langit. Tenang dan mengasyikkan. Kalaulah aku dapat terbang bebas berlegar di langit! Di radio, kedengaran suara M.Nasir menyanyi dengan penuh semangat. Sang pencinta yang pasti penuh dengan rasa cinta bersatu dalam jiwa tentunya. Untunglah nasib si Marlia Musa! Memikirkan tentang cinta, sekali lagi fikirannya dijengah oleh lelaki itu. Senyumannya yang selalu menghiasi bibir. Lelaki yang tidak pernah kenal erti marah agaknya. Segala tindak tanduk aku selalu dianggap sebagai jenaka saja pada dirinya.
“ Dalam hidup, kalau selalu sangat berfikir terlalu banyak, diri kita juga yang susah! Apa pun yang hendak dibuat, akan ada terlalu banyak batas, sampaikan menjadi halangan untuk kita berjaya.” Nasihat lelaki itu terngiang-ngiang di telingaku.
“ Kalau tidak berfikir, kita akan jadi katak di bawah tempurung. Silap-silap apa yang di buat akan memakan diri sendiri. Siapa yang susah?” Balasku tidak mahu kalah. Matanya kurenung tajam buat seketika. Tidak lama, mungkin sesaat cuma.
“ Hidup kena selalu bertindak cepat. Mesti selalu berfikir tetapi janganlah sampai terlalu lama berfikir hinggakan kita jauh terkial-kial ketinggalan. Dalam dunia moden sekarang, katak pun sudah tidak mahu duduk di bawah tempurung. Katak pun mahu bermimpi menjadi putera raja. Tak begitu, Cik Hawa sayang!” Pangkasnya pula sambil ketawa melihat wajahku yang kelat bila dipanggil sayang.
Berlawan cakap dengan lelaki ini selalu membuat aku kematian kata-kata. Satu fenomena yang jarang-jarang berlaku. Aku wakil pemidato yang hebat sewaktu di sekolah. Bukan satu atau dua piala yang berbaris di dalam almari rumah emak. Kegemaran aku menyertai acara berbalas pantun juga menyebabkan lidahku ini sememangnya petah berbicara dan amat mahir mematikan kata-kata lawan. Sayang! Apabila berhadapan dengannya fikiran ku selalu jadi buntu. Mudah benar lidahku terkunci. Hilang bertempiaran segala kata-kata yang sudah aku susun. Malah perbendaharaan kataku juga menjadi begitu kecil. Sekecil kamus yang berharga RM 9.90 sahaja! Aduh! Malu aku jadinya.
Mataku memandang pula kepada potret keluarga yang baru diambil sebulan yang lalu. Saat itu kami lapan beradik sama-sama memenuhkan rumah emak dan abah kerana majlis kenduri arwah. Bukan setakat penuh sebenarnya, tetapi amat sesak! Maklumlah semua abang dan kakakku sudah berkeluarga. Tinggal aku saja yang masih lagi hidup bersendirian. Persoalan bilakah aku mahu menamatkan zaman dara ku ini sudah acap kali benar aku dengar. Sudah letih bibir ini mahu mencari alasan, sudah rapuh jiwaku cuba menipu yang aku senang hidup sendiri.
Untungnya emak dan abah amat berdiplomasi sekali terhadapku. Aku tahu emak dan abah risau memikirkan aku yang masih belum berpunya namun mereka tidak pernah memaksa. Jodoh! Bukankah itu ketentuan ALLAH. Aku tidak mahu menjadi perigi yang mencari timba. Aku takut! Takut saat membaca rentetan kisah hidup ibu-ibu tunggal yang memenuhi ruang-ruang media. Aku takut, lelaki yang datang dalam hidupku, hanya singgah untuk sementara waktu. Mengutip madu lalu meninggalkan hempedu.
“ Perkahwinan adakalanya tidak ubah seperti satu perjudian. Ada yang mendapat untung, ada juga yang beroleh rugi.” Wida sahabatku memberitahu. Dia beruntung. Apa tidaknya, suami Wida adalah kekasihnya yang setia memadu cinta dengannya sebelum dia menjejakkan kaki ke universiti lagi. Walau berjauhan, hubungan mereka tidak pernah renggang malah makin bertaut rapat. Anaknya yang sulung sudah berusia 7 tahun. Sudah bersekolah. Aku? Lama benar sudah hidup bersendirian. Menyesal? Tidak juga. Aku sudah terbiasa. Aku sudah terlalu lama memerdekakan diri dari terlalu bergantung kepada seorang insan bernama lelaki. Hinggalah saat ini. Saat lelaki itu menyatakan hasrat untuk memperisterikan aku.
“ Sampai bila mahu hidup sendiri? Diri kita ini, sekuat mana pun kita, masih lagi memerlukan seseorang dalam hidup kita. Untuk sama-sama berkongsi rasa, berkongsi kasih. Mana ada yang bila usia sudah senja nanti mahu jadi sebatang kara!” Tegur Suriya, rakan sepejabatku.
Aku hanya diam membatu. Air mata yang mahu menitis, cepat-cepat aku seka. Aku tidak pernah melabelkan diri aku sebagai wanita yang kuat. Aku tidak pernah menganggap lelaki tidak penting dalam kehidupan aku. Aku bukan lesbian! Aku wanita biasa yang mahu disayangi. Mahu dilindungi. Mahu sama-sama berkongsi payung kehidupan dengan seorang insan bernama lelaki. Aku impikan anak-anak comel, yang bisa ku rangkul dalam pelukan yang penuh kasih sayang. Aku idamkan kucupan kasih seorang lelaki yang akan singgah di dahiku saat lampu tidur mahu dimatikan. Kata-kata Suriya itu aku diamkan saja. Dia memang rapat dengan aku namun masih tidak mampu mengerti apa yang bergolak dalam hati aku.
“ Jangan jadi terlalu pemilih! Cermin diri kau dan berhenti menunggu putera datang dari kayangan. Jangan terlalu hanyut dalam dunia novel yang kau baca itu. Cerita itu semua rekaan semata-mata. Tidak wujud di alam nyata.” Sindir sepupuku pula ketika aku hadir ke majlis persandingannya tidak lama dulu.
Jika tidak memikirkan rasa hormat pada saudara mara yang ramai berkumpul di situ, mahu saja ku tampar mukanya. Biar senget bibirnya yang begitu lancang menyelar aku. Ringan saja tanganku mahu bergerak namun usapan lembut emak ke bahuku membuatkan aku tenang dalam jiwa yang semakin meribut. Sepupuku ini memang tidak sedar diuntung. Dia yang juga seusia aku sepatutnya lebih mengerti sukarnya hidup bila ditohmah sebegitu. Ah, resmi manusia! Sewaktu senang, cepat benar lupa apa yang berlaku ketika susah. Umpama kaduk yang sudah naik junjung!
Dia lupa agaknya bahawa perkahwinannya hari itu masih belum berusia sehari. Perkahwinan cuma gerbang ke arah hidup yang lebih luas skopnya. Bahtera baru mahu bertolak, sauh pun entah di mana letaknya, dia sudah pandai mahu mengatur hidup orang lain. Namun, wajahku tetap kumaniskan. Biarlah. Ini hari dia. Bukankah dia akan menjadi Raja Sehari, hari ini! Biarlah dia menunjukkan kuasanya yang tidak setinggi mana itu.
Suara Once yang begitu merdu menyanyikan lagu Dealova membuatkan aku kembali semula ke arah katil. Jauh fikiranku melayang ke pelbagai dimensi masa. Kalaulah ada seorang lelaki yang seromantik dalam lirik lagu itu? Mungkin ada, tetapi sudah dimiliki. Hatinya berperang lagi. Fikirannya menerawang kepada saat mereka meluangkan masa di taman rekreasi di satu hari minggu pada bulan yang lalu.
“ Awak harus berhenti menyempitkan ruang fikiran dengan perkara-perkara negatif yang akan hanya menjatuhkan diri awak. Waktu awak jatuh, hanya diri awak saja yang boleh membangunkan diri awak semula. Bukan orang lain. Bukan emak awak. Bukan abah awak. Bukan juga saya yang sentiasa menyokong tindakan awak. Tapi tindakan yang betullah. Tindakan yang salah, saya tak sanggup.” Lelaki itu menasihatkan namun sempat juga bergurau. Pada dia telah ke ceritakan kelukaan apabila pernah dikecewakan oleh lelaki yang membuang cintaku setelah sama-sama membina impian mahu berpimpinan mesra ke gerbang perkahwinan.
“ Apabila memulakan sesuatu, bukankah kita selalu diingatkan bahawa kita mestilah membayangkan penutup yang bagaimanakah yang kita mahu. Supaya kelak kita akan menjadi lebih kuat, lebih bersemangat dalam usaha mencapai apa yang diimpikan.” Aku membalas bila kulihat senyumannya masih lagi terukir di bibir. Dia yang tidak sangat aku kenal ini begitu menyenangkan walaupun adakalanya ada sikapnya yang menyakitkan hati. Bersamanya, aku mudah bercerita. Mudah juga bertegang urat membicarakan isu kehidupan.
Dia mengangguk-anggukkan kepala. Telefonnya dipusing-pusingkan di atas meja. Matanya menatap wajahku lama. Aku melarikan pandangan ke arah lain. Sempat kulihat senyuman sekali lagi menghiasi bibirnya. Dia memang suka bersedekah!
“ Jangan disalahsangka antara imaginasi dengan realiti. Apatah pula antara mimpi dan cita-cita. Saya bahagia jika awak mencapai segala yang awak impikan walaupun mungkin pada penutup yang awak bayangkan itu, bukan saya yang ada di sisi menemani. Ada masanya, cinta itu bukan sesuatu hak untuk kita memiliki. Kenapa terjadi begitu? Hanya ALLAH yang tahu misteri di sebalik rencanaNYA.”
Tuturnya perlahan sebelum bangun dari kerusi kayu dan menepuk-nepuk seluarnya. Sekuntum senyuman dihadiahkan kepada aku lalu memulakan semula lariannya mengelilingi taman itu. Aku yang lebih senang berjalan kaki tidak menemaninya berlari kali ini. Air mineral ku minum perlahan sambil fikiranku tidak lepas dari memikirkan apa yang dikatakannya sebentar tadi. Aku jadi takut memikirkan kemungkinan akan kehilangan dia. Terbitkah benih kasih untuk lelaki itu? Berdosakah aku bila mula menanggung beban pesona itu?
Aku bangun dari katil lalu menuju ke bilik air. Wuduk kuambil untuk menenangkan diri. Solat Isyak sudah lama ku lakukan namun aku berhajat untuk bersolat sunat dua rakaat pula. Biar fikiran yang kusut menjadi lebih tenang. Lelaki itu sering menasihatkanku supaya berdoa kepada ALLAH. Berdoa moga diringankan dugaan hidup, dirahmati dan sentiasa berada di bawah lindunganNYA.
Katanya lagi, berbicara dengan rakan belum tentu nasihat yang diberikan boleh digunapakai kerana fitrah manusia selalu lalai dan sering membuat silap. Berbeza sungguh apabila berbicara dengan Tuhan, hati akan lebih tenang dan jiwa kita juga lebih kuat menempuh kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini. Saat aku membaca ungkapan bismillahirahman nirahim untuk memulakan solat, hatiku terasa kerdil di bawah kuasa Yang Maha Esa.
Malam itu selepas solat, tidurku jadi lebih tenang. Hati ku tidak lagi berdegup kencang. Saat kurebahkan badan ke katil, wajahnya yang tersenyum sama-sama menemani tidurku. Hilang sudah seluruh rasa amarahku yang membuak-buak padanya tadi.
****
“ Wah, cerah cuaca hari ini. Terang benderang. Bersinar-sinar.” Usik Suriya melihatkan aku yang asyik tersenyum saja hari ini. Aku juga mahu selalu memberikan sedekah.
“ Aku mimpi bulan jatuh ke riba.” Jawabku selamba. Usikannya tidak aku peduli. Fail dimejanya aku ambil sambil mengenyitkan mata kepadanya lantas pulang semula ke mejaku.
Hari ini aku sudah berjanji kepada diri. Waktu mahu keluar dari rumah pagi tadi, aku membuat keputusan untuk mengubah pandangan hidup. Aku mahu bahagia. Aku sudah bosan hidup berduka lara. Aku tidak mahu peduli dengan kata-kata negatif orang yang tidak membawa untung kepadaku. Mereka boleh berkata apa saja dan tanpa sedar mereka akan menambah jumlah pahalaku!
Semua tugas ku lakukan dengan bersungguh-sungguh. Makan tengahari ku hari ini cumalah sekeping roti dan secawan kopi merah. Pagi tadi aku sudah menikmati roti sandwich telur sebanyak dua keping. Aku malas mahu berkejar-kejar dan berebut-rebut di waktu tengahari begini. Cuaca yang panas juga tidak menarik minat aku untuk membakar kulit aku yang lahiriahnya sudah tidak begitu cerah.
Ajakan teman-teman aku tolak dengan senyuman yang mesra. Sempat Suriya mengusik mengatakan aku bakal menjadi pekerja contoh jika kekal rajin sampai ke hujung tahun. Sekali lagi usikannya tidak ku hiraukan. Dalam hidup ini, kalau boleh pelbagai peranan mahu kita lakukan. Mahu jadi anak contoh, isteri contoh atau pun belia contoh! Aku tersenyum sendiri.
Aku teringatkan dia secara tiba-tiba. Lalu jariku pantas mendapatkan nombor telefon kedai bunga yang terletak di bawah pejabat ku ini. Aku membuat pesanan penghantaran untuk dihadiahkan kepada dia yang telah banyak membantu aku untuk mengenali diri aku sendiri. Terkejut gadis kedai bunga itu bila aku menyatakan jenis bunga yang aku pilih. Bukan bunga sebenarnya sebab paku pakis memang dijadikan Tuhan tanpa bunga. Aku meminta gadis itu untuk menghantar sepasu pokok paku pakis untuk dia yang baru kukenali hati budinya itu.
Ku titipkan kata-kata, “ awak umpama paku pakis. Nampak biasa namun unik dan tersendiri. Terima kasih.” Aku pasti dia akan memahami apa mesej yang ingin aku sampaikan.
Setelah meletakkan telefon aku termenung seketika memikirkan kewajaran tindakanku menghantar pokok itu kepadanya. Lelaki yang biasanya menghadiahkan bunga. Bukan perempuan. Namun aku menenangkan hati dengan anggapan, yang ku hantar bukan bunga tetapi pokok. Pokok paku pakis tidak pernah diklasifikasikan setaraf dengan bunga mawar yang selalu disamakan dengan makna cinta. Merah bermakna membara, kuning cemburu, putih suci dan paku pakis ku yang berwarna hijau itu pastinya adalah warna alam semulajadi yang lebih membawa makna persahabatan! Aku cuba menipu diri sendirikah? Aku tersenyum lagi.
Riuh rendah teman-teman yang sibuk berkipas setelah makan tengahari di dalam cuaca panas itu tidak ku hiraukan. Pasti mereka ke gerai Pak Ali yang menjual berbagai jemis makanan kampung yang amat menyelerakan dan bisa membuat ukur lilit pinggang tambah seinci dua setelah berkunjung ke situ. Itulah yang cuba aku elakkan. Bukan takut bertambah berat badan tetapi aku takut aku akan tertidur dalam waktu kerja. Waktu makan, semuanya nampak menyelerakan tetapi saat jam dua datang, perutku akan mengah. Waktu jam tiga pula, mataku akan bertambah layu dan kuyu.
Aku beredar ke bilik kecil yang dijadikan surau. Zohor ku tunaikan dengan segera. Tidak mahu membuang masa dan juga kerana waktu rehatku sudah semakin habis. Saat tanganku meraup wajah, Suriya tersenyum memandangku. Aku membalas senyumnya. Dia duduk saja di sebelah aku tanpa berkata apa. Segala tindak tandukku melipat telekung dan sejadah diperhatikan dengan tekun. Aku memandang kepadanya dan mengangkatkan keningku tanda bertanya apakah yang dia mahukan dari aku sebenarnya hingga sanggup menyusul aku ke surau kecil itu.
“ Kau nampak lain hari ini. Lebih tenang tapi kenapa seolah-olah engkau cuba menjarakkan diri daripada aku. Makan pun sudah tak sudi dengan aku.” Tanya Suriya dengan nada suara yang perlahan.
Aku tersenyum melihat tingkahnya. Aku hanya menggelengkan kepala beberapa kali. Melihatkan wajahnya yang masih suram, bahunya aku pegang.
“ Aku ni Hawa. Hawa, kawan engkau yang semalam, kelmarin dan sejak tiga tahun yang lepas sebenarnya. Aku juga masih lagi Hawa yang sama untuk esok, tulat, langkat dan seterusnya juga. Jika aku berubah, mungkin kerana masa memaksa aku untuk berubah. Aku tidak boleh terus di takuk lama sedangkan masa tidak mungkin boleh menunggu aku.” Jelasku dengan tenang.
“ Kau makin buat aku bingung.” Suriya melepaskan keluhan.
“ Tidak ada apa-apa yang perlu kau bingungkan. Aku masih kawan kau yang dulu. Esok lusa masih ada lagi untuk kita pergi makan sama-sama kan? Jum, masa rehat dah lama tamat. Nanti marah pula bos kita bila surau digunakan bukan untuk beribadat. Kau dah solat?”
Suriya mengelengkan kepala lalu terus bangun untuk mengambil wuduk. Aku sempat memegang tangannya dan menggenggam seketika dengan erat. Beg kecilku berisi telekung ku letakkan semula di atas rak dan berlalu keluar ke arah mejaku semula. Hati seorang sahabat yang tersinggung walau dalam tanpa sedarku tidak boleh dipandang ringan. Bukankah sahabat antara insan yang wajib kita muliakan?
Di atas meja, ada nota kecil untukku. Ada panggilan dari lelaki itu. Lelaki tuan punya paku pakis yang baru kuhantarkan sebelum Zohor tadi. Pasti dia mahu mengucapkan terima kasih. Nota kecil itu aku pegang dan ku renung berulangkali. Terasa malu untuk menelefonnya sedangkan panggilannya malam tadi tidak ku layan. Aku umpama perempuan yang tidak ada arah tujuan. Berhadapan dengan dia aku selalu hilang arah. Dia umpama magnet yang membuatkan kompas ku jadi berputar tidak keruan.
Ku fikirkan kembali punca kemarahanku padanya. Dia tidak bersalah ketika menyatakan keinginan hatinya untuk memperisterikan aku. Namun kata-katanya itu cukup membuatkan aku terasa hati. Aku jadi keliru sama ada kata-katanya itu hanya mainan atau dia benar-benar serius.
“ Jadikanlah saya sebagai satu bahan eksperimen. Anggap saya sebagai satu objek yang boleh awak perkotak–katikkan dalam usaha awak memburu cinta sempurna yang awak idamkan.” Suaranya jelas kedengaran di dalam telefon.
“ Awak cuba mempermainkan saya?” Aku mendengus marah.
Suara ketawanya di hujung talian membakar hatiku yang mula mendidih marah. Dia berkata-kata seolah diri aku ini begitu menjengkelkan sekali. Salahkah aku mengimpikan cinta yang sempurna? Aku sedar aku tidak secantik Balqis yang berhak terhadap kasih Nabi Yusuf alaihi salam. Namun aku ada hak untuk bermimpi.
“ Saya tidak pernah berniat mahu mempermainkan awak. Jika awak sudi, saya rela menjadi suami yang sempurna cintanya untuk awak. Namun, awak harus ingat. Kesempurnaan itu hak mutlak ALLAH, bukan kita. Bukan hak kita, hambanya yang tidak layak ini.”
Dan saat itulah, talian telefon telah ku putuskan. Geram! Jika sapaannya tidak ku sambut tiga bulan yang lalu pasti hidupku tidak tunggang terbalik seperti sekarang. Fikiranku mula berputar kepada peristiwa yang berlaku tiga bulan yang lalu. Tiga bulan yang lalu, dia menegurku sewaktu aku sedang asyik membaca sinopsis novel di kedai buku MPH.
“ Bagus novel ni. Dijamin tidak rugi membeli.” Lelaki itu tersenyum memandangku.
Aku menoleh ke belakang melihat dengan siapa sebenarnya dia berbicara. Ruang belakangku kosong. Tiada siapa di bahagian itu kecuali aku dan dia. Lelaki itu ketawa melihat tindak tandukku. Aku turut sama ketawa.
“ Terima kasih.” Jawabku lalu bergerak ke rak yang seterusnya. Tidak mahu menyambung bicara walau senyuman lelaki itu amat manis sekali. Dia ku lihat terus menilik buku yang lain. Pasti peminat buku yang fanatik. Di tangannya sudah ada dua buku yang dikendongnya. Aku mengatur langkah ke arah bahagian buku-buku motivasi. Ada buku yang Suriya minta belikan.
“ Cara-cara Memikat Hati Suami. Menarik tajuk buku.” Tiba-tiba lelaki itu sudah berdiri di sampingku. Hampir-hampir terlepas buku yang ku pegang di tangan. Hatiku menyumpah memarahi lelaki yang selamba sahaja riak wajahnya itu.
“ Kawan saya kirim.” Entah kenapa aku memberikan penjelasan kepada lelaki yang tidak aku kenali itu.
“ Untuk awak pun sesuai juga.” Balas lelaki itu sambil menganggukkan kepalanya.
Aku menjelingnya lalu beredar menjarakkan diri. Namun langkahnya yang diatur tetap menuju ke arah aku. Apakah kerana kata-kata di kemeja T yang dipakainya menjadikan dia begitu bebas sekali berbicara sewenang-wenangnya dengan aku. ‘ World Without Strangers’ Itulah slogan di kemejanya. Mungkin itu jugalah slogan dalam hidupnya. Dunia tanpa orang asing! Aku tersenyum sendiri. Pelik pula terjemahan yang aku lakukan.
Kami bertemu lagi sewaktu di kaunter pembayaran. Dia yang berdiri di depanku, dengan penuh budi pekerti bak seorang lelaki Melayu terakhir telah beriya-iya mempersilakan aku untuk beranjak ke depan barisannya.
“ Ibu selalu nasihatkan, selalu utamakan perempuan. Yang kuat mesti membantu yang lemah,kan?” Dia memberikan penjelasan bila aku cuba menolak.
Aku yang tidak mahu mencuri tumpuan pengunjung yang lain, terus saja meletakkan buku-buku yang kubeli ke atas kaunter. Waktu aku sibuk menandatangani slip kad kredit, lelaki itu sempat membaca namaku yang tertera di atas kad.
“ Cik Hawa Firdaus. Sedap nama.” Dia bersuara hampir saja di telingaku.
Tingkahnya tidak kupedulikan. Waktu beg plastik berisi buku-buku diserahkan juruwang itu, aku segera beredar. Sempat telingaku menangkap jeritan lelaki itu.
“ Jumpa lagi, Cik Hawa.” Kuat juga suaranya memanggil namaku. Malu aku dibuatnya. Langkah kakiku semakin kuatur laju. Hasratku untuk meninjau ke butik yang berdekatan aku matikan. Tidak sanggup lagi mahu berhadapan dengan lelaki itu. Aku segera membayar caj parkir lalu bergerak ke arah tingkat lima. Hujung minggu begini, seluruh ruang parkir penuh dengan kereta. Manusia berpusu-pusu memenuhi Alamanda. Berbelanja seperti tiada hari esok!
Aku meletakkan barangan di tempat duduk penumpang lalu mengunci keretaku terlebih dahulu sebelum aku memakai tali pinggang. Aku menoleh ke kiriku setelah merasakan diri aku seolah diperhatikan. Ah, lelaki itu sedang tersenyum memandangku. Dia melambai-lambaikan tangannya. Aku hanya tersenyum dan menganggukkan kepala kepadanya. Aku pura-pura menyusun barangan dengan harapan dia akan beredar terlebih dahulu dari aku. Namun setelah, beberapa minit berlalu, keretanya tetap di situ. Aku pun dengan risaunya, terus menggerakkan keretaku keluar dari ruang parkir dengan berhati-hati. Dari cermin kereta dapat kulihat keretanya di belakang keretaku.
Sangkaku dia lelaki pengacau, namun pertemuan kedua yang tidak kuatur terjadi juga sewaktu aku membuat aktiviti riadah di taman rekreasi itu. Kami bertemu lagi walau tidak berjanji. Kami sama-sama menghadirkan diri di taman rekreasi itu untuk menyahut seruan kerajaan yang mahukan rakyat mengamalkan budaya hidup sihat. Dari pertemuan kedua itu, barulah kami memperkenalkan diri. Kini, sudah tiga bulan usia perkenalan kami. Entah berapa juta perkataan yang sudah terucap antara kami berdua yang suka berbalah. Dia utara, aku pula di selatan. Jika dia sukakan putih, aku berkeras mahukan hitam. Aku tidak suka mengaku kalah. Sebaliknya dia pula tidak jemu cuba mengubah apa juga pandanganku mengenai kehidupan ini. Lelaki, lelaki! Datangmu tidak kujemput, hadirmu tidak kutunggu. Namun, kewujudan engkau banyak mengubah aku.
Ingatanku yang jauh melayang dikejutkan oleh deringan telefon. Melihat namanya yang tertera, aku jadi serba salah. Namun membiarkan telefon itu terus menjerit juga sudah tentunya bukan satu tindakan yang sesuai.
“ Apa mimpi awak hari ini? Sudah habis rasa marah?” Tanyanya selepas salamnya aku sambut. Ada nada jenaka dalam tutur katanya yang bersahaja.
“ Saya tidak bermimpi apa-apa. Mungkin sudah sampai masanya untuk saya berhenti bermimpi dan menerima kenyataan yang saya adakalanya terlalu mengikut perasaan. Memarahi orang lain sedangkan saya yang marah pada dunia bukanlah satu tindakan yang bijak, malahan jauh dari matang.” Ujarku perlahan. Mahu ku pohon kemaafan kerana sikap kurang ajarku malam tadi tetapi kata-kata itu hanya menghiasi minda bukan bibirku yang begitu sukar melafazkannya.
“ Saya yang bersikap keterlaluan. Saya yang sengaja menjolok sarang tebuan. Maafkan saya.” Perlahan suaranya namun jelas menusuk ke hati ini. Mudah benar dia meminta maaf dan memaafkan. Sedangkan aku, selalu keras hati dan sukar mahu beralah. Dia terlalu baik kepada aku. Kebaikannya itulah yang menakutkan aku. Aku bimbang aku akan kehilangan. Aku risau, jika kata-kata manisnya hanya menanam tebu di bibir.
“ Kenapa diam? Cantik paku pakis yang awak bagi saya ni. Kawan sepejabat sibuk cemburukan saya. Maklumlah, paku pakis ni unik dan tersendiri.” Dia berbicara lagi dalam nada riang.
“ Kita jumpa lepas waktu kerja ni boleh? Dalam pukul enam, sebab saya kena ganti masa kerja yang saya ambil bila berbicara cerita paku pakis dengan awak ni.” Sambungnya lagi dalam tawa yang masih belum usai.
Aku bersetuju dengan permintaannya. Bukankah aku sudah berjanji untuk membahagiakan diri pada pagi hari tadi? Lihat saja ke manakah arus hidup ini akan membawaku. Aku sudah penat menongkah arus hidup sendirian.
*****
Dia merenung mataku. Aku menundukkan wajah, tidak mampu menahan getaran yang menyesakkan dada. Kami hanya duduk diam tanpa bersuara. Dia kelihatannya lebih tertarik melihat kerenah manusia yang sedang sibuk lalu lalang mahu pulang ke rumah.
“ Tengok budak perempuan berpayung merah tu. Comelnya. Tapi kasihan, kecil-kecil sudah dieksploitasi. Kasut pun bertumit tinggi. Bibir merah diletak gincu.” Kata-katanya memecahkan keheningan suasana.
“ Salah siapa agaknya ya? Salah si ibu yang mengajar anak sekecil itu untuk kelihatan cantik atau silap si ayah yang secara fitrah sebagai lelaki sukakan sesuatu yang indah?” Tanyaku pula. Wajahnya ku lihat memandang aku dengan sepenuh perhatian.
“ Kenapa renung saya begitu?” Tanyaku lagi apabila dia terus memandangku tanpa memberikan jawapan kepada soalan yang aku lontarkan. Aku jadi semakin kekok bila terus diperhatikan sebegitu.
“ Hari ini awak nampak lain.” Jawabnya sambil menghirup minumannya yang masih bersisa di gelas.
“ Apa lainnya? Saya rasa biasa saja. Tiada yang lebih, tiada juga yang kurang.” Balasku sambil berfikir mencari kelainan yang diperkatakannya. Mungkin kerana hari ini aku berkebaya dan bukannya memakai blaus serta seluar seperti biasa.
“ Kelembutan awak lebih terserlah. Tidak seperti sebelum ini, awak bagaikan satria yang sedang berjuang di medan perang. Selalu marah pada dunia.” Jelasnya perlahan namun cukup menyentuh hatiku yang akhir-akhir ini begitu rapuh sekali.
“ Saya suka Hawa yang baru ini. Lebih menarik. Masih tegas tetapi penuh kelembutan yang mengasyikkan.” Dia menyambung kata-katanya lagi sambil menghadiahkan aku senyuman.
Aku menjadi semakin kaku mendengarkan tutur katanya itu. Pujiannya membuatkan aku dihambat rasa malu. Aku tidak tahu bagaimana mahu membalas. Tiada ayat yang sesuai dapat aku fikirkan untuk menghiasi bibirku yang sudah membeku.
“ Saya serius dengan lamaran saya. Baik saya ataupun awak ada kekurangan dan kelebihan yang tersendiri. Dengan restuNya, moga-moga kekurangan saya akan dapat ditutupi dengan kelebihan awak. Kelebihan saya pula mungkin boleh melengkapi kekurangan diri awak. Jadilah permaisuri hidup saya dan saya akan berusaha untuk menjadi raja yang setia dan menyayangi awak.”
Airmata yang aku tahan, menitis juga melimpahi tubir mata. Seumur hidup aku, tidak pernah aku menangis di depan seorang lelaki. Hanya lelaki ini yang boleh membuat aku marah namun dalam sekelip mata juga boleh membuat aku tenang dengan kata-kata nasihat yang sering menyentuh hati dan dapat diterima mindaku yang degil ini. Terima kasih wahai lelaki kerana sudi mengasihi aku. Terima kasih, Adam. Ya ALLAH ya Tuhanku, berkatilah hubungan antara kami ini. Dimatanya kulihat ada kesungguhan, di hatinya ku pertaruhkan harapan.