“Kau nak marah aku sampai bila ni?” tanya Iskandar.
“Sampai raya haji.”
Iskandar ketawa. Anis terasa mahu menutup telinga. Dia benci mendengar suara tawa Iskandar. Terasa seperti hatinya dilanda bah besar. Sukar mahu bernafas. Dia menarik nafas dan cuba menenangkan diri. Mencapai pula terung bulat dan juga sayur kangkung. Ini bekalan untuk seminggu.
“Nak beli ikan tak?’ tanya Iskandar.
“Mak Mah nak ikan merah dengan ikan tongkol.” Anis memberitahu.
“Aku pergi tengok ada tak.” Iskandar berlalu ke bahagian itu. Langkahnya itu dilihat oleh Anis dengan hati yang berat. Bahaya sungguh. Dia segera mengalihkan perhatiannya. Ya ALLAH, janganlah begini. Iskandar itukan sahabat baiknya! Dia tidak boleh jatuh cinta dengan Iskandar. Tidak boleh! Berdosa.
“Amoi, boyfriend banyak handsome.”
Anis menoleh. Nyonya tua itu mengenyitkan mata dan mengangkat ibu jarinya tanda bagus. Terperanjat Anis dengan kenyataan nyonya itu. Bukan salah diakan jika dia jatuh hati dengan Iskandar? Nyonya tua pun tahu menghargai Iskandar. Lagilah dia yang baru berusia suku abad ini.
“Ni ikannya.” Iskandar sudah datang kembali dan meletakkan dua bungkusan plastik itu ke dalam troli.
“Thanks.”
“Apa nyonya tu nak?” tanya Iskandar.
“Apa?” terkejut Anis dengan soalan itu. Nampak pula mata Iskandar perbualannya dengan nyonya itu.
“Nyonya tu nak apa?” Iskandar memetik jarinya di depan mata Anis. Baru menyambut hari lahir yang ke 25, sudah nyanyuk Anis. Semenjak dari tadi, tumpuannya seakan-akan terganggu. Entah apa yang difikirkan Anis agaknya. Fikiran Anis itu adakalanya seperti lampu kelap kelip selepas raya yang berselirat dan sukar dileraikan untuk mencari yang mana satu hujung, mana pula pangkalnya.
“Dia tanya mana bawang.” Anis menundukkan wajah. Ah! Hari ini dia menjadi seorang penipu.
1 comments:
Skrang apa yang nyonya tua tu buat, saya buat plak kat akak....:)
Bila nak siap nie? Hehehehe.... CPD pun tak abis panas lagi kan. Xper, sabar tu separuh dari CUD...;)
Post a Comment