Monday, February 13, 2012

Lagi tentang CUD : novel ke 7

​“Is kirim salam. Dia ucap happy birthday.”
​Anis meletakkan garpunya ke atas pinggan.
​“Dia tak ada mulut sendiri nak cakap dengan aku?” tanya Anis.
​Soalan itu tidak dijawab oleh Jenny. Dia tahu Anis sedang marah. Apa juga jawapan yang dia berikan, Anis akan marah juga. Memang aktiviti yang membazir. Dia mendengar Anis mengeluh. Perlahan namun kedengarannya amat berat sekali.
​“Dia jauh kat Tioman. Aku pun tak tahu dia pergi sana. Pagi tadi aku bangun, ibu aku kata dia dah keluar. Hilang.”
​“Dia buat apa ke sana?” suara Anis sudah mengendur. Dia sedar ini bukan salah Jenny. Kasihan pada temannya itu yang terpaksa menjawab bagi pihak abangnya.
​Jenny semakin berat hati mahu menjawab.
​“Bagi tahu ajelah. Aku tak marah.”
​“Esok birthday Nina. Dia nak raikan kat sana.”
​Suasana ruang tamu itu jadi sepi. Hafiz dan Amran yang tadi sibuk makan, kini sudah diam menelinga juga. Nama Nina yang menarik perhatian mereka. Nina yang seksi. Nina yang manja. Teman wanita Iskandar yang baru. Edisi yang terkini. Baru berusia dua minggu perkenalan mereka. Masih hijau. Masih muda lagi. Mungkin kerana itulah Iskandar mahu memastikan sambutan itu romantik.
​“Biarlah.”
​Jawapan Anis itu menyebabkan mereka semua berpandangan. Anis tidak marah? Anis kelihatannya kembali menikmati mihun gorengnya. Bersungguh-sungguh pula nampaknya.
​“Sedap mihun ni Anis.” Amran mengubah tajuk perbualan dan menceduk mihun untuk kali ke tiga ke dalam pinggannya.
​“Sambal ni pun punyalah kick.” Hafiz menambah.
​Anis hanya tersenyum. Dia tahu mereka mahu mengambil hatinya. Kalau tidak memikirkan yang ini adalah majlisnya, dia sudah lama meninggalkan rumah ini. Fikirannya kusut. Mendengar nama Nina, dia terasa seperti ditampar halilintar. Entah apa agaknya yang dilihat Iskandar pada gadis gedik itu. Berbulu matanya melihat. Nina yang tiada tulang belakang. Asyiklah melengser dekat dengan Iskandar. Lelaki memang suka perempuan yang begitu agaknya. Yang manja tidak bertempat. Yang seksa mata melihat.

0 comments: