Wednesday, February 15, 2012

Novel remaja : Akan datang......tajuknya DA

Salam,

Saya sampai ke HUKM jam 8.45 pagi. Sarapan dan kemudian naik tingkat 6. Ambil surat untuk ke unit Ginekologi. ambil injection dulu dan bermulalah episod...Ke menunggu dan menunggu dan menunggu.....

Jam menghampiri pukul 3 baru sampai rumah. Panas, penat dan lapar. Saya pun mandi, makan dan solat. Ya ALLAH lamanya ya di klinik ginekologi tu. Kesiannya pada perempuan2 yang hamil dan menunggu giliran... Wad ginekologi, memang penuh dengan orang mengandung!

Saya tak ada idea mahu update blog ni. Layanlah ya... coretan untuk novel remaja saya yang akan keluar insyaAllah pesta buku nanti (dengan izin-NYA)

HARI Sabtu yang panas. Mereka baru saja siap membersihkan kawasan sekolah yang menjalankan aktiviti kebersihan dan membanteras nyamuk Aedes hari ini. Zaris, Suzi dan Aisya duduk di tepi padang tersebut sambil minum bekalan air yang dibawa.
“Panas sungguh ya.” Aisya memulakan bicara.
“Panas ke? Mari aku sejukkan kau.”
Tiba-tiba mereka mendengar suara dan di dalam sekelip mata, tubuh Aisya basah lencun. Myra dan gengnya ketawa gembira. Mahu tidak lencun. Mereka menjirusnya dengan sebaldi air.
“Oui. Apa yang korang buat ni hah?” Suzi sudah mula naik angin.
“Dia panas. Aku tolong sejukkan.” Myra selamba menjawab. Lya dan Tini bersungguh-sungguh ketawa.
“Korang ni nak gaduh ke?” Zaris bersuara. Pandangan matanya berlaga dengan Myra. Memang penuh rasa kebencian.
“Kau pun sama. Jangan mimpilah nak kan Amirul tu. Dia, aku yang punya.” Myra memandang Zaris dengan geram juga. Mentang-mentang rumah Zaris dan Amirul selang dua pintu, Zaris ingat dia ada harapan memikat Amirul. Gadis perasan tidak sedar diri.
“Siapa cakap Amirul tu engkau yang punya? Mak Jah sedekah Amirul kat engkau ke?” tanya Zaris. Dia sudah lama berdiam. TGG ini memang tidak berhati perut. Asyik mahu mencari kesalahan orang saja.
“Kau ni nak kena ni...” Myra sudah mula mahu mengangkat tangan.
“Ehem.” Suara dehaman itu menyebabkan mereka semua berpaling. Enam pasang mata kini memandang Pak Abu, tukang kebun sekolah mereka.
“Aktiviti dah habis?” tanya Pak Abu.
Semua jadi diam.
“Kalau dah habis, bersurai.” Pak Abu berdiri tegak dengan memegang cangkulnya yang berkilat itu.
The Great Girls terus berjalan laju meninggalkan kawasan padang. Rasa seram melihat cangkul Pak Abu yang berkilat. Kalau kena cangkul, aniaya duduk hospital beberapa minggu. Lagi pun mereka seram melihat misai Pak Abu yang seperti misai A.Galak. Melintang tegak dan tebal. Memang menakutkan.
“Terima kasih, Pak Abu.” Aisya bersuara memecah keheningan suasana.
“Terima kasih, Pak Abu!” Seperti kakak tua, giliran Zaris dan Suzi pula mengucapkan terima kasih. Kalau Pak Abu tiada di situ pasti mereka sudah bergaduh. Mesti main tarik-tarik rambut! Tiga lawan tiga. Agak-agak ada peluang tak untuk menang? Zaris berbicara di dalam hati.
“Baliklah. Dah tengahari ni.” Pak Abu memberikan saranan lalu beredar dengan cangkul diletakkan di atas bahu.
Mereka melihat Pak Abu beredar dan menarik nafas lega.
“Benda ni tak boleh dibiarkan.” Suzi membuka mulut. Tangannya mengepal penumbuk. Lagak hero mahu mengamuk saja.
“Panas hati aku ni.” Zaris menepuk dadanya. Sudah seperti Hang Jebat yang mahu mengamuk pula.
Aisya membuka air mineralnya dan mencurahnya di atas kepala Zaris. Zaris diam termangu. Suzi sudah ketawa. Aisya wajahnya selamba sahaja.
“Kau kata panas. Aku tolong sejukkan.” Aisya berbicara.
Suzi menyambung tawanya. Namun tidak lama. Tawanya terhenti apabila Zaris mencurahkan air mineral ke atas kepalanya pula. Kini barulah adil. Mereka bertiga sama-sama basah. Tidaklah sebasah Aisya namun baju Zaris basah juga jadinya. Tudung Suzi pula sudah senget.

DA novel remaja saya.... teruja mahu melihat ianya menjadi nyata. Sementara tu.... layan ya. Daaa....

0 comments: