Wednesday, April 25, 2012

CUD : Bab 17

17
Seperti anugerah yang diberi namun hilang sebelum disentuh

PERTEMUAN itu berlangsung di kafe yang tersorok sedikit. Anis hampir-hampir sesat kerana peta arah laluan ke situ memang mengelirukan. Berpeluh mencari kafe yang sungguh tidak popular itu. Maklumlah, semasa dia masuk melangkah ke dalam kefe itu, tiada pengunjung. Kosong! Menambah misteri apabila Mariam tiba memakai cermin mata hitam dan selendang menutupi kepala. Amboi, bukan main rahsia.
Mereka duduk di sudut kafe itu dan menunggu minuman. Mariam menoleh ke arah kanan dan kiri beberapa kali. Anis menjadi semakin tidak selesa. Mariam ada masalah apa?
“Minumannya kak.” Pelayan itu membawa dua gelas air.
Setelah menyedut minuman, barulah Mariam nampak lega. Cermin mata hitamnya dibuka.
“Risau aku.”
“Kenapa?” tanya Anis. Dalam tidak selesa, Anis merasa kelakar pula melihat karakter Mariam. Macam selebriti yang diburu paparazi.
“Aku takut kalau Kamal ekori aku.”
Kini, Anis pula yang memerhatikan kawasan sekeliling. Tiada suspek yang mencurigakan. Cis, dia pun sudah terpengaruh dengan Mariam yangg terlebih tengok drama penyiasatan agaknya.
“Jangan takut. Mak aku kata dia ke luar bandar hari ni.” Mariam tersenyum sedikit.
Mendengar jawapan Mariam, Anis mahu ketawa. Kalau sudah begitu apa yang mahu ditakutkan? Pelik betul. Buat lenguh leher dia memerhatikan keadaan sekeliling.
“Aku bukan apa. Aku takut Kamal arahkan konco-konco dia perhatikan aku.” Mariam memberitahu dengan nada yang berbisik. Jus epal itu disedut perlahan. Dia kemudiannya mengeluarkan sebuah sampul surat dan meletakkannya di atas meja. Sampul surat itu ditolak ke hadapan Anis.
Anis melihat sampul surat nipis itu. Wang upah?
“Ini maklumat yang aku ada tentang Kamal.”
Maklumat rupa-rupanya. Anis mencapai dan membuka sampul itu dengan berhati-hati. Sehelai kertas dikeluarkan. Di atas kertas itu hanya ada sebaris nama. Kamarul Bahrain Haji Firdaus. Mata Anis mencerlung ke arah Mariam. Maklumat apa kalau ada sebaris nama saja? Anis mengangkat kertas itu ke arah cahaya matahari. Manalah tahu, Mariam menggunakan dakwat ajaib. Tetap kosong juga.
“Kau tengok apa?” tanya Mariam.
“Mana maklumatnya? Sebaris nama ni aje?” Mahu saja Anis menambah, ini kerja gila namun mengenangkan Jenny yang meminta tolong supaya dia membantu Mariam, Anis menzip mulutnya. Bersabar itukan separuh dari iman. Anis mengingatkan diri.
“Itu maksud aku! Aku tak tahu apa-apa tentang dia. Kosong. Aku cuma tahu nama dia. Aku cuma ada nombor telefon dia dan kereta dia. Lain-lain kosong. Kau ingat aku tak risau?” Mariam mula bercakap tanpa hati.
“Okay, okay. Tarik nafas. Tenang.” Anis mengingatkan. Mariam macam promosi lagu Najwa Latif saja apabila mengulang perkataan kosong itu beberapa kali.
“Aku takut dengan dia tahu tak.”
Sehelai tisu Anis keluarkan dan menghulurkannya kepada Mariam yang sudah mula bergenang airmatanya. Ini kes yang serius. Patutlah Mariam sanggup membayar sampai seribu ringgit.
“Dia ada buat apa-apa yang tak elok pada kau ke?” Anis bertanya. Baru mahu mengkagumi lelaki itu. Jika Mariam menjawab ya, memanglah hampeh sungguh.
“Tak.”
“Habis tu?”
“Kau kena cari maklumat. Aku nak tahu terperinci. Apa dia suka. Apa yang dia tak suka. Mana dia pergi? Dia ada girlfriend ke tidak. Kau kena bagitahu aku segala-galanya.” Mariam membuat permintaan. Soalan Anis tidak dipedulikan. Memanglah Kamal menyentuhnya pun tidak tetapi jika tidak dihalang, kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan nanti. Lelaki bermuka serius itu tidak sesuai dengan dirinya. Sama sekali tidak sesuai. Minta dijauhkan!
“Apa maksud kau bila kau kata dia ada konco?” Anis tiba-tiba teringat perkataan yang disebut oleh Mariam sebentar tadi. Kamal ini geng mafiakah? Ketua kongsi gelap? Samseng?
“Aku tak tahu. Yang aku tahu, dia diberhentikan dari polis. Kenapa? Aku tak tahu, tapi orang yang kena berhentikan ni mesti orang yang tak baikkan? Aku kena pergi. Bil minuman ni kau masukkan dalam total bil nanti. Aku balik dulu. Kau balik selepas lima minit.” Mariam memakai cermin matanya semula dan menarik selendang supaya menutup wajahnya.
Anis yang ditinggalkan sendirian mula termenung. Ini tugas yang mencabar. Kamal, polis yang diberhentikan? Menarik. Pasti ada sesuatu yang berlaku. Rasuah? Bulu roma di tengkuk terasa meremang.

0 comments: