5
Seperti langit runtuh lalu hatiku basah kedinginan
MEREKA duduk menunggu di situ. Suasana senyap. Jenny sibuk dengan telefonnya. Hafiz mengunyah gula-gula getahnya dan Amran pula termenung. Semua seakan-akan hanyut dalam dunia sendiri. Langsung tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling.
“Aku nak balik.” Anis bersuara. Dia mencapai beg sandangnya. Tidak mahu membuang masa menunggu lagi. Masa itu mahal. Bukan bolah dibeli di mana-mana kedai pajak gadai pun. Langkahnya tergendala apabila Hafiz menarik beg sandangnya dengan kuat. Terduduk dia semula.
“Aduh, sakitlah.” Anis sudah mengambil begnya dan memukul Hafiz beberapa kali. Aksi ganas yang tidaklah ganas mana.
“Aduhai...macam budak-budak.” Jenny menegur.
“Sepupu kau ni yang macam budak-budak. Bukan aku.” Anis mencebik. Dia membuang pandang ke tempat lain. Tidak mahu memandang Hafiz. Nanti dia akan menjelirkan lidah ke lelaki itu dan ketika itu barulah dia boleh dikategorikan sebagai budak-budak.
“Tunggulah sekejap. Kan Iskandar kata dia nak datang. Kejap lagi muncullah tu.” Amran pula yang masuk campur. Dia bangun dan memandang kawan-kawannya itu.
“Aku pergi beli minuman dululah. Nak apa?” tanya Amran. Mahu meredakan suasana yang membara. Mahu membeli masa supaya tiada siapa sedar yang Iskandar itu memang patut diluku kepalanya. Gagal menepati temujanji yang ditetapkan oleh Hafiz semalam. Iskandar ini memang tidak serik-serik mahu menjadi punca kemarahan kawan-kawan.
Jenny menggeleng.
“Sirap limau.” Hafiz menyebut minuman kegemarannya itu.
Amran berdiri menunggu kata-kata dari Anis namun gadis itu diam. Sudah merajuk nampaknya. Dua perempuan ini memang sejak mereka sampai lebih kurang lima belas minit tadi memang keduanya mood tidak baik. Entah-entah mereka berkongsi PMS. Amran dengan mudah membuat kesimpulan. Dia segera membelikan minuman. Kembali ke meja dia meletakkan air kelapa itu di depan Anis. Untuk Jenny pula dia membelikan cincau.
“Thanks.” Jenny mencapai gelas itu dan menghilangkan dahaganya.
“Amboi, tadi bukan main menggeleng.” Hafiz menegur.
Jenny memberikan jelingan secara percuma. Yang masih kaku diam tidak bersuara hanyalah Anis. Masih masam seperti jeruk kelubi.
“Anis, minumlah. Buat sejukkan hati. Kejap lagi Is sampai. Dia dah mesej ni. Tengah cari parkir.” Hafiz memujuk. Dia sudah arif dengan rajuknya Anis. Bukan lama pun cuma akhir-akhir ini dia perasan juga yang Anis lebih suka menyendiri. Mungkin kerjanya bertambah namun di antara mereka semua, Anis saja yang bekerja di rumah. Sepatutnya Anis yang paling relaks kan? Namun tanggapan itu disimpan kemas di dalam hati saja. Dia takut jika diluahkan, ada kelapa yang terbang ke arahnya. Kerja aniaya. Tidak pasal-pasal masuk hospital.
“Aku tak rasa nak minum.” Perlahan saja Anis menjawab dalam nada suara yang perlahan.
“Kau perlu minum air ni. Kejap lagi kalau kau menangis, badan kau tak cukup air.” Hafiz masih lagi bersuara dengan lembut.
Kata-kata Hafiz itu menyebabkan Anis berpaling. Wajah yang kononnya tidak mahu dipandang itu kini ditatapnya dengan wajah yang penuh tanda tanya. Apa maksud Hafiz? Lelaki itu bersahaja namun Anis dapat merasakan yang ada sesuatu cerita yang mahu dikongsikan Hafiz. Penting. Itulah yang diberitahu Hafiz lewat panggilan telefon malam tadi. Penting hingga menyebabkan Anis tidak sampai hati mahu berdolak dalih. Kalau ikutkan hati, dia malas mahu berjumpa mereka semua.
Anis menyinggung lengan Jenny. Temannya itu menoleh dan menggeleng. Tanda tidak tahu juga. Baru Anis mahu membuka mulut dia melihat kehadiran Iskandar. Argh, tembok kesabaran terasa runtuh. Sibuk sungguh Nina yang tersangkut di tangan Iskandar.
“Sorry guys. Tak ada parking.” Iskandar menegur. Wajahnya bersahaja, tiada langsung riak rasa bersalah.
“Hai....” Meleret ucapan hai yang diberikan oleh Nina yang datang dengan memakai dress pendek berwarna merah. Tangannya memeluk lengan Iskandar dengan rapat. Bibirnya lebar dengan senyuman. Gembira.
“Darling nak minum apa?” tanya Iskandar.
“It’s okay. I leave you with your friends. Jangan nakal-nakal tau. I pergi salon tu dulu ya. Bye guys!” Nina berlalu pergi dengan lenggang lengguknya. Dia sudah terlewat untuk temujanji mahu mencuci rambut dan memotong hujung rambutnya yang rosak.
Iskandar mencapai air kelapa Anis dan menyedut straw selepas membaca bismillah.
“Air aku tu.” Anis memukul tangan Iskandar.
“Tadi kata tak rasa nak minum.” Amran menegur.
Anis menjegilkan mata. Tidak sekolah betul Amran ini.
“Itu tadi. Sekarang haus. Haus!” Anis mengambil semula air kelapa itu.
“Kedekut. Nanti kat kubur kau, kita orang tanam pokok kelapa dua tiga pokok.” Iskandar bersuara lalu ketawa namun lawaknya tidak disambut oleh kawan-kawannya. Adiknya Jenny sudah menyepak kakinya di bawah meja.
“Okay, sorry. That’s not funny. Apa hal yang penting sangat ni?”
Suasana menjadi kembali senyap.
“Hafiz nak cakap apa sebenarnya?” tanya Anis. Senyuman yang kini menghiasi bibir Hafiz terasa tidak ikhlas saja. Empat pasang mata memaku ke wajah Hafiz. Menagih jawapan. Orang yang ditanya hanya tersenyum-senyum.
“Kau nak kahwin eh?” tanya Amran. Emak Hafiz hari itu ada mengatakan yang dia sudah tidak sabar mahu menimang cucu.
“Ngarutlah.”
“Kau ada awek baru? Naik gaji? Beli kereta baru?” Jenny pula mengasak. Meneka tiga senario sekaligus. Untung-untung ada yang kena namun sepupunya itu tetap menggeleng.
“Kau nak belanja kitaorang makan?” Giliran Iskandar meneka.
Hafiz ketawa. Kini matanya beralih kepada Anis. Adakah gadis itu mahu meneka. Anis menggeleng.
“Beritahu sajalah.” Anis meminta. Melihat raut wajah Hafiz dia terasa sebak tiba-tiba.
Mata Hafiz dihalakan kepada kawan-kawan yang dikenalinya sejak dia masih kecil lagi. Amran, Iskandar dan Jenny memang sepupunya maka hubungan mereka memang sudah lama akrab. Anis pula dia rapat semenjak sepuluh tahun yang lalu. Bibirnya berat mahu bercerita.
“Cakaplah,” desak Jenny semakin tidak sabar.
“Aku nak ke Perth, Australia.”
Semua terdiam.
“Cuti?” Laju mulut Anis bertanya walau hati seakan tahu bukan itu jawapan Hafiz.
“Land of kangaroo.” Itu pula yang dijawab Hafiz.
“Yalah. Satu dunia tahu kat Australia banyak kangaroo. Yang kami nak tahu, kau nak buat apa ke sana? Dah tak suka kawan dengan kami? Nak ganti dengan kangaroo pulak?” Jenny sudah memetir. Bahu Hafiz ditolak beberapa kali. Geram. Atau mungkin juga kerana terbit rasa kehilangan.
“Kau ingat Uncle Douglas? Pakcik belah emak aku?” Hafiz mula mahu bercerita.
Mereka semua mengangguk. Mereka pernah berjumpa lelaki itu beberapa kali ketika dia pulang ke Malaysia.
“Dia mahu aku bantu dia di sana. Uruskan rumah penginapan yang dia ada. Diakan tak ada anak. Dia nak tinggalkan perniagaan tu pada aku. Jadi, sementara dia masih sihat ni dia nak aku belajar selok belok segala benda.”
Semua terdiam.
“Kau pergi sekejap ke lama?” tanya Anis.
“For good. Sekali sekala baliklah sini. Emak aku ada kat sini. Tapi akan datang, mak aku ikut juga ke sana.” Hafiz menerangkan.
“Good for you.” Iskandar menepuk bahu Hafiz.
Jenny memukul bahu abangnya. Apa yang baiknya? Hafiz akan meninggalkan mereka. Jauh di sana. Pasti akhirnya akan terputus hubungan.
“Apa dia?” Iskandar menoleh ke arah adiknya itu. Asyik memukul bahu orang, mahu lebam sesiapa yang menjadi suami Jenny agaknya.
“Nanti tak boleh jumpa.” Jenny meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Facebook ada. Skype ada. Emel ada. Kumpul duit dan bila lapang, kita ke sana. Sekarang bukan zaman Flinstones.” Iskandar menegur adiknya itu.
“Betul tu Jenny. Ini masanya untuk Hafiz ambil peluang yang ada. Kita patut bagi dia sokongan.” Amran yang semenjak tadi diam kini bersuara. Dia tahu selama ini hubungan mereka rapat. Sekolah rendah di sekolah yang sama. Sekolah menengah juga di tempat yang sama. Ke universiti pun, tidak jauh terpisah. Semua masih di Kuala Lumpur sahaja.
“I will miss you.” Tiba-tiba Anis pula bersuara.
Hafiz menoleh dan tersenyum.
“I will miss you too.” Hafiz membalas.
Kawan yang lainnya melihat mereka berdua. Amran berdeham.
“Jangan nak buat apa-apa hipotesis. Aku dengan Anis kan saudara.” Hafiz membalas.
Anis juga turut tersenyum. Dia akan kehilangan seorang sahabat. Sahabat yang selalu ada untuk mendengar keluh kesahnya.
“Tak apalah Jenny. Lain kali ke Perth, kita dah ada bilik.” Anis menyedapkan hati Jenny yang raut mukanya kesedihan.
“Lagi pun, Hafiz tak ada...aku kan ada.” Amran bergurau. Serta merta suasana yang sedikit tidak selesa itu menjadi reda seketika.
“Sengal.” Jenny membalas.
“Kau jangan...nanti aku suruh Hafiz gajikan aku jadi chef kat sana, tinggal kau kat sini sorang-sorang.” Amran mengugut walaupun hakikatnya niat sebegitu langsung tiada terbit di dalam hati. Rezekinya di tanah Malaysia ini saja. Dia gembira menjadi chef di Hotel Hilton sahaja.
“Sudahlah.” Hafiz menenangkan suasana.
“Bila pergi?” tanya Iskandar.
“Empat hari lagi.”
Semua mata sudah terbeliak memandang Hafiz.
“Sorry. Aku tak sampai hati nak bagitahu korang.” Hafiz mengangkat tangan tanda meminta maaf.
Suasana senyap seketika. Semua berfikir sendiri-sendiri.
“Kita buat makan-makan sebelum kau pergi.” Jenny mencadangkan.
“Tak payahlah susahkan diri.” Hafiz menolak. Tidak mahu menyusahkan mereka. Cukuplah dengan doa untuk kejayaannya di sana.
“Jangan ngada-ngada. Kau datang dan makan saja. Semuanya Amran akan uruskan.” Jenny membuat keputusan. Suaranya tegas dan penuh semangat. Dia sudah mengeluarkan nota kecilnya dari dalam tas tangan. Mahu membuat perancangan.
Amran yang mendengar terkulat-kulat. Sepupunya ini memang ada darah ‘queen control’. Dia mengangkat ibu jari tanda setuju. Separuh rela namun diturutkan kerana Hafiz.
“Buat kat rumah Anislah. Makanan minta tolong Mak Jah uruskan.” Jenny sekali lagi membuat keputusan.
Telefon Jenny berbunyi maka dia beredar jauh sedikit. Mereka yang tinggal berpandangan.
“Queen control dah gila kuasa.” Iskandar bersuara dengan berbisik.
Mereka semua ketawa. Memang arif dengan Jenny yang kadang-kadang perasan yang dia itu ketua kumpulan mereka.
“Korang ngumpat aku?” Jenny kembali dengan wajah yang serius.
“Mana ada. Ni, Iskandar kata dia akan shopping bahan masakan dengan Mak Jah.” Anis membuat cerita.
Iskandar memandang Anis. Amboi, Anis pun mahu mengambil kesempatan namun demi Hafiz dia mengiyakan saja. Hafiz melihat wajah kawan-kawannya itu. Setiap satunya memiliki personaliti yang berbeza namun mereka ada satu persamaan. Mereka sayangkan persahabatan mereka. Tiada apa yang mampu mengubah rasa kasih itu.
0 comments:
Post a Comment