"Saya sayang awak. Itu keputusan saya yang muktamad. Awak nak terima atau tidak, itu hak awak, Yang saya tau, saya sayang awak!" Bersungguh-sungguh Zaris memberitahu. Tutur katanya jelas dan penuh keyakinan. Tiada apa yang perlu disembunyikan lagi. Perasaan yang sudah lama bersarang dan menyesakkan dadanya ini perlu diluahkan. Dia bimbang jika dibiarkan lama pasti akan membuatkan dia gila.
"Aduh!" Zaris menghempaskan dirinya ke atas katil. Dia menumbuk bantal yang tidak berdosa itu beberapa kali. Berhujah di depan cermin memang dia pakar. Mengatur skrip di kepala memang dia jaguh. Namun bila berhadapan dengan Amirul, seluruh sendinya akan jadi tidak bermaya. Tidak berfungsi lidahnya yang bukan main laju ketika berlatih di rumah. Benci jadinya memikirkan kelemahan dirinya itu.
"Kenapa tengok saya macam nak makan ni? Lapar ehh?" Amirul dengan selamba mentertawakannya sebelum berlalu pergi meninggalkan dia sendirian di depan kedai runcit Pak Mat pagi tadi. Malunya! Hanya Tuhan yang tahu! Menambah rasa malu apabila dia melangkah laju keluar dari kedai hingga dikejar Pak Mat kerana di tangannya ada dua kilo gula yang masih belum dibayar. Malunya! Zaris merasakan pada waktu itu, dirinya seperti halimunan yang kehilangan kuasa. Seperti ahli magik yang kehilangan tongkat sakti. Kenapalah dia obses dengan Amirul, jiran selang dua buah rumahnya itu hingga terlupa dengan gula yang dipeluk erat namun belum dibayar?
Dan bebelan emak kerana dia pulang dengan tangan kosong kerana gagal menjalankan misi untuk membeli asam jawa membuatkan dirinya mahu lari laju-laju ke tanah Jawa! Malu mahu ke kedai Pak Mat lagi. Lebih malu lagi jika terpaksa lalu di depan rumah Amirul kerana itu saja laluan yang ada untuk ke kedai Pak Mat. Dan cadangan emak yang meminta dia meminjam saja sedikit asam jawa dari rumah Mak Jah memang cadangan yang mahu membuat dia meraung sekuat hati. Manakan tidak! Sudah tentulah 21 tahun yang lalu, perempuan itulah yang telah memutuskan seratus uratnya untuk melahirkan Amirul!
Kenapalah emak mahu memasak asam pedas hari ini? Kenapa tidak esok atau lusa tatkala rasa malunya sudah hilang! Dan gejolak rasa hatinya itu membuatkan dengan sia-sianya dia dijeling emak. Oleh kerana tidak mahu digelar anak derhaka, dia berjalan sepantas kilat ke kedai Pak Halim pula. Masalahnya pula, kedai Pak Halim jauh sedikit berbanding jika mahu ke kedai Pak Mat. Malu punya pasal, dia sanggup!
Zaris berbaring merenung kipas di siling yang laju berpusing. Amirul! Lelaki yang dipujanya itu akan pergi jauh tidak lama lagi. Bagaimana dia mahu berjauhan dengan Amirul? Zaris melepaskan keluhan. Dia tahu lelaki itu masih belum berpunya tetapi itu bukan jaminan, cintanya akan diterima. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam! Masalahnya, organ yang bernama hati ini bukannya sabut! Aduh, Zaris melepaskan keluhan lagi.
5 comments:
Sambung cepat cite ni. Nak baca!
sambung.....
haha, bacalah! hehe...
"Cintakan awak, macam bercinta dengan roket. Baru saya hidupkan sumbunya... mhmm....awak dah menghilang entah ke mana!" Zaris memarahi Amirul.
"Huh! Melayan perasan awak yang tak keruan tu macam menaiki bas mini. Kejap2 berhenti. Letih nak sampai destinasi!" Amirul pula membalas.
"Habis tu? Sampai bila kita mahu begini?" Zaris memandang wajah Amirul dengan dahi yang berkerut.
"Saya tak mahu fikir. Penat!" Selamba Amirul menjawab dan melepaskan keluhan.
"Awak dah tak sayangkan saya?" Zaris bertanya. Jantungnya berdetak pantas.
Gelengan kepala Amirul membuatkan Zaris rebah...
Adoi! pengsanlah pulak!
hahhaha
nak lari ke tanah jawa jugak!!
Post a Comment