Thursday, June 17, 2010

JCC : Teaser 3

“Hie dear!” tiba-tiba suara yang lama tidak didengari itu muncul rapat di telinga.
Maya menoleh. Sah! Yang dilihatnya tadi memang lelaki senget yang telah menipunya hari itu. Dia tidak membalas teguran lelaki itu. Dia membuat tidak dengar sahaja. Lagi pun, nama dia bukan ‘dear’!
“Aduh, janganlah merajuk. I mintak maaf okay.” Lelaki itu bersungguh-sungguh meminta maaf. Bersungguh-sungguh juga mengambil dulang berisi cendol dan laici-kang dari tangan Maya.
“You nak bawak ke mana air I tu?” Maya memandang lelaki itu dengan geram.
Lelaki itu hanya ketawa dan memandang wajah Maya.
“Bawak balik rumah I boleh?” Dia bertanya dengan niat mengusik.
“You ni jangan menyusahkan I boleh tak?”
“La...I yang tolong bawakkan dulang ni. Mana ada susahkan you. Jum, mana meja you?” Lelaki itu masih tidak mahu mengalah.
Tidak mahu bergaduh, Maya berjalan dengan hati yang sebal ke arah kak long yang sedang menunggu. Manis senyuman yang kak long berikan kepada lelaki yang asing dan tidak bernama itu.
“Apa khabar? Kawan Maya?” Lelaki itu dengan ramah bertanya.
“Alhamdulillah. Kak long, Maya.” Zana menjawab. Wajah Maya yang masam dipandangnya seketika.
“Berlakon drama ke tadi?” Zana bertanya kepada mereka berdua.
Lelaki itu ketawa lalu mengadu yang Maya tidak mahu menunjukkan manakah mejanya. Selamba saja dia duduk di sebelah kak long.
“Siapa ajak you duduk ni?” tanya Maya. Tidak selesa dengan kehadiran lelaki itu.
“Tengok tu! Tak baik Maya, layan I macam tu.” Lelaki itu menarikkan kerusi dan menepuk-nepuk kerusi itu menyuruh Maya duduk.
“Duduklah. Kata nak sangat makan cendol. Jangan bertengkar depan rezeki.” Zana menegur Maya. Dia menjadi tertarik mahu kenal dengan lelaki yang membuatkan Maya merasa tidak selesa itu. Ada sesuatukah yang tidak diketahuinya sedang berlaku.
Mahu tidak mahu, Maya duduk juga dengan hati yang geram. Sudahlah menipu orang, sekarang memandai-mandai pula mahu berbaik-baik dengan kakaknya! Dasar lelaki yang tidak boleh dipercayai!
“Tak nak minum sama?” tanya Zana kepada lelaki itu. Dia merenung sekilas wajah lelaki itu. Nampak boyish. Mungkin usianya di pertengahan umur 20-an sahaja. Entah-entah lebih muda dari Maya. Senyumannya nakal dan anak matanya asyik mahu menatap wajah Maya. Ada tarikan kimia nampaknya.
“Tak apalah kak. Saya datang dengan emak.” Lelaki itu memandang Maya yang duduk dengan senyap dan langsung tidak mempedulikannya.
“La...mana emaknya? Ajaklah minum sekali.” Zana mengajak.
Mahu tersedak Maya mendengar ajakan kak long. Gila! Sesuka hati kak long mahu mengajak emak lelaki itu duduk semeja dengannya! Ingat, lelaki ini kekasih hatinya?
“Tak boleh kak. Mak tengah lapar tu.” Lelaki itu selamba menjawab.
“Ajaklah makan. Boleh kenal-kenal!” Zana terus menggalakkan.
Maya pula semakin kecut perut. Manalah tahu jika lelaki itu termakan kata-kata kak longnya itu. Manalah mahu diletakkan mukanya. Pasti malu. Aduhai kak long! Janganlah buat permintaan yang bukan-bukan. Insaf-insaflah, wahai kakakku!
“Mak bukan lapar nasi kak! Mak lapar menantu! Nanti dia nampak Maya, terus dia nak masuk meminang! Ha..ha.” Lelaki itu ketawa dengan gurauannya sendiri.
Merah padam muka Maya yang mendengar. Bertambah sakit hati melihat kak long yang beriya-iya ketawa dengan lawak bodoh yang dihidangkan lelaki senget itu. Sampai hati kak long kerana terpengaruh dengan lelaki sesenget itu.
“Jangan nak mengarut boleh tak?” Maya menegur dengan serius.
“Mintak sikit.” Lelaki itu memandang Maya dengan senyuman. Permintaan Maya langsung tidak dipedulikan.
“Mintak apa?” Maya menjadi semakin panik.
“Nak rasa cendol sikit.” Lelaki itu bagaikan anak kecil meminta.
Terkejut Maya mendengar permintaan lelaki itu. Pergilah beli sendiri! Maya mahu menjawab. Namun belum sempat dia melakukan apa-apa, lelaki itu mengambil sudu dari tangannya dan dengan enaknya menikmati beberapa sudu cendol kepunyaannya. Eee...geramnya hati Maya memerhatikan tindakan lelaki itu. Berasap rasa seluruh urat saraf di badan. Senyuman kak long yang tidak lekang di bibir membuatkan dia terasa mahu mencubit-cubit lelaki yang tidak tahu malu itu.
“Kak, saya kena pergi dulu. Nanti mak cari. Jaga baby baik-baik.” Lelaki itu berpesan kepada Zana.
“Okay.” Zana membalas. Baik budi budak lelaki itu nampaknya. Hati Zana menjadi lapang.
“Tolong jaga baby saya jugak ya.” Lelaki itu selamba menyentuh pipi Maya sebelum memberikan salam dan berlalu meninggalkan mereka berdua.
Zana ketawa terkekeh-kekeh melihat wajah Maya yang jelas terkejut dengan tindakan lelaki itu menyentuh pipinya. Tidak sekolah betul! Tangan mahu dipotong agaknya! Hati Maya menjerit geram. Dia melihat cendol yang masih berbaki di dalam mangkuk. Suka-suka makan cendol orang! Maya semakin marah.
“Kak long! Geramnya saya.”
“Minumlah cendol tu. Sejukkan sikit hati.” Zana menyuruh.
“Dia makan cendol Maya!”
Zana menyambung tawanya. Nampaknya lelaki itu betul-betul mengganggu hati dan nurani Maya. Sedang menggelegak nampaknya molekul air di dalam badan adiknya itu.
“Minum ajelah. Ambik berkat. Muafakat hidup nanti!” Zana mengusik Maya.

4 comments:

kay said...

kelakar la..hahaha
=))

Lynn Dayana said...

Salam Kay,
Ya, harap2 JCC akan siap cepat n boleh buat orang ketawa! Amin...

Kak Hema said...

macam bestlah citer ni...xsabar nak baca nanti. saya memang minat novel2 lynn dayana...dtg la blog saya, saya pun ada buat entry ttg cinta edisi terhad...ni link entri tu

http://ashouldertocryon1510.blogspot.com/2010/05/cinta-edisi-terhad-lynn-dayana.html

Lynn Dayana said...

Salam Kak Hema,
Tq review CET... JCC ada lagi 25% nak habiskan. KK memang best. Pengalaman daki Mount Kinabalu mmg superb. Hehe...turun macam penguin!