Tuesday, April 10, 2012

5 tahun Sudah Berlalu





Setiap kali ke sini, di atas kawasan bukit ini....saya selalu rasa tenang. Saya suka angin yang bertiup damai... Saya suka melihat kuntuman kemboja atau melur yang berkembang indah. Tenang.

Lima tahun yg lepas, arwah abah mempunyai 21 orang cucu dan seorang cicit. Teringat antara pesanannya semasa di akhir hayat abah... "kumpulkan semua anak cucu dan cicit. Nak jumpa." Kami berkampung di hospital. Duduk berderet di ruang menunggu dan kami bergilir2 membacakan yasin tanpa henti. Kini cucu abah bertambah lagi seorang dan ada 5 orang cicit lagi.

Abah semasa hayatnya bukan jenis yang banyak bercakap. Setiap kali kami memasak, mesti abah akan datang menjengah dan bertanya apa yang kami masak sedangkan arwah abah bila ada sepuluh lauk pun, hidangan abah hanya nasi dan sejenis atau 2 jenis lauk sahaja. Tak macam kami, kalau ada sepuluh lauk..semua pun nak rasa.

Abah lelaki tipikal yang tidak mengucapkan kasih sayang tetapi jika kami ke mana-mana, selagi kami tidak pulang...abah akan berulang alik di depan rumah hingga kami pulang. Di akhir hayat abah, semasa dia masih boleh bersuara, abah mengatakan...abah sayang kamu semua jugak dan basahlah pipi kami saat dia sudah tidak mampu bersuara dan giliran kami membisikkan di telinganya supaya berzikir nama Allah tanpa henti.

Susah payah abah membesarkan kami tidak mungkin akan kami lupakan. Kerana abah dan emak...saya menyimpan janji untuk mengubah hidup. Untuk belajar pandai2 dan berharap keluarga kami keluar dari era kesusahan. Alhamdulillah...anak2 abah berjaya dalam hidup dan pelajaran.

Kini, kami hanya ada emak. Semoga emak sihat dan dirahmati Allah selalu. Amin.