Monday, April 2, 2012

CUD : Teaser...... bab 16

SETELAH melayan Mak Mah yang bertanya itu dan ini tentang majlis di rumah Arman itu, Anis keluar semula dan duduk di balkoni. Di tangannya ada sekoleh Nescafe panas. Memang dia berhajat untuk tidak tidur malam ini nampaknya. Lagi pun dia sudah tahu yang matanya ini akan membuntang hingga ke pagi. Trauma dengan panahan mata lelaki bernama Kamal. Anis senyum sendiri. Mengarut sungguh.
“Eh, anak ayah uda ni tak tidur lagi?” Ariffin menegur Anis.
“Kejap lagilah ayah uda. Mana ibu?” tanya Anis. Menjengah ke belakang ayah uda dan dia lihat tiada siapa di situ.
“Sudah lena diulit mimpi.” Ariffin membalas.
“Ibu kata majlis perpisahan tu meriah.”
Ariffin mengangguk. Mereka berdua ke majlis yang meraikan persaraan salah seorang teman sekerja Faridah. Dia memandang Anis yang asyik merenung langit tidak berbintang.
“Ada siapa kat langit tu?” tanya Ariffin. Kata isterinya, Anis sudah memakai tudung dan semenjak bertudung ini sikap Anis kelihatan lebih lembut dan nampak matang. Berubah secara sendiri atau kerana dorongan seseorang? Rahsia itu mahu juga dikongsi bersama.
“Bukan siapa tapi apa. Ada awan, ada udara dan ada planet.” Anis senyum.
“Ayah uda ingat ada satria muda melambai-lambai dari atas sana.”
Serta merta Anis menoleh.
“Kalau ada orang yang melambai-lambai dari atas sana, Anis dah cabut lari ayah uda.”
Tawa mereka berpadu.
“Kamu ni Anis, saja nak lari dari topik. Bila nak kenalkan dengan kami kekasih hati? Ayah uda rasa tak sabar nak bina pelamin, tempah katerer, berbalas pantun...”
“Ehem...jauhnya ayah uda berangan! Anis baru 25 tahun. Lagi pun mana ada sesiapa.” Anis menundukkan wajah. Malu.
“Nak ayah uda kenalkan dengan anak-anak kawan ayah uda? Anis nak yang mana? Majistret? Lawyer? Penyanyi?” Ariffin menyambung tawanya.
Anis nak kenal dengan Kamal. Suara hatinya berdesis. Dan kemudiannya dia ketawa sendiri. Dia menutup mulut apabila sedar ayah uda memerhatikannya dengan penuh minat. Alamak, kantoi!
“Aha! Adalah ni.”
“Hisy, tak adalah.”
“Iskandar, Hafiz....Amran? Dah lama kawan. Dah kenal rapat. Kalau kahwin senang.” Ariffin memberikan cadangan.
Sebenarnya, dia suka kalau Anis ada jodoh dengan salah seorang dari mereka. Keluarga pun sudah kenal mesra. Pasti mudah dan tidak perlu pening kepala. Yang peliknya, anak muda ini semuanya seakan-akan tidak tertarik antara satu sama lain. Mungkin cupid belum mula memanah agaknya.
“Amran tu bercinta dengan periuk belanga.” Anis ketawa.
Amran pernah berkata, dia akan hanya bercinta apabila kariernya sebagai chef sudah berjaya. Bila ditanya, bagaimana tahap yang dia boleh kategorikan sebagai berjaya, Amran membalas dia mahu popular sedikit dari Chef Wan. Mujur bukan Chef Ramsey atau Nigella Lawson. Bongkok tigalah jawabnya mahu mencapai tahap itu.
“Hafiz?”
“Hafiz sedang bersusah payah dahulu, bersenang lenang kemudian. Dia jauh dekat sana ayah uda. Kalau dia kahwin dengan perempuan rambut perang mata biru hijau kuning, tak mustahilkan?” Anis menjawab dengan rasa hati yang rindu. Ya, dia rindu mahu bercerita secara langsung dengan Hafiz yang selalu menjadi pendengar setia.
Nada suara Anis yang mengendur membuatkan Ariffin menoleh ke arah wajah Anis. Ada riak kosong di wajahnya.
“How about Iskandar?”
Anis ketawa dan menggeleng.
“Is bertukar girlfriend macam tukar baju.” Berat terasa mulut mahu mengatakan begitu tetapi realitinya memang begitu. Iskandar memang lelaki yang tidak boleh hidup sendirian. Cepat putus dan cepat pula mendapat pengganti.
Bahu Anis ditepuk perlahan.
“Mungkin dia belum jumpa baju yang sesuai. Mungkin saiznya tak muat. Atau baju yang ada dah luntur.” Ariffin memberikan rumusan.
“Ayah uda ingat, Iskandar tu buka kedai dobi?” Anis mencebik.
Tidak setuju. Tidak baik memberikan harapan kepada orang dan kemudiannya meninggalkan mereka keliru dengan apakah kekurangan diri mereka hingga diri hanya layak ditinggalkan. Jika dibuat kajian, entah berapa ramai bekas kekasih Iskandar yang terkorban perasaan di medan percintaan itu. Entah apa agaknya yang dicari oleh Iskandar. Soul mate yang lebih baik dari sempurna?
“Jodoh ni sebahagian dari rezeki, Anis. Ada orang rezekinya cepat, ada yang rezekinya lambat. Ada yang sudah dapat rezeki itu tapi hilang bila tak menjaganya baik-baik.” Ariffin memberikan nasihat.
Terasa sebak pula dada Anis mendengar kata-kata ayah uda itu.
“Jumpa dengan ibu Anis adalah rezeki dan rahmat yang sangat berharga dalam hidup ayah uda. Suatu hari nanti, bila Anis jumpa si dia, Anis akan tahu. Jangan lepaskan.” Ariffin memegang tangan Anis dan menepuknya perlahan.
“Jangan berembun lama sangat kat luar ni. Demam nanti. Good night.” Ariffin menepuk bahu Anis dan masuk ke dalam rumah. Puas hati kerana di dalam kesibukan tugasnya, malam ini dia berjaya berbual dari hati ke hati tentang jodoh dengan Anis. Anis itu tanggungjawabnya walaupun dia bukan wali untuk Anis. Seperti mana dia menghargai isterinya, Faridah, dia juga menghargai Anis yang menjadi sinar di dalam dunianya yang malap sebelum kehadiran mereka berdua.
Anis menghirup sisa kopi yang ada. Telefonnya bergetar. Dia melihat ada mesej yang masuk. Jenny.
Upah RM1000. Mariam mahu kau siasat siapa Kamal ni. Dia x nak kahwin dengan Kamal. Kau kena tolong dia.
Argh, sudah! Anis memandang skrin telefon itu tanpa berkelip. Siasat Kamal? Ini termasuk dalam kategori rezekikah?

2 comments:

Maryam Kamal said...

ohh sangat panjang. berpuas hati! :)

hwaiting, unni!

Woofer Storm said...

salam sis..cinta perisa dia terbaiklah sis^^