Saturday, February 25, 2012

Bab 1 : CUD, novel ke 7 saya


Salam,

Mood mahu merapu tetapi tidak cukup ikan kerapu untuk beri kelazatannya. haha... Mungkin kerana hidup saya ini memang membosankan hingga tiada apa yang mahu diceritakan. yalah... saya kan sudah tidak ke mana-mana. Asyik duduk di rumah jadi apa yang nak dimerapukan?

Mahu baca cerkon? Mhmm....saya tak ada mood mahu menulis. Sungguh.. malam tadi hanya menulis 3 page kemudian tutup laptop dan tengok tv. Teruk betulkan...

Jadi, saya letakkan Bab 1, CUD, novel ke7 saya.

1
Seperti hati ditusuk selumbar, pedihnya hingga mata berkaca


25 TAHUN. Sudah suku abad dia menghirup udara di muka bumi ini. Kalau dia belon, pasti udara yang dihirupnya itu sudah menyebabkan dia kembung dan kembang. Anis melihat ke atas meja. Ada sebiji kek di atas meja itu. Sebiji kek yang kononnya dibuat dengan resepi rahsia. Sudah setengah jam dia termenung di situ. Di ruang tamu yang sunyi sepi. Melihat kek itu tanpa sekelumit rasa teruja. Kek yang cantik. Cantik sangat sampai terasa sayang mahu memakannya.
“Assalamualaikum!” Suara riuh rendah itu menjengah ke telinganya namun Anis masih tidak bergerak. Memilih untuk menjadi patung cendana. Tanda protes walaupun tangan tidak bersepanduk.
“Kalau ya pun marah, takkanlah dah jadi patung cendana kot?” Amran sudah duduk di sisinya. Anis memalingkan wajah.
“Kita orang nak datang awal tapi Hafiz ni tadi sakit perut!” Jenny pula yang melabuhkan punggungnya di lantai. Terus saja menuang air di dalam jag dan meneguknya dengan pantas. Tidak menunggu langsung untuk dijemput. Memang ada genetik penjajah!
“Aku sakit perut Anis. Sakit gila. Kau tak marah aku kan?” Hafiz mengunjukkan kotak hadiahnya. Anis menahan tawa. Kawan-kawannya ini memang menyakitkan hati.
“Hafiz! Kau tak ada duit ke nak beli wrapping paper yang cantik. Kau bungkus hadiah untuk aku pakai suratkhabar?” Anis sudah menjerit kuat. Mereka yang lain sudah menutup telinga. Anis kan lahir dalam gua. Kalau bercakap, memang jenis berdengung tidak ingat. Kelawar pun boleh mati.
“Kau ni tak belajar alam sains ke? Dunia ni dah nak pupus. Aku guna barang kitar semula aje sebab nak selamatkan dunia. Kau tak rasa ke usaha aku ni melayakkan aku menang hadiah Nobel?” Hafiz sudah menceceh.
Anis menepuk dahinya. Hadiah Nobel? Novel sebiji pun tidak tentu menang. Geram sangat melihat teman-temannya itu. Kenal sudah sepuluh tahun tetapi sepuluh tahun itu tidak mampu menampan segala kemarahannya kepada mereka yang terlambat datang ke majlis hari jadinya yang ekslusif itu. Ekslusif kerana para tetamunya yang khas saja. Yang dijemput pun empat orang saja. Bukan empat puluh orang.
Semalam ayah uda mengusiknya dengan mengatakan, majlis hari lahir Anis mempunyai senarai tetamu yang terkontot di dunia. Namun Anis tidak marah kerana bagi dirinya, mereka berempat itu sudah cukup untuk membuatkan dunianya gegak gempita. Indah bersulam huru hara.
“Anis! Kau sedar tak apa yang sedang kau lakukan sekarang ni?” tanya Jenny.
“Apa?
“Kau mendekatkan diri engkau kepada kemungkinan untuk mendapat sakit darah tinggi.” Jenny membalas lalu ketawa.
Namun melihat wajah masam Anis, dia meneguk air oren itu lagi. Usaha memujuk yang gagal. Jenny menelan air liur pula. Dia membaca surah AlFatihah di dalam hati dan menghembusnya ke arah Anis. Biar sejuk hati kawannya itu yang sedang panas.
“Bila boleh makan kek ni?” tanya Amran.
Anis masih diam.
“Kena tunggu Iskandar?” Hafiz bertanya dengan nada kecewa.
Anis mengangguk.
“Is lambatlah. Kita tinggalkan dia sepotong cukuplah.”
Jelingan tajam Anis menyebabkan Hafiz mencapai majalah dan pura-pura membaca. Anis kalau sudah mengamuk, susah mereka jadinya. Buat penat saja mahu memujuk. Elok duduk diam-diam saja. Lima, enam minit nanti suhu hati Anis yang panas akan sejuk kembali. Sekejap saja. Di antara mereka berempat, semua pun tahu yang Anis itu hatinya adalah kerak nasi saja. Kerak nasi yang lembut bila direndam.
Bunyi telefon Jenny menyebabkan semua mata tertumpu ke arah situ. Jenny mencapai dan menyergah si pemanggil.
“Kat mana ni?”
Selepas sergahan itu, Jenny menjauhkan dirinya ke pintu gelangsar. Amran dan Hafiz berpandangan namun nada suara Jenny terlalu perlahan. Tidak dapat mereka menelinga. Selepas beberapa minit, Jenny kembali ke situ. Mukanya masam. Jelas tidak puas hati dengan perbualan sebentar tadi.
“Kenapa?” tanya Anis.
Jenny melihat wajah temannya itu. Tidak sampai hati mahu menyampaikan berita sedih itu. Jika Iskandar didepannya, sah kembarnya itu sudah disekeh dan dicubitnya sampai lebam. Menyusahkan orang sahaja. Tidak bolehkah membuat onar di hari lain asalkan bukan hari ini. Hari istimewa untuk menyambut majlis hari lahir Anis yang ekslusif ini.
“Is tak dapat datang.”
“Owh.” Pendek saja jawapan Anis.
Amran dan Hafiz sudah mendekati dua gadis itu. Ada gaya mahu menyelamatkan keadaan tetapi dua-dua tidak tahu bagaimana caranya.
“Jum, potong kek.” Anis mengajak. Bukanlah dia ghairah sangat mahu menikmati kek mahal yang dibelikan Ayah Uda itu tetapi dia mahu segala-galanya cepat berakhir. Malas mahu berada di dalam situasi yang sama lama-lama.
“Kau marah?” tanya Jenny lagi. Yang marah sebenarnya dia. Tunggulah bila dia berjumpa dengan Iskandar nanti. Memang lelaki yang lahir lima minit awal darinya itu akan mendapat balasan.
Anis menggeleng. Dia memotong kek itu sebelum sempat Hafiz dan Amran menyanyi mahu pun menghidupkan lilin.
“Makanlah. Aku nak ke dapur kejap. Ambik mihun.” Anis terus bangkit. Sebenarnya ada airmata yang mahu menitis. Ada hati yang tercalar. Iskandar lupakan majlis harijadinya. Sampai hati sungguh. Bukannya tiap-tiap minggu majlis ini dibuat. Setahun sekali saja.
Amran dan Hafiz mahu bangkit ke dapur namun dilarang Jenny.
“Kenapa? Kesianlah kat dia. Aku nak pujuk dia.” Amran membantah.
“Potong kek tu!” Jenny mengeluarkan arahan.
“Kau bagilah tisu kat dia. Macam nak nangis aje tu.” Hafiz pula menyuruh. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hai, masalah perempuan memang bukan lapangan yang dia mahir. Ilmu tentang perempuan yang dia tahu hanyalah setakat menjaga hati Jenny yang merupakan sepupunya dan Anis, kawan baik Jenny. Itu pun sebab mereka dah bersahabat lama. Sudah arif dengan perangai masing-masing.
“Biarkan dulu. Dia perlu bersendirian.” Jenny mengambil pisau dari Amran yang tidak ubah seperti tikus membaiki labu. Kek yang cantik sudah hodoh jadinya. Nampak benar sepupunya itu kelaparan.
“Masuk perut nanti hancur jugak,” jelas Amran. Tahu benar apa yang berada di dalam fikiran Jenny. Pasti sedang mengutuknya.
“Syhh.” Jenny berdesis apabila melihat Anis keluar semula ke ruang tamu itu dengan semangkuk mihun goreng. Makanan kegemaran Iskandar yang bongek. Hati terasa sebal. Dia menjeling ke arah mata Anis yang sedikit merah. Dia hanya berharap lelaki yang berdua itu tahu menjaga mulut mereka. Janganlah ada yang komen. Mereka berdua ini bukan boleh diduga.
“Wah, mihun goreng.” Amran menyebut dan Jenny segera menyepak kaki sepupunya itu.
“Adui.”
“Kenapa?” tanya Anis.
“Laparlah tu. Apa lagi...” Jenny menjegilkan matanya kepada Amran. Awas! Jika mulut itu berbicara sesedap rasa lagi. Maka akan ada kaki orang yang pincang bila mahu balik nanti.
“Meh sini, aku cedukkan.” Hafiz menawarkan diri. Amran yang lapar perlu diberi makanan dengan kadar segera. Bila dah kenyang nanti barulah dia tidak akan ingat benda yang bukan-bukan atau merapu apa-apa perkara yang akan mengecilkan hati Anis yang sudah semakin kecil.
Mereka menjamu selera selepas Amran membaca doa makan. Laju sungguh doa makannya. Baru sebut bis dan akhirnya sudah terdengar amin. Memang laju betul. Kalah kelajuan cahaya. Di samping mihun itu, terdapat juga ayam goreng dan sambal tumis udang. Bukan main suka Amran apabila Mak Mah membawa keluar dua lauk tersebut. Jenny duduk rapat dengan Anis. Serba salah. Namun pesanan orang mesti disampaikan. Jika tidak, pasti dia menanggung dosa.
“Is kirim salam. Dia ucap happy birthday.”
Anis meletakkan garpunya ke atas pinggan.
“Dia tak ada mulut sendiri nak cakap dengan aku?” tanya Anis.
Soalan itu tidak dijawab oleh Jenny. Dia tahu Anis sedang marah. Apa juga jawapan yang dia berikan, Anis akan marah juga. Memang aktiviti yang membazir. Dia mendengar Anis mengeluh. Perlahan namun kedengarannya amat berat sekali.
“Dia jauh kat Tioman. Aku pun tak tahu dia pergi sana. Pagi tadi aku bangun, ibu aku kata dia dah keluar. Hilang.”
“Dia buat apa ke sana?” suara Anis sudah mengendur. Dia sedar ini bukan salah Jenny. Kasihan pada temannya itu yang terpaksa menjawab bagi pihak abangnya.
Jenny semakin berat hati mahu menjawab.
“Bagi tahu ajelah. Aku tak marah.”
“Esok birthday Nina. Dia nak raikan kat sana.”
Suasana ruang tamu itu jadi sepi. Hafiz dan Amran yang tadi sibuk makan, kini sudah diam menelinga juga. Nama Nina yang menarik perhatian mereka. Nina yang seksi. Nina yang manja. Teman wanita Iskandar yang baru. Edisi yang terkini. Baru berusia dua minggu perkenalan mereka. Masih hijau. Masih muda lagi. Mungkin kerana itulah Iskandar mahu memastikan sambutan itu romantik.
“Biarlah.”
Jawapan Anis itu menyebabkan mereka semua berpandangan. Anis tidak marah? Anis kelihatannya kembali menikmati mihun gorengnya. Bersungguh-sungguh pula nampaknya.
“Sedap mihun ni Anis.” Amran mengubah tajuk perbualan dan menceduk mihun untuk kali ke tiga ke dalam pinggannya.
“Sambal ni pun punyalah kick.” Hafiz menambah.
Anis hanya tersenyum. Dia tahu mereka mahu mengambil hatinya. Kalau tidak memikirkan yang ini adalah majlisnya, dia sudah lama meninggalkan rumah ini. Fikirannya kusut. Mendengar nama Nina, dia terasa seperti ditampar halilintar. Entah apa agaknya yang dilihat Iskandar pada gadis gedik itu. Berbulu matanya melihat. Nina yang tiada tulang belakang. Asyiklah melengser dekat dengan Iskandar. Lelaki memang suka perempuan yang begitu agaknya. Yang manja tidak bertempat. Yang seksa mata melihat.
Sekeping sampul surat diletakkan Amran di atas meja. Mata Anis melihat sampul itu. Ah! Sudah. Apa pula yang dimahukan oleh Amran kali ini. Pinggan mihun sudah diletakkan semula.
“Ni ada kes untuk engkau.”
“Amran...aku tak mahu.”
“Hish...kau ni. Anggaplah ni tugas fisabilillah. Kau membantu orang. Kau tak nak pahala?” Amran bertutur dengan serius.
Mahu ketawa Anis mendengar Amran bercerita tentang pahala. Amboi, Amran sudah mahu tazkirah!
“Aku rasa macam banyak dapat dosa adalah.” Anis menolak sampul surat itu. Jauh sedikit. Dia penat mahu menguruskan masalah hidup orang. Masalah hidup sendiri bertimbun.
“Ni dua ratus ringgit.” Amran mengunjukkan duit kepada Anis.
“Oui, banyak tu!” Jenny menjerit. Dia mengambil duit dari tangan Amran dan mula mengira. Hafiz hanya menggeleng. Tidak mahu masuk campur. Lebih baik makan kek sebelum Amran sambung makan kembali. Nanti tinggal udara saja yang tinggal.
“Banyaknya!” Anis memandang Amran dengan rasa tidak percaya.
“Kau nak amik tak kes ni?” tanya Amran sambil mengangkat keningnya.
Senyuman nakal melakari bibirnya.
“Ni kes yang last tau. Lepas ni aku tak mahu!” Anis mengambil duit itu dari tangan Jenny. Lepas kes ini dia akan insaf. Satu saja kes lagi. Satu. Anis berjanji dengan diri sendiri.

6 comments:

Azza Love Journey said...

gambatte sis!

wHoSeNa said...

xsabarnya nk tggu novel nih siap!!aja-aja!!

Anonymous said...

akak, novel akak mmg saya nanti-nantikan.. mmg novel akak yg plg best... teruskan usaha kak:)

NamaSayaDiana said...

Nie bab 1 kan KAk Lyn. Maknanyer maybe ada dlm 60++ bab lagi. Emmmm... Ujung taun nie kira siap lah kan. Hehehe... Paksa nie ;)

Xper kak. Pelan2. Mood memang kdg2 bertimpa2 dtg. Tapi ada masa, rasa takmo buat apa2. Saya nie walaupun bukan penulis, tapi bila dtg angin moodsudahtiada, memang apa benda pun tak buat.

Biar lambat asal hati puashati. Good Luck k kak ;)

Lynn Dayana said...

Hehehe...ya. Bab 1. Lagipun ni utk stok tahun depan. Masih ada masa lagi.InsyaAllah

siti sara jaafar said...

lagi2,hihihih